16 Jun 2012

Kolokium Za‘ba: Renungan Peserta

Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (1): Sari Ucap Utama Menteri Besar dan Pidato Dr. Kamarudin Kachar
Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (2): Sari Pandangan Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar
Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (3): Sari Pembentangan Dr. Haji Awang Sariyan
Selepas menghadiri Kolokium “Za‘ba Pemikir Ulung” pada 5 Jun 2012 lalu saya terdorong untuk mendalami riwayat hidup dan pemikiran Za‘ba. Langkah pertama yang saya lakukan ialah meneliti teks ucap utama dan tiga kertas kerja kolokium. Hasil penelitian itu sudah saya jadikan tiga masukan blog ini. Insya-Allah, akan saya usahakan pula edisi baharu ulasan buku Ilmu Mengarang Melayu yang saya tulis pada bulan Februari 2011. Buku Za‘ba (1985 - 1973) Perjuangannya Belum Selesai sudah saya teliti. Ulasan buku itu, insya-Allah, akan muncul di blog ini tidak lama lagi.

Saya menyesal kerana membaca buku Pelita Bahasa Melayu secara tebuk-tebuk. Saya berazam untuk meneliti buku itu kembali. Pada usia senja, kesihatan diri dan kekenduran tenaga dijangka menyukarkan pencapaian azam saya itu. Saya berdoa agar Allah memberikan kesihatan dan keupayaan kepada saya.

Selain buku Pelita Bahasa Melayu, bab tertentu buku Ilmu Mengarang Melayu hanya saya imbas sedangkan cetakan asal buku itu sudah saya miliki sejak tahun 1972. Beberapa bab buku itu sudah saya baca berkali-kali. Walau bagaimanapun, bab-bab itu masih gagal saya hadam. Maklumlah, otak saya lembap dan sebahagian maklumat yang tersimpan cepat padam. Namun saya yakin, usaha untuk meneliti buku itu tidaklah sesukar usaha untuk meneliti buku Pelita Bahasa Melayu.

Saya pernah membaca dua buah buku Za‘ba yang lain. Hal itu saya lakukan lama dahulu. Tiada apa-apa yang saya ingat tentang isinya, bahkan tajuknya pun segan untuk saya catatkan kerana khuatir tersilap.

Kini saya memiliki buku Rahsia Ejaan Jawi Edisi Ejaan Rumi karya Za‘ba yang ditransliterasi dan diperkenalkan oleh Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar. Edisi Jawi buku itu terbit pada tahun 1931 dan edisi Rumi itu diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2009. Oleh sebab buku itu hanya 162 muka surat, saya akan cuba menyelesaikan penelitian dalam tempoh dua minggu.

Selepas itu saya berharap dapat membaca buku Pendeta Za‘ba dalam Kenangan susunan Abdullah Hussain dan Khalid M. Hussain (1974, 2000), Memoir Za‘ba susunan Adnan Haji Nawang (2005) dan buku-buku Za‘ba yang lain. Tentu usaha ini memakan masa kerana kebanyakan buku itu tidak terdapat di pasaran. Namun saya yakin semua buku Za‘ba terdapat di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP, Kuala Lumpur dan sebahagiannya saya jangka ada di Perpustakaan Awam Seremban. Selain itu, saya menunggu buku Za‘ba: Ahli Fikir dan Ahli Bahasa karya Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah terbit dan berharap dapat “menyambut” senaskhah buku itu di Kedai Buku Koperasi DBP sebelum buku itu dipamerkan di kedai buku lain.

Mulai 5 Februari 2001 kita memiliki Teratak Za‘ba di kampung kelahirannya. Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin bin Ahmad pernah berkata bahawa Teratak Za‘ba “bagaikan perpustakaan kepada pelajar dan penyelidik”. Mulai 1 Disember 2001 pula, kita memiliki Kursi Za‘ba di Institut Peradaban Melayu, Universiti Perguruan Sultan Idris. Penyandang pertama Kursus Za‘ba itu ialah Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar. Dalam kolokium itu Kolonel Profesor Dato’ Dr. Kamarudin Kachar mencadangkan agar Kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan Akademi Za‘ba. Cadangan itu sudah mendapat sambutan Kerajaan Negeri Sembilan.

Teratak Za'ba
Jikalau masih ada umur, insya-Allah, saya akan berusaha untuk menghadiri apa-apa acara akademik tentang Za‘ba dan pemikirannya. Saya mengimpikan satu sesi penuh dari pukul lapan pagi hingga pukul empat petang. Saya suka acara bermula awal pagi kerana pada masa itu badan masih segar. Saya tidak mengharapkan penganjur menyediakan sarapan. Namun, jikalau penganjur memang ada peruntukan, sarapan berbungkus pilihan saya. Bungkusan itu mengandungi sebotol kecil air mineral dan sejenis makanan sahaja, sama ada nasi lemak, mi atau kuih. Kuih itu sebaik-baiknya kuih kegemaran Za‘ba.

Jikalau sarapan disediakan, tidak perlu lagi kudapan yang lazimnya diadakan pada pukul 10.00 pagi. Jikalau sarapan tidak disediakan, kudapan 10.00 pagi perlu tetapi eloklah sesederhana sarapan juga. Makan tengah hari ialah nasi bungkus. Lauknya cukup dua jenis dan sebaik-baiknya ialah lauk kegemaran Za‘ba.

Penganjur bolehlah memikirkan sama ada solat Zuhur secara berjemaah dijadualkan sebelum atau selepas makan tengah hari. Yang penting solat Zuhur dijadualkan, dimaklumkan oleh pengacara, disertai oleh pasukan petugas dan imamnya ialah pengerusi atau salah seorang ahli jawatankuasa penganjur. Jikalau ada peruntukan, minum petang boleh diadakan. Jikalau peruntukan terhad, peserta boleh terus pulang atau singgah di gerai pilihan mereka. Jikalau penganjur berasa peserta perlu menanggung sebahagian atau keseluruhan perbelanjaan makan minum itu, saya bersedia membayar yuran yang berpatutan. Namun saya berharap yuran tidak dikenakan kepada pelajar dan peserta yang tidak berkemampuan.

Satu lagi impian saya, ada persembahan slaid atau klip video sebelum acara bermula. Ada pula selingan seperti pengucapan puisi sebelum setiap pembentangan kertas kerja, tetapi janganlah berupa kesenian berunsur lagha atau jelas bertentangan dengan Islam seperti pendedahan aurat remaja wanita. Pembentangan selepas solat Zuhur, jikalau diperlukan, terhad 30 minit. Acara utama sebelah petang ialah forum atau bual bicara dengan saudara-mara, rakan atau peminat Za‘ba. Acara penutup ialah persembahan didik hibur seperti pantomim, mestamu dan drama sebabak. Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) rasanya mempunyai kepakaran dalam acara ini.

Kehadiran khalayak yang terlalu ramai sehingga ada yang marah-marah kerana tidak dapat masuk ke dalam auditorium juga menjadi impian saya. Jikalau hal itu berlaku, pada masa akan datang tayangan selari pada layar gergasi bolehlah diadakan di luar auditorium dan/atau di tempat letak kereta. Saya berharap impian saya ini bukanlah khayalan. Saya yakin, apabila ada perancangan strategik dan promosi yang hebat, sesuatu impian akan menjadi kenyataan. Rasanya tidak salah penganjur meniru perancangan dan promosi pesta seni, karnival makanan atau himpunan sejuta belia, tetapi tentulah dengan mengetepikan hal-hal lagha, apalagi haram.

Sebagai penutup, terimalah sajak lama saya tentang Za‘ba. Sajak ini pernah saya hantar kepada sebuah majalah DBP pada tahun 2009 tetapi tidak diterbitkan.

Ain dan Hamzah

Rumi dahulu ada ain dan hamzah
suara ain dari rongga hidung
hentian glotis hamzah di rengkung.

Koma di atas, melengkok ke kanan
aksara itu wajah ain
koma di atas, melengkok ke kiri
diakritik itu muka hamzah.

Ain dan hamzah berhujung tajam
kala ain mendongak mesra
tika itu hamzah menunduk malu.

Rumi baharu
mencantas ain, memancung hamzah
memisahkan aur daripada tebing
memelihara gajah tanpa gading.

Za‘ba pendeta kita
namanya membawa ain ke mana-mana
jangan buang ain penutup pangkal katanya
jangan jadikan alif saksi pengganti ainnya
jangan dudukkan hamzah pada tempat ainnya
jangan persenda nama pendeta itu
dengan Rumi baharu yang keliru.

Wahai pencinta bahasa
lestarikan ain pada nama Za‘ba
abadikan hamzah pada kata al-Qur’an.
Dengan lidah yang fasih
tebarkan aksara dan diakritik kasih
gemakan suara ain dan hamzah
tepu insaf dan penuh ghairah.

Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban
29 April 2009

Tiada ulasan: