14 Jun 2012

Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (2): Sari Pandangan Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar

Za‘ba
Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (1): Sari Ucap Utama Menteri Besar dan Pidato Dr. Kamarudin Kachar

Bahagian awal pembentangan Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar yang bertajuk “Pemikiran Za‘ba: Agama, Pendidikan dan Politik” bertumpu pada buku Pendeta Za‘ba dalam Kenangan yang diusahakan oleh Abdullah Hussain dan Khalid M. Hussain terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1974 dan Memoir Za‘ba hasil usaha Adnan Haji Nawang terbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2005. Kedua-dua buah buku ini berasaskan penceritaan Za‘ba sendiri semasa hayatnya.

Prof. Emeritus Dr. Asmah
Abdullah dan Khalid memperoleh kandungan buku mereka daripada mulut Za‘ba pada setiap hari Ahad selama beberapa bulan pada tahun 1966. Atas permintaan Za‘ba, buku itu hanya diterbitkan pada tahun 1974, iaitu lebih kurang setahun selepas beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah mengkategorikan buku Pendeta Za‘ba dalam Kenangan sebagai authorized biography. Beliau menganggap kritikan Ali Haji Ahmad dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Oktober 1974 sebagai salah tafsir. Beliau menyatakan, “Sebagai pengkaji karya-karya Za‘ba, khususnya karya-karya yang bersifat bahasa, saya mengambil pendirian bahawa segala yang diceritakannya dalam biografi berkenaan adalah autentik.”

Buku Memoir Za‘ba pula ialah transkripsi rakaman daripada mulut Za‘ba yang dilakukan oleh Arkib Negara pada tahun 1970. Adanan Haji Nawang, yang menghasilkan tesis PhD tentang Za‘ba pada tahun 1988, menulis pendahuluan buku ini. Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah sendiri sedang mengusahakan buku Za‘ba: Ahli Fikir dan Ahli Bahasa yang akan diterbitkan oleh DBP.

Berasaskan kedua-dua buah buku itu dan kajiannya sendiri, Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah membicarakan diri dan pemikiran Za‘ba dari segi agama. Pati pandangan beliau, Za‘ba terdidik dalam keluarga berakhlak Islam, mendapat didikan yang istimewa tentang ilmu Islam dan menjadikan Islam sebagai panduan hidupnya sejak dia kanak-kanak lagi.

Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah menyatakan bahawa minat Za‘ba untuk mendalami ajaran Islam dilakukannya dengan cara membaca majalah tempatan dan luar negara. Selain itu Za‘ba berguru dengan Syed Syeikh al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Dalam penulisan pula, “Za‘ba memberi tumpuan pada sifat-sifat orang Melayu yang tidak faham tentang ajaran agama Islam yang sebenarnya, yang hidup tanpa berpedoman peraturan akhlak yang ditetapkan dalam agama, yang tidak pentingkan pendidikan, yang suka menyerah kepada nasib dan bergantung pada orang lain, dan sebagainya.”

Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah menegaskan, “Dalam menjalankan kerjayanya juga, Za‘ba memperlihatkan sifat taat dan patuh ini. Di sini kita harus ingat bahawa sikap ini hanya terbatas dalam menjalankan tugas-tugasnya. Dia tidak membantah apabila ditukarkan dari satu tempat kerja ke satu tempat kerja, kadangkala dengan notis yang sangat pendek. Dari segi idea yang ada dalam fikirannya berhubung dengan masyarakat di sekelilingnya, terutama sekali apabila melihat keadaan orang Melayu begitu melarat tanpa banyak perhatian kolonial, dia tidak taat dan patuh, yakni tidak ada tolak ansur baginya.”

Seterusnya Profesor Dato' Emeritus Dr. Asmah membicarakan perlakuan dan pemikiran Za‘ba dari sudut pendidikan. Sejak berusia lima tahun Za‘ba dididik oleh ayahnya membaca Al-Quran dan bahan agama bertulisan Jawi. Namun, ayahnya tidak mengajarkan kemahiran menulis Jawi kepadanya. Dia belajar sendiri. Menurut Asmah, Za‘ba menulis di atas daun pisang. (Menurut Norhalim Haji Ibrahim dalam buku Za‘ba (1895 - 1973) Perjuangannya Belum Selesai [Lembaga Muzium Negeri Sembilan, 2008] pula, Za‘ba menulis “pada pangkal pelepah anak-anak pisang yang berkapur dengan menggunakan ‘pensel’ yang diperbuat daripada ranting kayu.” Perlakuannya menyebabkan ayahnya membelikan sebuah papan batu dengan enam batang kalam batu untuknya. Kemudian ayahnya mengajarkan tulisan Jawi kepadanya.)

Ayah Za‘ba mahu anaknya itu menjadi ulama. Dia melarang Za‘ba belajar di sekolah Inggeris. Za‘ba berdegil. Apabila dia mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan Darjah Lima dan gagal ke Maktab Melayu Kuala Kangsar kerana kesilapan melakukan pilihan, dia tetap berusaha dan diterima belajar di St. Paul’s Institution, Seremban. Hal ini menyebabkan ayahnya memutuskan hubungan dengannya. Kata orang, cari-carik bulu ayam. Tiga tahun kemudian si ayah menerima anaknya semula.

Selain pakar dalam bahasa Melayu dan mahir dalam bahasa Inggeris, Za‘ba juga mengusai bahasa Arab. Dia mempelajari bahasa Arab sejak kecil dan memperoleh Diploma Bahasa Arab dari Universiti London, iaitu ketika beliau bertugas di universiti itu. Kemudian Za‘ba menjadi pelajar luar (kampus) universiti itu dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera.

Dari segi politik, Za‘ba melahirkan pemikirannya melalui tulisan. Pemerintah kolonial menyedari hal itu. Akibatnya, dia sentiasa dipindahkan dari satu tempat kerja ke satu tempat kerja, setelah berada di satu-satu tempat itu dalam dua atau tiga tahun sahaja. Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah juga menyatakan, semasa United Malays Organisation (UMO) mula ditubuhkan Za‘ba bukan sahaja ikut menyokong UMO bahkan dialah yang mencadangkan pertukaran nama UMO menjadi UMNO (United Malays National Organisation). Selain itu Za‘ba merupakan orang penting yang menentang Malayan Union. Walau bagaimanapun, setelah UMNO tegap berdiri, Za‘ba mengundurkan diri dan memberi tumpuan pada penulisannya.

Tiada ulasan: