26 April 2009

Tanda Koma Sebelum "Dan"

Masukan yang berkaitan
Tanda Baca: Catatan Permulaan
Noktah yang Terlarang

1.1 Marni membeli gula, roti dan kaya.
1.2 Marni membeli gula, roti, dan kaya.

2.1 (a) Anda dikehendaki menjawab empat soalan. (b) Jawab sekurang-kurangnya satu soalan daripada Bahagian A, B dan C.
2.2 (a) Anda dikehendaki menjawab empat soalan. (b) Jawab sekurang-kurangnya satu soalan daripada Bahagian A, B, dan C.

3.1 (a) Mereka mengambil mata pelajaran Matematik, Fizik, Sains dan Teknologi. (b) Mereka mengambil mata pelajaran Matematik, Fizik, Sains, dan Teknologi.

Penggunaan tanda koma dalam ayat 1.1 betul. Hanya ada satu tanda koma dalam ayat ini, iaitu selepas perkataan “gula”. Inilah cara biasa penggunaan tanda koma. Penggunaan tanda koma dalam ayat 1.2 juga betul. Terdapat dua tanda koma dalam ayat ini. Selain tanda koma yang diletakkan selepas perkataan “gula”, tanda koma juga diletakkan selepas perkataan “roti”. Dengan perkataan lain, ada tanda koma sebelum perkataan “dan”. Apabila kita teliti, tanda koma sebelum perkataan “dan” itu dapat menegaskan tiga benda yang dibeli oleh Marni. Tanda koma sebelum perkataan “dan” itu juga dapat membantu kewujudan intonasi yang lebih baik apabila kita membaca ayat itu dengan suara yang nyaring.

Ayat 2.1 (b) memungkinkan pelajar (calon) menjawab satu soalan daripada Bahagian A, satu soalan daripada Bahagian B, dan satu soalan daripada Bahagian C. Oleh sebab tiada tanda koma sebelum perkataan “dan”, calon juga mungkin menjawab satu soalan daripada Bahagian A, dan satu soalan lagi sama ada daripada Bahagian B atau C. Jikalau kita menggunakan ayat 2.2 (b), kemungkinan dua tafsiran ini berlaku tipis. Walau bagaimanapun, jikalau ada ayat “Anda boleh menjawab satu soalan lagi dari mana-mana bahagian” selepas ayat (b), kuranglah sedikit kemungkinan berlakunya dua tafsiran. Tegasnya, penggunaan tanda koma sebelum perkataan “dan” dalam ayat 2.2 (b) dapat mengelakkan/mengurangkan kekeliruan.

Kini, cubalah tuan bandingkan maksud ayat 3.1 (a) dengan ayat 3.1 (b) pula.

Pedoman Bahasa (JPEG) 054. Tanda Baca: Koma Sebelum “Dan”.

Tiada ulasan: