14 Januari 2009

Tanda Baca: Catatan Permulaan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Menurut Kamus Dewan tanda ialah lambang atau simbol yang digunakan dalam tulisan yang mempunyai erti tertentu. Tanda baca pula ditakrifkan sebagai “tanda-tanda dalam tulisan seperti vokal pada huruf Jawi, noktah koma, koma bertitik, dan lain-lain.”

Kemahiran menggunakan tanda baca ialah kebolehan menggunakan noktah, koma dan sebagainya, termasuk penggunaan huruf besar dan huruf kecil, yang sesuai dengan peraturan sesuatu bahasa. Sembilan tanda baca yang kerap digunakan di sekolah rendah ialah noktah atau titik (.), koma (,), tanda koma bertitik (;), tanda tanya (?), tanda seru (!), titik bertindih (:), pengikat kata atau tanda petik (“….”), sempang (-), dan tanda kurung ( ). Tanda-tanda baca lain yang biasa digunakan ialah tanda petik tunggal (‘….’), tanda sempang (-), tanda pisah (--), tanda elipsis (…) tanda garis miring (/), dan tanda penyingkat (’). Tanda-tanda lain yang selalu kita gunakan ialah tanda tambah (+), tolak (-), tanda darab (x), tanda bahagi dengan (÷), tanda sama dengan (=) dan sebagainya.

Sebenarnya, banyak lagi tanda lain yang digunakan dalam penulisan profesional, seperti dalam bidang sains, matematik, kejuruteraan, astronomi dan geologi. Gaya Dewan menyenaraikan tanda-tanda yang dimaksudkan seperti panah kembar kanan (==>) dan lebih daripada (>). Dalam al-Qur’an pula terdapat tanda baca khusus seperti tanda bacaan panjang atau pendek (harakat) dan jenis-jenis hentian (wakaf).

Sumber utama peraturan menggunakan tanda baca untuk bahasa Melayu ialah Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu. Peraturan yang terdapat dalam buku Gaya Dewan boleh dijadikan pegangan tambahan. Peraturan yang hampir sama terdapat juga dalam buku-buku untuk sekolah rendah, sekolah menengah dan institut perguruan. Kita juga boleh merujuk sumber-sumber lain seperti buku panduan menulis tesis yang terdapat di pasaran. Walau bagaimanapun, untuk para pelajar dan guru pelatih institut perguruan, peraturan yang terdapat dalam buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu sesuai dijadikan pegangan. Lazimnya, peraturan yang terdapat dalam buku-buku lain merujuki sumber ini.

Gaya Dewan menyatakan, “Tanda baca sama pentingnya dengan ejaan kerana kedua-duanya menentukan keberkesanan penyampaian mesej penulis kepada pembaca. Penggunaan tanda baca yang tidak tepat akan mengelirukan pembaca.” Hal yang sama ditegaskan oleh Nuwairi (1989), Mohd. Sidin (1992), dan Raminah (1991). Malah, menurut Mohd. Sidin (1992), “Tanda baca sebenarnya adalah suatu sumber artistik. Tanda baca bukan sekadar untuk membantu menyusun frasa dan klausa dengan betul tetapi juga untuk membantu menyatakan sikap kita, perasaan kita, emosi kita, dan juga untuk kejelasan, ketepatan, penegasan, dan sebagainya.”

Tiada ulasan: