14 Januari 2009

Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Kita mesti berpegang pada prinsip bahawa setiap sesuatu yang hendak kita hasilkan perlu melalui proses tertentu. Ambillah usaha bercucuk tanam sebagai contoh. Bercucuk tanam bermula dengan pemilihan benih yang baik, penyemaian benih, penjagaan tanaman dan penuaian hasil. Akhirnya kita nikmati hasil tanaman itu.

Pelajar, termasuk guru pelatih di institut pendidikan guru (IPG), mesti berpegang pada prinsip ini. Bagi guru pelatih IPG, semasa latihan mengajar mereka perlu menggunakan masa yang banyak untuk menyediakan rancangan pengajaran harian (RPH) dan bahan bantu belajar (BBB). Seterusnya mereka melaksanakan pengajaran di bilik darjah dengan berpandukan RPH dan menggunakan BBB itu. Selepas pengajaran dilaksanakan, mereka perlu pula memeriksa kerja murid dan menulis refleksi.

Seperti bercucuk tanam dan melaksanakan latihan mengajar, kerja karang-mengarang tidak terkecuali daripada proses tertentu. Prof. Dr. Haji Awang Sariyan menamakan proses itu tertib. Secara umum, tertib mengarang dapat kita bahagikan kepada tiga tahap. Yang pertama ialah tahap persediaan, yang kedua ialah tahap pengarangan dan yang ketiga ialah tahap penyemakan karangan. Tahap-tahap ini dalam kalangan pelajar IPG, khususnya mereka yang mengkhusus dalam Pengajian Melayu, dikenali dengan nama pendekatan proses.

Penulis blog dan e-grup juga wajar memanfaatkan pendekatan proses. Pada tahap persediaan, pilihlah bahan yang baik. Pada tahap pengarangan, hasilkanlah penulisan berpandukan pengetahuan karang-mengarang yang dipelajari di sekolah dan di institut pengajian tinggi. Pada tahap penyemakan, suntinglah karangan beberapa kali sebelum diterbitkan. Dengan demikian, insya-Allah, kita dapat menghasilkan tulisan yang bermutu di blog atau e-grup kita.

Ada kemungkinan tuan ingin mendapat maklumat lanjut tentang tertib mengarang. Jikalau benar, rujukilah buku Tertib Mengarang; Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik karangan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan. Di bawah ini saya lampirkan blurb buku itu. (Blurb ialah keterangan ringkas penerbit tentang isi sesebuah buku pada kulit belakang buku yang berkenaan.)

Untuk lebih memudahkan tuan, di bawah lampiran blurb saya catatkan pula kandungan buku itu. Saya berharap kedua-dua bahan ini dapat menggerakkan tuan untuk meneroka isi kandungan buku itu.

Akhirnya, marilah sama-sama kita renungi dua petikan daripada buku itu.

“Penguasaan kaedah dan teknik penulisan merupakan salah satu disiplin yang perlu dikuasai dan dihayati dengan baik bagi menghasilkan penulisan yang cemerlang.” Dato’ A. Aziz Deraman, halaman vii.

“Sesungguhnya kerja karang-mengarang merupakan kerja yang serius dan memerlukan disiplin yang tinggi pada setiap orang dalam bidang penulisan.” Awang Sariyan, halaman xi.

Wassalam.

Lampiran 1
Blurb Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik

Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik ini dihasilkan khusus untuk membantu para pelajar dan pendidik menghasilkan tulisan atau karangan yang bermutu. Pengarang menegaskan bahawa syarat asas penghasilan tulisan yang bermutu ialah kepatuhan kepada kaedah mengarang yang tertib yang terbahagi kepada tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap persiapan atau prapenulisan, yang kedua ialah tahap penulisan sebenar, sementara yang ketiga ialah tahap penyemakan atau pascapenulisan. Penulis yang berdisiplin tidak harus mengabaikan proses mengarang secara tertib itu.

Dalam penghasilan karangan pula, penulis menggunakan pendekatan wacana, iaitu sesuatu tulisan, biar apa pun bentuk atau jenisnya, mestilah disusun dengan menitikberatkan ciri binaan wacana yang utuh, antaranya kesatuan, kepaduan dan jalinan gagasan. Jika wacana dapat dianalogikan dengan hidangan makanan yang terhasil daripada resipi dan gaya olahan masakan yang baik, maka penghasilan karangan yang baik banyak bergantung pada pengolahan gagasan dengan cara yang baik juga. Demikian juga, jika hidangan makanan yang baik bermula dengan pemilihan ramuan atau bahan yang bermutu, maka karangan yang baik dapat dihasilkan hanya apabila penulis menguasai unsur-unsur pembentuk wacana dengan baik, khususnya unsur kata dan ayat yang berkesan.

Buku yang terdiri daripada 21 bab ini menggunakan asas retorik dan stilistik dalam penghasilan karangan, hatta untuk karangan deskriptif, teknis dan profesional. Langkah-langkah mengarang diberikan peringkat demi peringkat dengan contoh yang jelas dengan bantuan rajah serta ilustrasi. Buku ini dapat dianggap memberikan maklumat dan bimbingan dari A hingga Z tentang penulisan yang berkesan. Selain pelajar dapat menggunakan buku ini sebagai pedoman untuk menghasilkan karangan yang baik an pendidik pula dapat menggunakannya sebagai petunjuk untuk mengajarkan penulisan kepada pelajar menurut proses yang tertib. Kalangan lain seperti pegawai tadbir sesuai juga menggunakan buku ini untuk menghasilkan tulisan yang berkaitan dengan tugas sehari-hari mereka.

Lampiran 2
Kandungan Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik

1. Tertib dalam Karang-Mengarang: Apa dan Mengapa?
2. Mengapakah Anda Menulis?
3. Kenal Pasti Pembaca Sasaran Tulisan Anda
4. Mengenal Pelbagai Bentuk Karangan
5. Binaan Karangan Deskriptif yang Jitu
6. Ayat yang Berkesan
7. Ayat yang Padu
8. Penegasan sebagai Ciri Ayat yang Berkesan
9. Ciri Kepelbagaian dalam Ayat yang Berkesan
10. Pentingnya Kesejajaran dalam Ayat yang Berkesan
11. Penalaran dan Logika dalam Ayat yang Berkesan
12. Pentingnya Rangka Karangan
13. Analisis dan Ulasan Rangka Karangan
14. Merangka Karangan dalam Bentuk Peta Minda
15. Daripada Rangka Menjadi Karangan
16. Pendahuluan Karangan: Contoh dan Ulasan
17. Membina Perenggan yang Berstruktur
18. Jenis-jenis Perenggan dan Kaedah Membinanya
19. Syarat-syarat Perenggan yang Utuh
20. Menilai Karangan Sendiri
21. Kesilapan Umum Bahasa dalam Penulisan

Tiada ulasan: