08 April 2011

Enam Justifikasi untuk Menolak Penggunaan Istilah “Bahasa Malaysia”

Hari ini Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan menerbitkan nota tentang justifikasi untuk menolak penggunaan istilah “bahasa Malaysia” bagi menggantikan istilah “bahasa Melayu” dalam Facebooknya. Nota itu hasil usaha beliau bersama-sama Tuan Rusli Abdul Ghani dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya meringkaskan nota itu seperti yang di bawah. Nota asal boleh dibaca di sini atau di sini.

Ada tiga sebab utama kita menolak penggunaan istilah “bahasa Malaysia”.

1. Perbuatan mengubah istilah “bahasa Melayu” menjadi istilah “bahasa Malaysia” (perbuatan itu) ialah perbuatan yang tidak menghormati Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

2. Perbuatan itu menyalahi kandungan Surat Pekeliling Am 1, 2006 yang dengan jelas menyatakan bahawa kerajaan mempertahankan penggunaan istilah "bahasa Melayu". Surat pekeliling itu menyatakan, “Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.”

3. Perbuatan itu berupa usaha untuk meleburkan jati diri Melayu, iaitu penduduk asal Nusantara, khususnya Malaysia. Usaha ini jelas tidak bijak. Nama bahasa lain masih kekal. Orang Cina kekal dengan bahasa Cinanya dan orang India (Tamil) kekal dengan bahasa Tamilnya. Sebaliknya, orang Melayu hilang suatu ciri jati dirinya.

Ada tiga sebab sampingan kita menolak penggunaan istilah “bahasa Malaysia”.

1. Perbuatan itu bercanggah dengan sejarah. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa ilmu. Sejak abad ke-13 lagi sudah lahir beberapa banyak teks/manuskrip, khususnya yang bertulisan Jawi. Penggunaan istilah “bahasa Malaysia” akan menghilangkan sejarah kesarjanaan Melayu sebagai peradaban besar dan panjang. Malang, seorang pensyarah sastera di universiti tempatan menggunakan ungkapan “sastera bahasa Malaysia zaman empayar Melaka”. Dia diketawakan.

2. Perbuatan itu tersasar dari segi geopolitik. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu menjadi asas bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Bahasa Melayu merentasi sempadan geopolitik dan bersifat supranasional dengan neka bahasa yang sedikit berbeza tetapi bukan pada asasnya. Selain itu, lebih sejuta penutur bahasa Melayu mendiami wilayah Thai Selatan, Selatan Filipina, dan Kemboja. Ada pula kelompok Melayu diaspora di Sri Lanka, Afrika Selatan, Australia Barat, Makkah, dan lain-lain. Kesemuanya merujuk kepada bahasa yang menjadi sebahagian daripada ciri penting dalam jati diri mereka, iaitu bahasa Melayu, bukannya bahasa Malaysia.

3. Perbuatan itu mengundang kekeliruan dalam bidang kesarjanaan. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu dikaji, diteliti, diajarkan dan dipelajari di universiti-universiti di England, Belanda, Jerman, Perancis, Rusia, Ukraine, Amerika Utara, China, Korea, Jepun, New Zealand, Australia dan lain-lain. Upaya kesarjanaan baik di dalam negeri mahupun di institusi luar negara, dari dahulu sehingga sekarang, tertumpu pada korpus bahasa Melayu dan pengajian Melayu, bukannya bahasa Malaysia dan sama sekali bukan Pengajian Malaysia!

Rumusannya, kita mahu memartabatkan bahasa Melayu, bukannya bahasa Malaysia yang tidak ada tradisi seagung itu.

Nota dan perbincangan di Facebook.

Tiada ulasan: