12 April 2011

Pelajarilah Bahasa Inggeris dan Kekalkan Keputusan 2009

Pada 11 April 2011, BERNAMA melaporkan bahawa Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Profesor Madya Dr Hashim Othman, menyokong bahasa Inggeris diajar kepada pelajar sekolah. Saya menyokong pendapat beliau.

Sesungguhnya usaha untuk mengajarkan mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah bukan sahaja mesti disokong malah perlu dipergiat. Guru Bahasa Inggeris mesti menggunakan kaedah terbaik bagi membolehkan pelajar menguasai bahasa antarabangsa itu.

Sesudah berusaha, guru Bahasa Inggeris mesti bertanggungjawab apabila banyak pelajar gagal menguasai bahasa itu seperti yang pernah berlaku pada tahun 2002. Pengurus mata pelajaran, pengurus sekolah dan pengurus pendidikan di peringkat negeri serta kebangsaan juga perlu bertanggungjawab atas kegagalan pelajar. Malah, Menteri Pelajaran pun mesti turut memikul tanggungjawab itu.

Pada akhir 1990-an saya pernah menjadi Ketua Jabatan Bahasa di sebuah maktab perguruan hampir tiga tahun. Unit di bawah tadbiran saya ialah Unit Bahasa Melayu dan Unit Bahasa Inggeris. Saya memahami kendala ketidakcekapan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih.

Saya, Ketua Unit Bahasa Inggeris dan para pensyarah Bahasa Inggeris di jabatan saya bekerja keras untuk mengatasi kendala itu. Kami melakukan berbagai-bagai usaha agar bakal guru itu menguasai bahasa yang akan diajarkan dan mampu pula menggunakan kaedah dan teknik terbaik dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Namun, perkara yang berlaku di sekolah di luar kawalan kami.

Saya berasa susah hati apabila mengetahui bahawa banyak pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris pada tahun 2002 itu. Pada masa itu saya berharap pihak seperti yang dinyatakan dalam perenggan kedua dan ketiga, berusaha mengatasi masalah itu sebaik-baik yang mungkin. Sebagai pendidik guru pada masa itu, saya berharap usaha itu termasuklah menambah baik pelbagai aspek seperti pemilihan guru pelatih, kurikulum yang berkaitan dan keterampilan pensyarah.

Saya berasa hairan apabila kerajaan mengumumkan dan terus melaksanakan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003. Tindakan itu jelas terburu-buru, tidak profesional dan bertentangan dengan amalan pendidikan. Penggunaan ungkapan “lain luka, lain dibebat” dan “lain penyakit, lain ubatnya” memang tepat bagi menggambarkan tindakan itu.

Perdana Menteri kita pada masa itu ialah doktor perubatan. Beliau bertanggungjawab terhadap dasar PPSMI. Tindakan beliau bagai menyuruh pesakit kencing manisnya meminum ubat batuk sebagai cara untuk mengatasi penyakit itu sedangkan menurut rakan saya, Dr. Gan, ubat batuk itu manis dan pasti meningkatkan bacaan indeks kencing manis si pesakit.

Selain sekolah, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) yang menaungi semua maktab perguruan segera melaksanakan PPSMI. Tidak cukup dengan PPSMI, BPG memanipulasi dasar itu. Satu dua kursus lain juga diajarkan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Natijahnya, kegagalan guru pelatih dalam kursus yang berkenaan meningkat.

Seterusnya, marilah kita rujuk laporan BERNAMA pada 11 April 2011 itu.

BERNAMA juga melaporkan bahawa Presiden PPBMM, Profesor Madya Dr Hashim Othman berkata, "Usaha itu hanya boleh dilakukan melalui peningkatan dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukan melalui PPSMI."


BERNAMA memetik kata-kata Profesor Madya Dr. Hashim Othman, “Kementerian Pelajaran sendiri sudah mengumumkan program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan tanpa mengganggu perancangan memartabatkan bahasa Melayu.”

Presiden PPBMM itu berkata, tidak perlu PPSMI diadakan semula semata-mata berdasarkan desakan sesetengah pihak, lapor BERNAMA lagi.

Saya menyokong pandangan Profesor Madya Dr. Hashim Othman. Saya juga menyokong pandangan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan yang termuat dalam berita yang sama.

BERNAMA juga melaporkan bahawa Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Beijing itu berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI.

"Keputusan itu bertepatan dengan hasrat mengembalikan martabat dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

"Langkah kembali kepada sistem dua aliran (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) meskipun dalam subjek-subjek bidang Sains dan Matematik, hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan pembinaan negara," katanya.

Beliau berkata peningkatan penguasaan bahasa Inggeris sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak dapat diatasi dengan pelaksanaan PPSMI.

"Usaha itu hanya boleh dilakukan melalui peningkatan dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukan melalui PPSMI," tegasnya.

Pada tahun 2011 ini rakyat, khususnya tokoh bahasa Melayu, sudah melupakan banyak perkara yang berkaitan dengan PPSMI. Sebagai contoh, ungkapan seperti “peludah bahasa” ciptaan Sasterawan Negara A Samad Said dan “memperkosa akta sendiri” ciptaan Sasterawan Negara Anwar Ridhwan sudah tidak kedengaran.

Malang sekali, pada 11 Mac 2011, akhbar The Star Online menyiarkan berita “Muhyiddin: Soft Landing Approach to PPSMI Policy Change”. Akhbar itu melaporkan bahawa PPSMI dilanjutkan sehingga tahun 2015.

Berita itu menyebabkan luka lama berdarah kembali. Rakyat, khususnya tokoh bahasa, teringat akan ungkapan ciptaan sasterawan negara itu. Ada juga rakan teringat akan ungkapan lain seperti “talam dua muka”, “harapkan pagar, pagar makan padi” dan “yu kia-kia, kepala yu ekor pari”.

Seorang rakan mengingatkan saya peribahasa “menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri”. Kemudian dia sendiri berkata, “Jikalau benar, kita buang air dahulu.” Dia menambah kata, sebenarnya kita bukan menepuk dulang, kita menampar talam yang bermuka dua.

Apa-apa pun, demi cinta akan bahasa kebangsaan kita dan demi kasih sayang kepada pemimpin negara, kita mesti menyertai tokoh bahasa kita untuk terus berbicara. Khuatir juga kita akan dilabel sebagai “syaitan bisu” bagi kes bahasa Melayu.

Saya memohon maaf kepada sesiapa yang berasa hati. Namun, sesiapa yang memperkosa akta sendiri dan meludahi bahasa kebangsaan kita tidaklah boleh dimaafkan begitu sahaja.

Cara untuk menyelesaikan isu ini sudah dinyatakan oleh Profesor Dr. Haji Awang Sariyan. Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI.

Tambahan pada 13 April 2011-04-13

Selepas tulisan ini diterbitkan, Pensyarah Bahasa Melayu Universiti Tenaga Nasional, Puan Marniyati Mohd Nor menerbitkan masukan “PPSMI: Mengingatkan Datuk Menteri” di blognya. Beliau memetik laporan akhbar yang bertarikh 8 Julai 2009. Menteri Pelajaran pada masa itu menyenarai beberapa faktor kegagalan PPSMI yang menyebabkan Kementerian Pelajaran mengambil keputusan untuk memansuhkannya. Senarai itu dapat dibaca di blog beliau. Klik di sini.

1 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam.

Ayat ini sudah disunting: "Akhbar itu melaporkan bahawa PPSMI dilanjutkan sehingga tahun 2005." Tahun "2005" sudah ditukar menjadi tahun "2015".

Kesilapan tidak disengajakan dan baru disedari. Saya mohon pihak yang memetik artikel ini juga melakukan pembetulan.

Wassalam.