08 April 2011

Persatuan Linguistik Malaysia Bantah Syor PAGE

Saya menyokong bantahan oleh PLM. Terima kasih, Berita Harian. Semua akhbar berbahasa Melayu patut mengumandangkan suara seperti ini. Contohilah akhbar berbahasa Inggeris yang terus-menerus melaungkan suara PAGE.

Sekali lagi saya petik peringatan Kembara Bahasa dalam Facebook beliau: “Perjuangan perlu terus dihangatkan. Gunakan blog dan laman Facebook masing-masing untuk menyatakan sikap agar KPM tidak terpengaruh oleh kumpulan seperti PAGE dan lain-lain yang terus menghasut KPM agar PPSMI versi baharu dilaksanakan.”

Persatuan Linguistik Malaysia Bantah Syor PAGE
Oleh Adli Shahar, adli@bharian.com.my, 8 April 2011

KUALA LUMPUR: Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) menolak saranan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) supaya dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijadikan pilihan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata PLM berpegang pada janji kerajaan bahawa PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya sehinggalah pada peringkat pengajian tinggi sama seperti sebelum pelaksanaan pada 2003.

“PLM mewakili 48 badan bukan kerajaan (NGO) lain membantah keras sebarang cadangan untuk mengembalikan dasar PPSMI dalam apa juga bentuk sama ada sepenuhnya atau sebahagian saja di mana-mana institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan di negara ini.

“Usaha mewujudkan satu kelas khas untuk PPSMI bagi melayani segelintir pihak hanya tindakan mementingkan diri berbanding aspirasi negara dan kemajuan serta perkembangan bahasa negara sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Kali Pertama 2011 di Parlimen di sini, semalam.

PLM turut mengemukakan surat terbuka membantah memorandum PAGE dan memohon mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di Tingkatan Enam, matrikulasi dan universiti (seperti 1983 hingga 2003) kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Januari lalu, PAGE mengulangi saranan supaya dasar PPSMI dijadikan pilihan di sekolah menerusi memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sekali gus mahu resolusi persatuan terbabit dibincangkan semula oleh Kabinet.

Tiada ulasan: