16 Februari 2010

Hari Pejuang Bahasa 152

Hari ini, 15 Februari, ialah Hari Pejuang Bahasa 152 (HPB152). Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) ialah penganjur bersama HPB152 tahun 2010.

Lebih 20 organisasi turut memberikan kerjasama dalam penganjuran HPB152. Antara organisasi itu termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Pertubuhan pelajar, iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut memberikan kerjasama kepada pihak penganjur.

Penganjur memilih tarikh 15 Februari sebagai simbolik kepada angka 152. Angka 152 pula merujuk kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menyatakan, “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.” (Perlembagaan Persekutuan, hingga 1 April 2009, halaman 221.)

Acara HPB152 2010 bermula dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil selepas solat Maghrib pada 14 Februari di Rumah GAPENA. Seterusnya, pada malam yang sama, majlis pengucapan puisi diadakan di Rumah PENA. Pada pagi 15 Februari, acara utama berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, DBP Kuala Lumpur.

Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendeta Dr. Haji Ismail Hussein, menyampaikan ucapan alu-aluan dalam acara itu. Antara lain, beliau berkata, HPB152 sudah bermula pada tahun 2009 dengan wacana ilmu tentang Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut beliau, acara tahun ini lebih banyak dan penyertaan pelbagai pihak juga meningkat. Beliau berharap sambutan HPB152 pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya lebih mantap dan penyertaan rakyat juga lebih menyeluruh.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan (mantan Ketua Pengarah DBP), Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad, menyampaikan kertas kerja utama. Selepas itu diadakan forum “Wacana Peradaban Melayu”. Ahli Panel forum itu ialah Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan Dr. S. Nathesan Sellapan.

Tiada ulasan: