01 Julai 2012

Penyetaraan Bahasa Lain dengan Bahasa Kebangsaan Ditolak

Usaha pihak tertentu untuk menyetarakan bahasa lain dengan bahasa kebangsaan ditolak. Penolakan itu terkandung dalam ketetapan Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di DBP pada 28 Jun 2012 lalu. Ketetapan seminar itu disampaikan kepada Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, YB Dr. Puad Zarkashi pada akhir seminar.

Seminar itu juga “dengan sebulat suara menolak sepenuhnya usaha pihak-pihak tertentu untuk menjadikan bahasa lain (selain bahasa Melayu) sebagai asas kemasukan ke dalam maktab perguruan”. Turut ditolak ialah cadangan untuk mengadakan pusat perguruan bahasa-bahasa lain. Seminar itu menganggap usaha-usaha itu sebagai jalan belakang untuk menegakkan bahasa lain setara dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Seminar itu juga menolak tindakan pihak tertentu mengeluarkan guru-guru bahasa kebangsaan yang tidak berbahasa Mandarin dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Seminar itu menolak usaha untuk membuka sistem pendidikan sekolah antarabangsa tanpa kuota dan menuntut agar semua pelajar Malaysia yang mengikuti sistem sekolah antarabangsa disyaratkan untuk mengikuti mata pelajaran Pengajian Malaysia agar mereka dapat mencapai kecekapan dalam bahasa kebangsaan yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ketetapan lain tentang bahasa kebangsaan termasuklah cadangan agar “kurikulum ‘bahasa lisan’ diadakan semula untuk memastikan pencapaian kecekapan yang patut dalam kalangan semua warga negara sebagai jati diri mereka.

Seminar yang dihadiri oleh 250 orang daripada 21 buah pertubuhan kerabat GAPENA, 20 buah badan bukan kerajaan dan orang perseorangan turut menegaskan bahawa Falsafah Pendidikan “bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan” mestilah dilaksanakan dengan sempurna kepada semua murid dan pelajar dalam semua tahap persekolahan sehingga ke tahap fasih dan cekap.

Di bawah ini ialah ketetapan penuh seminar itu seperti yang disiarkan oleh blog Kembara Bahasa pada 30 Jun 2012.

Resolusi Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan Anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan Kerjasama DBP pada 28 Jun 2012

1. Mukadimah

Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan yang bersidang pada 28 Jun 2012 di Dewan Bahasa dan Pustaka serta dihadiri oleh 21 pertubuhan kerabat GAPENA serta 20 badan bukan kerajaan (NGO) lain-lain dan tokoh-tokoh perseorangan serta masyarakat awam sejumlah 250 orang telah dengan sebulat suara membuat ketetapan berikut:

2. Ketetapan-ketetapan

I. Bahasa:

i. Persidangan menegaskan bahawa sebarang ulang kaji sistem pendidikan nasional dalam negara mestilah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Perkara 152 - bahasa kebangsaan, Akta 32 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 1961, Akta 550 Akta Pendidikan 1996 yang kesemuanya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sebarang penyelewengan daripada semua peruntukan ini adalah pelanggaran serius undang-undang negara, warganegara yang menganjurkan selain peruntukan ini adalah dianggap sebagai antinasional serta penjenayah. Jika pihak kerajaan yang menyeleweng dari peruntukan semua undang-undang mengenai pelaksanaan bahasa ini adalah tidak bertanggungjawab, melanggar ikrar jawatan mereka dan wajib meletak jawatan dari pemerintahan negara.

ii. Falsafah pendidikan “bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan” mestilah dilaksanakan dengan sempurna kepada semua murid dan pelajar di dalam semua tahap persekolahan dalam sistem kebangsaan sehingga ke tahap fasih dan cekap. Adalah amat perlu kurikulum “bahasa lisan” diadakan semula untuk memastikan pencapaian kecekapan yang patut dalam kalangan semua warga negara sebagai jati diri mereka.

iii. Kelulusan bahasa kebangsaan yang cekap mestilah menjadi syarat kelulusan mendapat taraf kewarganegaraan melalui cara “pendaftaran” dan “kemasukan”. Kelulusan bahasa lisan yang fasih mesti menjadi syarat sebagai cara mendapat kewarganegaraan mengikut “kuat-kuasa undang-undang” ketika seseorang warganegara mendapat kad pengenalan. Demikian juga kecekapan dalam bahasa Melayu mesti menjadi syarat kenaikan pangkat dalam khidmat awam.

iv. Pengantar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti berlaku di semua tahap pendidikan termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi untuk menjadi bahasa jalinan perhubungan dan interaksi yang mantap dan berkesan antara warganegara untuk menghapuskan masalah perhubungan dalam pelbagai tindakan rasmi dan tidak rasmi dan meneguhkan jati diri.

v. Persidangan menolak usaha membuka sistem pendidikan “sekolah antarabangsa” tanpa kouta, dan menuntut supaya semua pelajar Malaysia yang mengikuti sistem sekolah antarabangsa ini disyaratkan mengikuti Pengajian Malaysia seperti berlaku dalam IPTS dengan mencapai kecekapan dalam bahasa kebangsaan setaraf SPM.

vi. Persidangan dengan sebulat suara menolak sepenuhnya usaha pihak-pihak tertentu untuk menjadi “bahasa selain bahasa Melayu” sebagai asas kemasukan ke dalam maktab perguruan, cadangan mengadakan pusat perguruan bahasa-bahasa lain dan juga tindakan mengeluarkan guru-guru bahasa kebangsaan yang tidak berbahasa Mandarin dari SJK (C), kerana segala ini adalah usaha-usaha jalan belakang untuk menegakkan bahasa lain setara dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

vii. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan dan Buku Negara mesti memperuntukkan kewangan yang cukup bagi membanyakkan penerbitan dalam semua bidang ilmu dalam bahasa Melayu sebagai mengisi keperluan dan menerapkan ilmu ke dalam semua lapisan pendidikan dan masyarakat, dan penerbitan itu mesti dianggap sebagai tanam modal untuk membina bangsa yang berilmu demi kemajuan bangsa dan negara pada masa hadapan seperti berlaku di dalam negara-negara pasaran baru muncul.

viii. Persidangan memperakukan penubuhan Majlis Pemantauan Bahasa dan Tindakan Bahasa Kebangsaan sebagai badan berautonomi oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Akta Bahasa Kebangsaan untuk memastikan amalan dan kegunaan bahasa kebangsaan berlaku dengan meluas dan sempurna, pada sebarang masa dan tempat, dalam pelbagai bidang tadbiran, dagangan dan awam sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

II. Kesusasteraan

i. Pendidikan kesusasteraan kebangsaan mestilah dipertingkatkan menjadi satu mata pelajaran wajib sebagai usaha meneguhkan pendidikan bahasa Melayu dalam dasar MBMMBI dan meningkatkan kemahiran dan kefasihan dalam bahasa Melayu.

ii. Kementerian Pelajaran Malaysia dituntut menubuhkan mata pelajaran baru bernama Rukun Negara secara pengajaran modular bagi menggantikan mata pelajar Tatanegara, dan kursus baru ini mesti mengandungi mata pelajaran Sejarah, Perlembagaan Persekutuan, Kesusasteraan, Nilai dan Etika Nasional dan Kebudayaan Pelbagai Kaum. Mata pelajaran ini wajib diikuti dalam semua jenis sekolah dari sekolah rendah sehingga ke tahap pengajian tinggi selama 15 tahun pembelajaran dan pengajian untuk memupuk patriotisme, kesatuan bangsa dan hubungan mesra antara pelbagai kelompok kaum bagi membina persefahaman antara kaum atau intercultural understanding.

III. Kebudayaan

i. Kebudayaan nasional berlandaskan Dasar Kebudayaan Nasional mesti ditafsir dalam bentuk kurikulum untuk menjadi mata pelajaran dalam semua tahap persekolahan di Malaysia untuk memupuk kesedaran kebangsaan, meneguhkan sistem negara dan melahirkan persefahaman antara warganegara Malaysia.

ii. Bentuk-bentuk seni dan budaya kaum-kaum di Malaysia dapat menjadi bahan pengajaran di dalam pelaksanaan mata pelajaran kokurikulum dan pengajaran bahasa sebagai landasan estetika dan kesedaran kesenian yang lebih luas dalam kalangan para pelajar dalam semua tahap pendidikan.

iii. Pendidikan seni di sekolah wajib berlandaskan kebudayaan nasional dan penerimaan unsur-unsur dari luar berfungsi untuk memperkaya pencapaian kesenian itu.

Termaktub di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 28 Jun 2012.

Datuk Wira Profesor Dr Abdul Latif bin Abu Bakar
Ketua Satu
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)
Merangkap Pengarah Seminar.

Disampaikan oleh Prof. Datuk Zainal Kling kepada YB Dr. Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Tiada ulasan: