30 Jun 2012

Kisah: Jumlah Burung Balam

Dewan Pelajar, September 2011

Hari ini, hari Ahad. Muhaimin akan bersolat Zuhur di masjid. Mula-mula dia hendak bersolat di rumah. Datuknya berkata, “Hari ini ada kelas tulisan Jawi. Elok kita bersolat di masjid. Boleh juga Aimin berkenalan dengan budak-budak kampung.”

“Siapakah mereka dan di manakah mereka belajar, atuk?”

“Mereka ialah budak-budak kampung ini. Mereka belajar dalam sebuah bangunan kecil di sebelah masjid.”

“Siapakah guru mereka? Bolehkah Aimin melihat mereka belajar?”

“Guru mereka ialah Ustaz Hafiz. Marilah kita pergi ke masjid sekarang. Mungkin kita dapat melihat mereka belajar.”

Muhaimin dan datuknya berjalan kaki ke masjid. Tidak lama kemudian, mereka memasuki perkarangan masjid. Dari jauh kelihatan Ustaz Hafiz dan para pelajar bergerak masuk ke dalam masjid.

Haji Rahmat melihat jam tangannya. Waktu Zuhur dua puluh minit lagi. Dia berkata kepada Muhaimin, “Kita terlewat. Mereka sudah bersurai. Mari kita pergi ke pondok di sana.”

Mereka duduk di atas bangku. Haji Rahmat memanggil tiga orang pelajar. Dia memperkenalkan cucunya kepada mereka. “Ini cucu atuk. Namanya Muhaimin.”

Ketiga-tiga orang pelajar itu bersalam dengan Muhaimin sambil memperkenalkan diri. Mereka ialah Aidil, Jamsari dan Wafi. Adil murid tahun lima, Jamsari murid tahun empat dan Wafi murid tahun tiga.

Muhaimin menyambut salam mereka. Dia memperkenalkan dirinya, “Saya Muhaimin, murid tahun empat. Saya tinggal di Bandar Cempaka Putih.”

“Mari kita masuk ke masjid. Selepas solat, kita berkumpul di sini semula,” kata Haji Rahmat.

Mereka kembali ke pondok itu apabila selesai menunaikan solat Zuhur.

“Kami kerap berkumpul di sini pada hari Ahad. Tuan Haji pandai bercerita,” kata Aidil kepada Muhaimin.

“Hari ini atuk hendak bercerita lagi?” tanya Wafi.

“Tidak. Atuk hendak kemukakan satu masalah. Masalah ini berkaitan dengan angka. Aimin pun boleh cuba menjawab,” balas Haji Rahmat.

Muhaimin teruja. Angka ialah unsur matematik. Di sekolah, dia ialah murid terbaik dalam mata pelajaran Matematik. “Aimin akan cuba,” katanya dengan yakin.

Wafi gelisah. Dia berkata, “Atuk, Wafi lemah dalam mata pelajaran Matematik. Pengajarannya dalam bahasa Inggeris. Masalah atuk dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu?”

Haji Rahmat tersenyum. Dia berkata, “Wafi jangan susah hati. Atuk akan kemukakan masalah dalam bahasa Melayu.”

Haji Rahmat menepuk-nepuk belakang Muhaimin sambil berkata, “Bahasa Inggeris cucu atuk ini baik. Ayah dan ibunya fasih berbahasa Inggeris. Dia pula mengikuti tuisyen bahasa Inggeris sejak tahun satu.”

Aimin tersipu-sipu. Warna kemerah-merahan pada wajahnya bertambah.

“Cepatlah, atuk,” desak Jamsari.

“Baiklah. Ini masalahnya. Ada dua orang budak. Seorang bernama Husin. Seorang lagi bernama Mansor. Pada suatu hari, mereka naik ke puncak bukit. Mansor nampak sekawan burung balam. Dia berbisik kepada Husin. Sin, balam, sin, katanya. Husin melihat ke arah balam itu. Berapa ekor balam yang mereka nampak?”

Muhaimin terlopong. Dahi Aidil dan Jamsari berkerut. Wafi tunduk. Matanya terpejam.

Haji Rahmat berkata lagi dengan gaya orang berbisik, “Jangan bercakap kuat. Nanti balam itu terbang. Bisikkan jawapan kamu ke telinga atuk.”

Muhaimin membisikkan jawapannya, “Satu ekor, kerana ekor balam satu.”

Haji Rahmat memuncungkan bibirnya dan menggeleng-geleng. Air muka Muhaimin berubah.

Aidil membisikkan jawapannya ke telinga Haji Rahmat, “Dua, empat atau jumlah lain yang genap.”

Sekali lagi Haji Rahmat memuncungkan bibirnya dan menggeleng-geleng. Air muka Aidil pula berubah.

“Empat,” bisik Jamsari pula.

Haji Rahmat memuncungkan bibirnya dan menggeleng-geleng lagi. Air mukanya bersahaja. Sudah tiga jawapan salah, kata hatinya.

Kini Wafi menjadi perhatian. Kedua-dua tangannya rapat pada dagu. Mukanya tertunduk sedikit. Matanya pejam. Dia kelihatan sedang berfikir bermati-matian.

Seketika kemudian Wafi merapati Haji Rahmat. Dia membisikkan jawapannya. “Atuk, sin-ba-lam-sin ialah sebelas,” bisiknya.

Haji Rahmat tersenyum lebar dan mengangguk-angguk. Dia menepuk-nepuk belakang Wafi. Wafi tersengeh. Air mukanya bagai kera mendapat pisang.

Muhaimin berjauh hati. Dia merenggangkan kedudukannya daripada datuknya.

Haji Rahmat menepuk-nepuk bahu Wafi dan berkata, “Bisikan Mansor kepada Husin ialah: sin, balam, sin. Sin, ba, lam, sin ialah ejaan Jawi untuk sebelas. Jawapan Wafi tepat!”

Aidil dan Jamsari mengucapkan tahniah kepada Wafi. Muhaimin mendiamkan diri di sebelah datuknya.

Sepanjang perjalanan pulang, Muhaimin diam. Haji Rahmat cuba berbual dengannya. Muhaimin hanya mengangguk atau menggeleng-geleng. Sesekali dia menjawab “ya” atau “tidak”. Apabila tiba di rumah, Haji Rahmat menceritakan perlakuan Muhaimin kepada isterinya.

Hajah Piah memegang kedua belah tangan Muhaimin. Dengan suara yang lembut, dia berkata, “Aimin tidak patut berkecil hati. Atuk hanya memberikan penghargaan kepada Wafi.”

“Aimin malu,” kata Aimin dengan nada sayu.

Dengan suara yang lebih lembut Hajah Piah berkata , “Percayalah, atuk hanya menunjukkan penghargaan kepada Wafi. Penghargaan itu tidak mengubah kasih sayang atuk kepada Aimin. Bukankah cikgu juga selalu menunjukkan penghargaan kepada Aimin?”

Aimin mengangguk.

“Baliklah ke kampung pada setiap hari Ahad. Aimin boleh belajar tulisan Jawi di masjid. Nanti Aimin dapat selesaikan masalah tulisan Jawi yang atuk kemukakan,” kata Hajah Piah sambil memeluk cucunya. Dia mencium dahi Muhaimin dengan penuh kasih sayang.

Tamat.

Tiada ulasan: