Wacana Peradaban Bahasa Melayu bersempena dengan Hari Pejuang Bahasa 152 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 15 Februari 2010 menampilkan empat orang panel.
Panel pertama ialah Tuan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Panel Kedua ialah Tuan Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, mewakili GAPENA. Panel ketiga ialah Tuan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Panel keempat ialah Tuan Dr. S. Nathesan Sellapan, pensyarah Open University Malaysia.
Pada hari yang sama, Tuan Profesor Abdullah Hassan menyebarkan sari pandangan setiap panel dalam Facebooknya. Pada 21 Februari, Tuan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdulah mengulas pandangannya sendiri dalam Utusan Malaysia Online. Hari ini, Puan Nurul Farina Nazlan mengemukakan laporan tentang wacana itu dari sudut pandangannya sendiri dalam Berita Harian Online.
Susunan laporan Puan Nurul Farina menarik perhatian saya. Beliau mendahulukan pandangan panel ketiga, diikuti oleh panel keempat dan seterusnya panel pertama. Tidak terdapat pandangan panel kedua dalam laporannya itu.
Pada saya, pandangan panel kedua amat menarik dan wajar menjadi tajuk dan intro akhbar perdana. Saya salin sari pandangan panel kedua itu seperti yang terdapat dalam Facebook Tuan Profesor Abdullah Hassan.
Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, berkata, "Semenjak JWW. Birch menjadi Residen Penasihat lagi, status bahasa Melayu itu sudah diubah, dan sekarang orang Melayu hilang keyakinan terhadap bahasa sendiri."
Kata beliau lagi, "Tetapi kita tidak lagi boleh bergantung pada ahli politik. Politikus-politikus ini dipilih sekali dalam lima tahun. Oleh sebab itu, mereka tidak menyokong isu memartabatkan bahasa Melayu itu apabila pemimpinnya menentang, demi takut akan kedudukan mereka dalam parti dan kerajaan tergugat."
Beliau menyambung, "Kita tidak boleh menggunakan kuasa tikus bagi membela labu."
Dalam Facebook saya, seorang pengulas menulis, “Idea muluk poliTIKUS yang takut kalah dalam jawatan tetapi tidak takut hilang jati diri memang menyedihkan.”
Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya ialah jumlah peserta wacana itu. Puan Nurul Farina menganggarkan, jumlah peserta lebih 100 orang. Tuan Dr. Mohd Ridhuan pula menganggarkan, jumlah peserta kurang daripada 200 orang. Tuan Profesor Abdullah Hassan hanya menyatakan dewan kurang padat.
Sebagai peserta, saya mendapati hadirin yang berada di dalam dewan itu pada permulaan wacana lebih kurang 200 orang. Jumlah itu meningkat beberapa minit kemudian. Saya menganggarkan, ketika Tuan Profesor Datuk Dr. Zainal Kling mengemukakan pandangannya, lebih 300 orang berada di dalam dewan itu. Jumlah ini termasuk pihak media dan pasukan seni silat.
Lampiran
Kemelut Bahasa Melayu
Oleh Nurul Farina Nazlan
Berita Harian, 24 Februari 2010
BEBERAPA ilmuwan bukan Melayu mengejutkan khalayak Wacana Hari Pejuang Bahasa 152 ketika memperkatakan ranjau dan duri yang terpaksa dilalui bahasa Melayu apabila mereka tampak lebih Melayu daripada sesetengah bangsa Melayu sendiri dalam hal ini.
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ridhuan Tee Abdullah, sebagai Cina Muslim tampak begitu bersimpati dengan nasib bahasa Melayu di negara ini apabila keluar dengan pandangan bahawa segala yang disaran dan diperdebatkan mengenai isu bahasa Melayu tidak akan bermakna tanpa ada semangat yang kuat.
“Soal bahasa adalah perkara besar kerana ia juga boleh diletakkan sebagai maruah sesuatu bangsa. Soalnya sekarang ialah siapa yang ingin melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Sampai bila isu bahasa mahu dipolitikkan. Kita semua perlu ada sikap bertolak ansur.
“Jika jiwa pihak atasan sudah tiada jiwa Melayu, bagaimana caranya mereka ingin mendidik orang yang berada di bawah untuk mencintai bahasa rasmi sendiri,” soalnya dalam nada sebak pada wacana di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Wacana bersempena Majlis Perasmian Hari Pejuang Bahasa 152 dihadiri lebih 100 peserta menyarankan semua rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan warna kulit, perlu bersatu padu mempertahankan dan mendaulat kembali bahasa Melayu pada kedudukan sewajarnya.
Pensyarah Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr S Nathesan Sellapan, pula berpandangan bahawa bahasa Melayu bukan saja untuk orang Melayu, tetapi ia adalah bahasa bangsa Malaysia yang perlu diselaraskan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Perjuangan ini tidak boleh dilakukan oleh bangsa Melayu saja kerana ia perlu dilaksanakan oleh semua masyarakat di Malaysia, malahan kita boleh lihat bahawa pembabitan masyarakat di Sabah dalam mendaulatkan bahasa Melayu adalah sangat kuat,” katanya.
Semangat memartabatkan bahasa Melayu semakin membara apabila Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan, menekankan tidak mudah untuk ‘memandaikan’ rakyat Malaysia seramai 24 juta orang dalam bahasa Melayu.
“Ini kerana ia memerlukan ketekunan, dukungan dan kewangan daripada pihak berwajib. Isu penggunaan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan membawa banyak mudarat kepada pembangunan modal insan untuk negara ini,” katanya yang juga Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).
Beliau berharap bahasa Melayu diperkasakan semula ekoran kejayaannya ditenggelamkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 dan turut membidas segelintir pemimpin yang ‘lebih sudu daripada kuah’ dalam isu bahasa Inggeris, sedangkan bahasa mereka tidak sehebat mana.
“Sejak pelaksanaan PPSMI, setiap tahun 300,000 pelajar terkandas dan siapa yang wajar dipertanggungjawabkan atas kegagalan ini. Saya berharap Kementerian Pelajaran dapat memperbaik kembali kerosakan ini agar pelajar ini tidak kecundang.
“Semua pihak perlu sedar bahawa kita tidak boleh membina peradaban tanpa ilmu yang dikendalikan dalam bahasa kita sendiri. Hanya dengan ilmu di dalam bahasa rasmi negara ini, kita dapat membina peradaban dan memantapkan negara,” katanya
Ledakan kemarahan berhubung perkara ini dapat dikesan pada Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad yang nyata kesal dan peliknya kerana bahasa Melayu masih bergelut dengan usaha memartabat, memperkasa dan memperjuangkannya selepas lebih 52 tahun dasar kebangsaan digubal.
“Hal ini pelik bagi saya, kerana bahasa yang martabatnya hendak diperjuangkan atau diperkasakan ini bukan bahasa kecil-kecilan atau yang hayatnya hampir pupus tapi, ia adalah bahasa besar yang lebih 1000 tahun menjadi alat pembina tamadun tinggi di seluruh rantau Melayu-Indonesia,” katanya ketika menyampaikan ucap utama Perjuangan Bahasa Melayu Yang Tidak Sudah-Sudah. Mengapa?
Baginya masalah yang timbul berkenaan bahasa Melayu bukan disebabkan ia tidak layak menjadi alat kemajuan bangsa dan negara, tetapi kerana dasar yang ada tidak dilaksanakan dengan tegas, benar dan jujur, sering kali diselewengkan pihak tertentu.
“Dasar itu selalu dikotak-katikkan atau menjadi mangsa pendirian, pendapat dan kepercayaan orang berkuasa, lalu diubah sesuka hati tanpa merujuk kepada Perlembagaan Negara, Parlimen, undang-undang bahasa ataupun secara rundingan dan perbincangan dengan pakar dasar bahasa Melayu di negara ini,” tegasnya.
Dr Hassan berpendapat, orang yang tidak pandai menggunakan bahasanya sendiri, tidak pandai berfikir lagi dalam bahasanya, tidak layak menjadi wakil rakyat, menteri dan pegawai kerajaan di negaranya selain berharap NGO Melayu bersatu untuk mempertahankan taraf dan fungsi bahasa Melayu dan tidak membiarkan ia diperalatkan sesiapa juga.
Pada sesi soal jawab, Pensyarah Jabatan Malaysia dan Indonesia, Pusan University of Foreign Studies, Prof Dr Kang Kyoung Seok, berkata penggunaan bahasa utama dunia bukanlah tunjang utama kegemilangan dan kemajuan sesebuah negara.
“Korea sendiri tidak mendaulatkan dan mengutamakan bahasa Inggeris dalam aspek pembangunan ekonomi dan pendidikan kerana bagi kami, bahasa Korea sangat indah dan perlu dikekalkan. Saya sendiri berpandangan bahawa bahasa Melayu adalah antara bahasa indah di dunia dan wajar didaulatkan dalam negara dan rumpunnya sendiri,” jelasnya.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan