03 Mac 2010

Hari Ini dalam Sejarah: 43 Tahun Keranda 152

Pada hari ini genaplah 43 tahun peristiwa Keranda 152. Peristiwa itu berlaku pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Pada masa itu, para pejuang dan pencinta bahasa Melayu berkumpul di DBP dan kemudian mereka berarak ke Parlimen dengan mengusung keranda.

Menurut Wikipedia, perarakan ini merupakan simbolik kepada kematia!n bahasa Melayu apabila kerajaan Malaysia tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman. Gambaran peristiwa itu tercatat dalam buku Keranda 152, Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. Baca di sini.

Pengarah DBP pada masa itu ialah Tuan Syed Nasir bin Ismail. Semasa berucap, beliau hanya mampu menuturkan beberapa patah perkataan. A.F. Yassin menggambarkan, suara Tuan Syed tidak keluar, kerongkongnya tersekat dan beberapa titis air matanya mengalir di pipinya.

Di berkata, "Saya menangis, bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenang akan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat dan bercakap apa-apa sekarang ini. Saya terikat. Apabila suatu hari nanti saya tidak terikat lagi, saya akan hamburkan kepada rakyat. Sekarang ada usaha yang hendak menghancurkan saya, menghina saya."

Suara Tuan Syed Nasir tenggelam dalam tepukan dan jeritan yang menyatakan sokongan kepadanya.

Antara tokoh penting dalam perarakan itu ialah Usman Awang. Pada masa itu beliau bertugas sebagai editor di DBP. Beliau menghasilkan dua buah sajak seperti yang dilampirkan. Puisi itu kita salin semula untuk tatapan generasi baharu.

Malam Itu di Balai Budaya

Malam itu di Balai Budaya
Api dan air mata

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
-Berarak ke parlimen, aku di muka

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
-Bakar Perlembagaan 152

Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
-Ayuh, mari kita berarak.

Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
-Dada kami sedia dibakar.

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA.

Usman Awang
3 Mac 1967.

Keranda Satu Lima Dua

Anak Melayu
panas dadamu membakar baju
kita arak keranda 152
ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah
sebelum lidahmu jadi bisu

Usman Awang
1967

Tiada ulasan: