21 Januari 2010

Radio dan Televisyen Dilarang Menggunakan Sebutan Baku

Petikan Akhbar 1
STESEN TV, RADIO DIARAH TIDAK GUNA BAHASA BAKU
Oleh Lawrence Quek (Utusan Malaysia, 21 Januari 2000)

PUTRAJAYA 20 Jan. - Semua stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta diarah tidak menggunakan sebutan bahasa Melayu baku kerana ia tidak menggambarkan realiti berbahasa penduduk di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim berkata, keputusan itu telah dicapai oleh Jemaah Menteri semasa mesyuarat mingguannya semalam. (Khamis, 20 Januari 2000)

Menurutnya, kerajaan bersetuju supaya hanya gaya sebutan bahasa Melayu di RTM saja diguna pakai memandangkan sebutan baku dianggap tidak menggambarkan realiti masyarakat Malaysia.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar bidang penyiaran di negara ini gunakan pelbagai sebutan sedangkan sistem sebutan dan ejaannya satu.

''Mulai sekarang RTM, TV3 dan media lain perlu menggunakan satu jenis sebutan dalam penyiaran mereka.

''Ini wajar sebab kita ada satu bahasa kebangsaan dan langkah ini membantu kerajaan menyatupadukan penduduk pelbagai kaum di negara ini,'' katanya.

….

Menurut Rais, penyelarasan itu bertujuan mengurangkan kekeliruan kepada pendengar dan pengguna bahasa kebangsaan.

Sebagai contoh, jelasnya, terdapat perkataan yang disebut dengan menekankan aspek kebakuan bahasa sehingga menimbulkan kejanggalan.

Beliau berkata, stesen televisyen dan radio juga perlu mengutamakan penggunaan perkataan atau istilah bahasa Melayu dalam penyampaian mereka.

''Tujuan kita melakukan semua ini bukan disebabkan soal penggunaan bahasa Melayu sekarang tidak elok atau sebagainya, tapi ingin mengemaskannya lagi.

''Saya sebagai pencinta turut mengalu-alukan keputusan kabinet ini,'' tambahnya.

Rais memberitahu, keputusan terperinci Jemaah Menteri itu akan diumumkan secara mendalam oleh menteri yang berkaitan dengan bidang penyiaran tidak lama lagi.

Sebutan baku bahasa Melayu diperkenalkan pada 1998 dengan penggunaannya dalam bidang penyiaran dipelopori oleh TV3. Pada tahun yang sama Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan sebutan baku bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah.

Tiada ulasan: