22 Januari 2010

Arahan Hentikan Penggunaan Sebutan Baku Langkah ke Belakang

Petikan Akhbar 2
Dewan Bahasa Kecewa--Arahan Hentikan Penggunaan Sebutan Baku Langkah ke Belakang
Oleh Lawrence Quek (Utusan Malaysia 22 Januari 2000)

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganggap keputusan Jemaah Menteri mengarahkan supaya sebutan baku bahasa Melayu tidak digunakan dalam bidang penyiaran sebagai langkah ke belakang dan mengecewakan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Ab. Rahim Abu Bakar berkata, arahan kerajaan itu menyebabkan badan itu - yang bermatlamat membakukan ejaan dan sebutan bahasa kebangsaan - menghadapi dilema dan kekeliruan.

Menurutnya, sebutan baku bahasa Melayu dianggap mantap selepas mula digunakan sejak 11 tahun lalu dalam banyak bidang terutamanya penyiaran dan pendidikan.

Beliau menegaskan, perkembangan sebutan baku telah sampai ke tahap membanggakan sehingga wujud dalam bentuk lisan dan keperluan rasmi.

''Dewan Bahasa dan Pustaka berhadapan dengan tanda tanya tentang sebab- musabab arahan itu dikeluarkan.

''Kami memerlukan maklumat dan penerangan lanjut dari kerajaan berhubung arahan tersebut sebelum langkah susulan dibuat ,'' katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

DBP ialah sebuah badan berkanun yang diberi autonomi untuk menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera negara. Matlamat badan itu yang tercatat dalam akta DBP 1995 (pindaan dan perluasan) turut memberi kuasa untuk membakukan ejaan dan sebutan dan, membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. Ia juga bermatlamat menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.



Tiada ulasan: