Seorang guru Bahasa Melayu baru bertukar ke sekolah baharu. Dia berhadapan dengan beberapa orang murid tahun lima yang masih belum mampu menghasilkan karangan yang baik. Walaupun masa untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hampir dua tahun lagi, guru itu tetap risau akan keadaan murid-muridnya. Dia mahu membantu murid-murid itu mulai awal tahun ini juga. Dia meminta pandangan saya.
Langkah pertama yang perlu cikgu lakukan ialah meneliti profil murid. Kenali setiap murid dari pelbagai sudut, khususnya prestasi pembelajaran mereka. Kemudian, berbincanglah dengan guru yang mengajarkan karangan kepada mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Cikgu mungkin memperoleh banyak maklumat daripada guru-guru yang berkenaan.
Selain itu, adakan juga perbincangan dengan murid-murid agar cikgu dapat meneroka kekangan yang mereka hadapi daripada mulut mereka sendiri. Setelah itu dan setelah melakukan beberapa tindakan yang lain, barulah cikgu dapat melakukan tindakan pembetulan dan penambahbaikan. Tegasnya, penyelesaian masalah hendaklah berdasarkan dapatan penyelidikan dan analisis data.
Dari segi pedagogi, sebelum mengarang murid mesti menguasai aspek tulisan mekanis . Aspek itu ialah kemahiran menulis huruf, suku kata dan perkataan. Hal ini dapat dilihat dari berbagai-bagai sudut. Antaranya termasuklah ketepatan bentuk, jarak, tekanan, kecondongan, kekemasan dan kepantasan. Aspek mekanis yang lain ialah kemahiran menggunakan huruf kecil, huruf besar dan tanda baca.
Cikgu sedia maklum bahawa antara tugas guru Bahasa Melayu termasuklah mengendalikan pemulihan ringan, iaitu pemulihan dalam bilik darjah biasa. Dapatan penyelidikan dan analisis data pasti membantu cikgu membuat keputusan sama ada murid-murid itu masih perlu menjalani pemulihan tulisan mekanis atau tidak.
Aspek penguasaan ejaan dan kosa kata amat penting. Jikalau kita mengabaikan aspek ini, karangan murid mungkin kurang bermutu atau “buruk” seperti karangan tentang “datuk saya” yang menjadi bahan lelucon dalam Facebook. Sayang, masyarakat kita lebih berminat menjadikan kelemahan orang sebagai bahan lelucon dan bukannya bahan analisis untuk melakukan pembetulan dan penambahbaikan. Saya yakin, cikgu tidak tergolong dalam kategori orang awam itu. Analisislah karangan murid-murid cikgu. Kemudian, rancang dan laksanakanlah aktiviti yang membolehkan murid-murid itu mengatasi kelemahan mereka dari segi ejaan dan kosa kata.
Guru yang baik mengadakan berbagai-bagai aktiviti untuk membantu murid menguasai ejaan dan kosa kata. Antaranya, mereka mengadakan aktiviti imlak dengan cara yang menyeronokkan seperti menyalin pengumuman, lirik lagu dan resipi. Teknik permainan bahasa seperti teka silang kata dan sahiba juga memungkinkan murid meningkatkan kemahiran mengeja dan menambah kosa kata. Gunakan teknik ini dan teknik lain agar asas untuk murid-murid cikgu itu menghasilkan karangan yang baik bertambah kukuh.
Karangan ialah gubahan fikiran yang terjelma secara lisan atau tulisan. Amat malang jikalau murid membawa kebiasaan lisan (terutamanya dalam situasi tidak formal) dalam penulisan mereka. Perkara ini sudah berlaku dan kelihatannya masih terus berlaku. Saya berharap kita bersama-sama menjadi benteng agar perkara ini tidak terus berlaku. Ada kumpulan teladan di alam nyata dan dalam interaksi maya yang dapat kita contohi. Sebagai guru atau mantan guru Bahasa Melayu, kita wajar menyertai kumpulan contoh itu. Kita bersama-sama dengan mereka menggunakan bahasa Melayu baku, sopan dan indah dalam pelbagai ranah komunikasi. Insya-Allah, murid-murid kita akan mencontohi kita dan hasilnya akan terpancar dalam karangan mereka.
Sekali lagi, karangan ialah gubahan fikiran. Gubahan fikiran yang ringkas ialah satu perkataan. Guru yang baik mengajarkan karangan secara bertatatingkat, iaitu menulis perkataan, frasa, satu ayat, beberapa ayat dan seterusnya beberapa perenggan. Maka wujudlah beberapa teknik. Antaranya termasuklah karangan berpandu, karangan terkawal dan mengarang secara bebas. Setiap teknik ini ada subtekniknya yang tersendiri. Mereka yang bergelar guru Bahasa Melayu di sekolah rendah mengetahui teknik ini dan berkemahiran mengendalikannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi, gunakanlah teknik yang bersesuaian dengan murid-murid cikgu.
Inilah pandangan saya secara umum dan ringkas tentang penulisan karangan di sekolah rendah. Adapun pandangan dan dorongan mendalam serta latihan, wajarlah diperoleh melalui pembacaan, bengkel, kursus dan sebagainya.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan