23 Oktober 2009

PAGE Terus Mengungguli Gelaran Penyokong Tegar PPSMI

Kelmarin, Tuan Haji Shapiai Muhammad Ramly menulis catatan “PAGE yang Keliru” dalam Blog Melihat Kesunyataan. Catatan pendek itu mesti menjadi bahan renungan kita.

Tindakan Parent Action Group for Education (PAGE) seperti yang terdapat dalam catatan itu mengekal PAGE sebagai penyokong tegar dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik alam Bahasa Inggeris (PPSMI). Tidak keterlaluan rasanya jikalau kita katakan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad berasa bangga dengan tindakan PAGE ini.

PPSMI memungkinkan pencinta bahasa mencipta ungkapan untuk menggambarkan orang atau kumpulan yang memperjuangkan pengekalan dasar itu. Antaranya termasuklah peludah bahasa dan pemerkosa akta sendiri. Kebegaran PAGE nampaknya melebihi maksud ungkapan yang sedia ada.

Lampiran
PAGE yang Keliru
Masih ada lagi manusia yang tidak percaya kepada bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu. Sebab itulah kumpulan PAGE ini bertindak supaya beberapa buah sekolah di Lembah Kelang diberi kebebasan untuk meneruskan PPSMI dengan alasan mendapat sokongan majoriti PIBG di tujuh buah sekolah tersebut.

Nampaklah muka-muka Melayu sendiri yang muncul dalam TV menunjukkan peratusan hasil daripada undian dalam mesyuarat PIBG di sekolah mereka. Semuanya sekolah kebangsaan. Tak nampak pula sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) atau SJK (T).

Mujurlah permohonan PAGE ini mendapat bantahan dari Dr. Mohamad Ali Hassan, Presiden PIBGN yang menyatakan kumpulan tersebut mengambil tindakan langkah ke belakang dengan menentang keputusan yang telah dibuat.

Kita sudah lebih 50 tahun merdeka. Ada lagi manusia yang mentalnya masih dijajah. Masih tidak percaya kepada kemampuan bahasa Melayu.

Lampiran
PAGE Mahu Sekolah Kebangsaan Diberi Pilihan Teruskan PPSMI
Bernama, 22 Oktober 2009

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Parent Action Group for Education (Page) mahu semua sekolah kebangsaan diberi pilihan untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata pungutan suara di tujuh buah sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur mendapati purata sebanyak 97 peratus daripada ibu bapa berhasrat supaya sekolah anak-anak mereka diberi pengecualian daripada pemansuhan PPSMI.
Tujuh buah sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Assunta 2, Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Sekolah Kebangsaan Seri Hartamas, Sekolah Kebangsaan Taman Megah, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas, Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman SEA.

"Kita bukan hendak membantah pemansuhan PPSMI dan kami juga tidak membantah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kami cuma mahukan sekolah diberi pilihan kerana mereka mendapat faedah daripada pengajaran Bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun, bahasa kebangsaan masih menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata satu memorandum mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan untuk dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tepuk Dahi

2 ulasan:

Marniyati berkata...

Salam, tuan. Kata guru saya, mereka ini tergolong dalam kelompok 'bodoh tidak boleh diajar, pandai tidak boleh diikut'.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam untuk puan juga. Benar. Kata guru, itulah pandangan kita. Kita ada peribahasa, kiasan dan sebagainya, baiklah kita manfaatkan.