02 Disember 2012

Tentang Penulis

Masukan ini ialah lampiran 2 himpunan catatan kenang-kenangan “Sabah Tempat Bermain”.


Mohd Isa bin Abd Razak pernah dikenali dengan nama pena Rasmi Safar, Isa Razak, Cikgu Isa dan beberapa nama pena lain secara bermusim, khususnya dalam komunikasi maya. Dia lahir pada tahun 1952 di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Dia menghabiskan usia mudanya di luar Negeri Sembilan, iaitu dua tahun di Kedah, tiga tahun di Pulau Pinang dan hampir 30 tahun di Sabah.

Dia terdidik di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan (1959) dan Sekolah Kebangsaan Jimah Baru, Port Dickson, Negeri Sembilan (1960 – 1964). Dia menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Sendayan, Labu, Negeri Sembilan (1965 – 1967) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Durah, Seremban (1968 – 1969). Dia belajar di Institut Kemahiran MARA, Alor Setar (1970 – 1971) dan Maktab Perguruan Gaya (1973 – 1974). Dia menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (1976 – 1979) dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera.

Dia menghasilkan novel Serandung (Pustaka Nasional, 1974) dan beberapa buah cerpen sejak 1972 hingga 1979. Pada tahun 1973 cerpennya memenangi hadiah pertama peraduan menulis cerpen Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Cawangan Tawau. Pada tahun 1976 dia menerima Hadiah Sastera Nasional untuk cerpennya “Oh, Anak Abah Sayang!” Dua buah cerpennya termuat dalam dua buah antologi yang berasingan, iaitu Musim Penyesuaian (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979) dan Minden, Senjamu Adalah Perubahan (Teks Publication, 1980). Selain itu, pada tahun 1970-an dan 1980-an dia menulis makalah, puisi dan pelbagai karya untuk akhbar dan radio.

Dia berkhidmat sebagai guru selama tiga tahun, setahun di Sekolah Rendah Saint Aloysius, Penampang (1972) dan dua tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir (Januari 1975 – Mei 1976 dan Jun – Disember 1979). Pada bulan Januari 1980 hingga bulan Disember 1984, dia menjadi pensyarah Maktab Perguruan Sandakan. Kemudian dia meneruskan tugas di Maktab Perguruan Raja Melewar Seremban (Januari 1985 – Disember 1988) dan Maktab Perguruan Keningau mulai bulan Januari 1989. Dia bersara pada bulan Mei 2008. Jawatan terakhirnya ialah Pensyarah Cemerlang Bahasa Melayu merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu.

Apabila dia menumpukan perhatian yang serius terhadap profesionnya, upaya penulisan kreatifnya menumpul dan kemudian bernoktah. Namun, sebagai penjawat awam, dia menghasilkan beberapa buah buku panduan dan sejumlah modul pembelajaran. Selain itu, dia menghasilkan ratusan kertas pengujian dan penilaian dan beberapa kurikulum kursus. Dia juga menghasilkan esei ilmiah, kertas konsep/projek, kertas kerja akademik dan pelbagai jenis laporan.

Dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, dia menghasilkan satu cakera padat pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah yang diterbitkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan pada tahun 2002 dan dua cakera padat video yang diterbitkan pada tahun 2007. Dia mengelolakan dua laman web hampir sepuluh tahun sebelum kedua-dua laman itu digodam pada awal tahun 2008. Dia menjadi moderator dua e-grup sejak tahun 1999 tetapi dibiarkannya tanpa kubur mulai tahun 2009.

Pada tahun 1996 dia menerima tauliah sebagai Munsyi Dewan. Kemudian, dia menerima dua Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Pada tahun 2001 kumpulannya menerima hadiah Johan Inovasi Pedagogi Kebangsaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Pada tahun 2007, dia menjadi penerima pertama Anugerah Pensyarah Inovatif daripada Jabatan Pendidikan Sabah.

Mulai bulan Januari 2009, dia kembali menyumbangkan tulisan untuk media cetak. Mulai bulan Januari 2009 juga dia mula menjadi penulis blog. Tulisannya disiarkan juga oleh beberapa laman dan blog lain terutamanya laman Prihatin dan Pendidik.Net. Mulai akhir bulan September 2009, dia mengaktifkan diri dalam Facebook.

Pada tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an, media cetak yang pernah menyiarkan karyanya ialah Utusan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Harian, Berita Minggu, Bintang/Mingguan Timur, Harian Ekspres, Sabah Times, Sinar USIA, Dewan Pelajar, dan Pemimpin. Apabila dia kembali berkarya mulai tahun 2009, media yang sudah menyiarkan karyanya ialah Berita Harian, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Pelajar, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya.

Catatannya "Keakraban, Kejeleketan dan Dedikasi Warga Bukit Langsat" termuat dalam buku Jubli Perak IPG Kampus Keningau (2010). Dua catatan dan satu eseinya dimuatkan sebagai bab ke-19 dalam buku Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan, Buah Fikir Guru Cemerlang terbitan MDK Intelek Enterprise, 2011.



Tiada ulasan: