03 Disember 2012

Kawan Mereka Penguasa

Penguasa negara rakan kenalan mereka
penguasa negeri handai taulan mereka
penguasa tempatan karib ikrab mereka
penguasa perbadanan teman rapat mereka
penguasa syarikat sahabat setia mereka
penguasa persatuan ialah mereka.

Berkawan dengan penguasa keperluan mereka
kerana penguasa pembuka peluang perintis jalan
kerana penguasa nama terjulang mewah makan
kerana penguasa pemberi bintang bergemerlapan.

Kawan mereka penguasa bertunjang wibawa
sumber ilham tema karya pembakar cita
rendah hati tinggi budi sungguh cendekia
juara rakyat johan gagasan alim agama
gunung berlian bukan tandingan jasa.

Mereka berdoa sepenuh hati
“ya Allah yang Rabbi
lindungan penguasa kami daripada pemfitnah
yang lakunya sudah dibuktikan sumpah laknat
nafsunya bergelojak mahu merampas amanah
daripada penguasa kami yang ikhlas berkhidmat
mengutamakan pencapaian mendahulukan rakyat
memikul amanat menatang minyak penuh di dulang
membela nasib bangsa kecemerlangan dijulang
syiar-Mu bergemerlapan dalam pelbagai acara
sambung-menyambung dari kampung ke antarabangsa.”

Mereka menafikan bahawa mereka bersiasah
dengan ungkapan, “kami hanya menyatakan kebenaran
demi masa depan demi agama penguasa kini kita kekalkan
hasrat murni jangan sesekali kaupersendakan
wahai suku-sakat anak buah bapa syaitan!”

Mereka menafikan bicara siasah dalam buku wajah
mereka berkata, “kecuali siasah
perharian diri bergerak dan berlari ke sana ke mari
risau rimas lemas suka ceria sepanjang hari
cetusan minda renungan kendiri
wawasan bahasa: baku, santun, berjati diri
dan pelbagai lagi ada di sini.”

Kata mereka, “kecuali siasah
luahkan perasaan lahirkan fikiran
ceriterakan kasih keluarga berlimpahan
nukilkan perihal kegigihan meneruskan perkhidmatan
serlahkan bakti kepada negeri dan watan
titipkan doa kepada Allah al-Rahman
di buku wajah beribu rakan.”

Kata mereka, “buku wajah bukan wadah siasah
BERSIH itu penyepah sampah
unjuk rasa demi bahasa bukan budaya ummah
membesarkan kisah pengharam jadah dikutuki Allah.”

Mereka pendukung gagasan rakyat didahulukan
penyerlah kebaikan pelan induk pendidikan
promoter kepatuhan kepada penguasa berterusan
kata mereka, “buku wajahku bukan laman bicara siasah
bukan!”

Port Dickson
4 Disember 2012

Tiada ulasan: