28 Disember 2012

Semakan Pemansuhan Nama Bahasa Malaysia


Ketetapan utama Muzakarah Munsyi Dewan di Institut Aminudin Baki pada 28 November hingga 1 Disember 2012 ialah harapan agar nama bahasa Melayu digunakan dalam semua keadaan dan bukannya nama bahasa Malaysia. Ketetapan ini dan ketetapan lain dijangka akan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri pada petang ini, Jumaat, 28 Disember 2012, selepas berlangsungnya penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ketetapan yang hampir sama dibuat dalam Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu Kali Ke-19 pada 20 – 22 Mac 2012 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Ketetapan itu berbunyi, “Penggunaan nama mata pelajaran Bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.” Jikalau ketetapan ini sudah disampaikan kepada pihak yang berkenaan, ketetapan Muzakarah Munsyi Dewan dapatlah dianggap sebagai menyokong ketetapan konvensyen itu sekali gus berupa peringatan kepada pihak yang berkenaan agar melaksanakan ketetapan itu.

Dalam pada itu, saya tertanya-tanya sama ada kedua-dua ketetapan itu memang perlu atau berupa usaha bertindih. Saya berkata demikian kerana saya pernah terbaca kenyataan bahawa Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri. Jikalau tidak silap, saya membaca kenyataan itu dalam Facebook Profesor Dr. Abdullah Hassan. Sayangnya saya sudah lupa tarikh penyiaran maklumat itu dan gagal pula untuk mencapainya semula.

Jikalau kenyataan yang saya baca itu benar, ketetapan konvensyen dan muzakarah sewajarnya dimulakan dengan kenyataan bahawa Timbalan Perdana Menteri sudah bersetuju agar nama bahasa Melayu dikekalkan. Ketetapan yang dikemukakan sewajarnya berupaya sokongan terhadap persetujuan itu. Seterusnya dinyatakan harapan agar kerajaan mengeluarkan arahan bagi memansuhkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 tentang penukaran nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Baik juga dinyatakan harapan agar pemansuhan itu dihebohkan melalui media sebagaimana menghebohkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 itu.

Keputusan Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 itu mungkin pernah dihebohkan oleh media. Rasanya saya yang ketinggalan komuter. Apabila saya fikir-fikirkan peserta konvensyen dan muzakarah juga ketinggalan komuter. Alasannya sudah saya nyatakan dalam perenggan yang di atas. Kini saya tertanya-tanya pula, benarkah Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 “bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”?

Tiada ulasan: