14 Disember 2012

Ukhuwah dan Air Mata

Awal pagi itu Rusa merahku melompat-lompat di atas jalan batu kelikir. Jalan itu menjadi laluan utama lori balak. Aku memaksa Rusaku melalui jalan itu sebagai jalan pintas untuk ke Kampung Minawo. Jarak kampung itu dari rumah sewaku cuma sepuluh kilometer. Jikalau aku melalui jalan yang bertar, jaraknya hampir dua kali ganda.

Rusaku menamatkan larian di jalan yang berlopak-lopak. Kini aku dan dua orang anakku sudah berada di simpang ke Kampung Minawo Dari simpang itu hingga ke Pusat Latihan Dakwah, jalannya bertar. Jalan itu memudahkan orang Tionghua pergi ke kuil di atas bukit. Jalan itu juga memudahkan perjalanan orang yang berkemampuan untuk bersantai di persantaian yang terletak di lereng bukit tidak jauh dari kuil.

Apabila tiba di jalan bertar itu, Rusaku berlari pantas hingga ke simpang Pusat Latihan Dakwah. Seterusnya, Rusaku kembali terlompat-lompat untuk meneruskan perjalanan ke masjid Kampung Minawo.

Sudah pukul tujuh pagi. Tentu orang sudah memenuhi masjid. Mereka tentu sedang bertakbir dan bertahmid beramai-ramai. Jikalau solat diadakan pada puku 7.30 pagi, kami mempunyai masa beberapa minit sahaja lagi. Ah, tidak sempatlah kami ikut bertakbir nampaknya! Jadi, aku mendesak Rusa merah berlari lebih pantas. Lompatannya semakin menjadi-jadi.

Lebih kurang lima minit kemudian, masjid kayu yang terletak di lereng bukit, mula kelihatan. Tiada seorang insan pun di perkarangan masjid dan di mana-mana kawasan lapang di sekitarnya. Jadi, aku berasa tidak perlu tergesa-gesa. Rusa merah kubiarkan melenggang perlahan-lahan macam itik pulang petang.

Kami naik ke masjid. Alhamdulillah, seorang pemuda sedang membentang sejadah. Sebaik-baik selesai aku bersolat sunat, pemuda itu menghulurkan mikrofon kepadaku. Jadilah aku orang yang pertama mengumandangkan takbir pagi 1 Syawal di masjid itu.

*******
Ustaz Ramli anak tempatan. Dia terdidik di sebuah pondok di Kelantan. Hari ini dia bertugas sebagai imam dan khatib. Suaranya lantang. Lagu bahasanya pelbagai dan sesuai. Perhatian jemaah bertumpu penuh pada isi khutbahnya.

Apabila khutbah selesai, Ustaz Nurikin mengetuai bacaan tahlil. Dia juga anak tempatan. Dia terdidik di sebuah pondok di Kedah. Dia ialah imam tetap. Dia juga Ketua Cawangan kampung ini.

Kira-kira pukul sembilan pagi, kami bersalaman. Kebanyakan rakan berpelukan. Aku tidak melepaskan peluang untuk memeluk Ketua Cawangan. Aku juga memeluk naibnya dan beberapa orang anak buahnya bagi memanaskan lagi darah ukhuwah yang sedia mengalir.

Seperti yang dijanjikan kelmarin, aku akan mengikut kumpulan ziarah dari rumah ke rumah. Piah tinggal dalam kereta kerana tiada rakan muslimah menyertai rombongan. Kata Piah, dia seorang sahaja muslimah di masjid itu. Aku hairan. Sungguh, di perkarangan masjid dan di mana-mana kawasan di sekitarnya tidak kelihatan wanita, kecuali dua tiga orang budak prasekolah yang dipimpin oleh bapa masing-masing. Inilah kali pertama keadaan seperti ini kualami.

Lebih seratus orang mengekori kami menuju ke rumah pertama. Jumlah itu terlalu besar.

Aku bertanya Ustaz Nurkin, “Mereka akan mengikut kita?”

Ustaz Nurikin menjawab, “Ya.”

Aku bertanya lagi, “Mengapakah mereka tidak membuat kumpulan kecil?”

Ustaz Nurikin menyatakan bahawa hal itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat. Keputusannya, jemaah lebih suka pelawat datang serentak.

Di rumah pertama, Ustaz Nurikin mengetuai kumpulan bagi mengumandangkan takbir. Kemudian dia membaca doa. Kami turun dari rumah itu tetapi tidak terus ke rumah kedua di sebelahnya kerana rakan-rakan yang lain mengisi ruang yang kami kosongkan. Kami menunggu kumpulan kecil itu di halaman sehingga semua jemaah selesai menikmati jamuan bergilir-gilir.

Di rumah kedua, Ustaz Nurikin mengetuai bacaan marhaban. Ustaz Ramli pula membaca doa. Aku makan sepinggan dengan seorang rakan dan si Boy.

Sudah lebih satu jam kami berziarah. Sudah lebih satu jam juga Piah berada di dalam kereta. Aku menyatakan hal itu kepada Ustaz Nurikin dan Cikgu Murkin. Mereka menyuruh aku menghantar Piah ke rumah Ustaz Ramli yang letaknya tidak jauh dari masjid. Aku dan Boy segera ke kereta Rusa di perkarangan masjid. Aku melihat Cikgu Murkin menyusul dari belakang.

Piah tidak mahu lagi dipujuk. Jadi, penyertaanku ke rumah-rumah berikutnya terpaksalah dibatalkan.

Aku berpesan kepada Cikgu Murkin, “Beritahu Ustaz Nurikin dan rakan-rakan, teruskan rancangan. Agenda kita ditangguhkan dahulu.”

Apabila tiba di rumah, baharu aku tahu bahawa Piah sudah kekeringan air mata untuk meneruskan tangisan. Aku dan Boy sudah membiarkannya bersendirian lebih sejam di dalam Rusa merah kami. Aku baru perasan bahawa sekotak kertas tisu putih sudah habis untuk mengelap air matanya.

Inilah satu pengalaman istimewa yang dapat memanaskan darah ukhuwah dalam linangan air mata Piah pada pagi Aidilfitri. Apabila aku menceritakan kisah ini kepada seseorang, dia berkata, “Tuan sudah merintis laluan ke arah jihad dalam perjuangan yang baru bermula.”

Nota: Kisah ini pernah disiarkan dalam E-Grup Gerak Usrah pada 13 Januari 2000 degan menggunakan nama pena Cikgu Isa.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Tuan Hj ..subahanallah ..baca hingga habis, sedih dan terharu serta gembira, rupanya begitu kental ingatan tuan haji di Keningau juga hari raya di Masjid Menawo. Ust Nurkin dan Murkin kenal sangat2..nanti jumpa mereka akan saya khabarkan cerita pena tn haji di blog Hanya sulap. Sangat2 hebat ukuhuwa itu.