03 September 2009

Amil Jaya dalam Kenangan

Sasterawan Sabah, Amil Jaya menghembuskan nafasnya yang terakhir petang kelmarin. Wartawan/pemblog Abd Naddin melaporkan perkara ini dalam blognya. Rakyat Sabah, kehilangan seorang lagi individu unggul dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

Saya ikut berasa kehilangan dan sedih. Beliau ialah pensyarah yang mengajarkan pedagogi asas bahasa kepada saya semasa saya menuntut di Maktab (Institut) Perguruan Gaya pada tahun 1973/974. Pada masa itu rakan-rakan saya belum kenal dengan nama Amil Jaya. Mereka mengenali beliau dengan nama Cikgu Ismail Abas.

Saya agak akrab dengan beliau. Hal itu berlaku atas dua sebab. Pertama, beliau ialah rakan karib abang tiri sepupu saya yang bertugas sebagai pensyarah di maktab itu. Jika tidak silap, rumahnya di maktab itu sederet dengan rumah abang tiri sepupu saya. Kedua, pada masa itu saya aktif menulis dan beberapa kali bersama-sama beliau dalam acara diskusi.

Saya menghormati Amil Jaya sebagai guru dan penulis. Oleh itu saya meluangkan masa untuk mengunjungi beliau di pejabatnya pada tahun 70-an dan awal tahun 80-an. Hubungan intim itu memudahkan saya meneruskan hubungan baik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah hingga saya bersara.

Saya baru membaca dua buah karya beliau, iaitu novel Bagaton dan Cerah. Saya sudah membeli novel Periuk Kera Raksasa karya beliau dan, insya-Allah, akan mula membacanya tidak lama lagi. Kepergian beliau menguatkan azam saya untuk memiliki dan membaca karyanya sebanyak yang mungkin.

Saya akan mengingat Cikgu Ismail Abas sebagai guru yang baik hati, lembut dan ikhlas mendidik para pelajarnya. Saya mengucapkan takziah kepada keluarganya, khususnya seorang anak beliau yang pernah menjadi pelajar saya. Ya Allah, cucurkan rahmat ke atas rohnya dan tempatkanlah beliau dalam golongan orang yang soleh. Amin.

Tiada ulasan: