1 April sememangnya sinonim dengan perayaan April Fool di Barat. Sejarah dan asal usul April Fool dikatakan bermula daripada tragedi kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tahun 1487 bersamaan dengan 892H akibat diserang oleh tentera Kristian setelah berkurun-kurun lamanya Islam bertapak di Granada. Persoalannya, adakah sejarah tersebut sahih?
Kadangkala dalam keghairahan sesetengah orang Islam untuk membuang unsur bukan Islam dalam budaya dan aktiviti harian, ada orang mereka-reka cerita untuk menguatkan hujah bahawa sesuatu aktiviti itu tidak Islamik. Sesungguhnya, sejarah April Fool yang dinyatakan itu tidak dapat dibuktikan.
April Fool sebenarnya berasal daripada penukaran tahun baru kalendar Gregorian (Masehi) dari 1 April kepada 1 Januari pada tahun 1564. Kejatuhan kerajaan Islam Granada ke tangan Kristian pula ialah pada 2 Januari 1492.
Perbuatan menghebahkan cerita yang tidak berasaskan menyebabkan Islam semakin dicurigai, ditertawakan dan diperlekeh oleh masyarakat bukan Islam. Buktinya, satu laman web yang mempromosikan ajaran Kristian dan selalu memperkecil agama Islam, menggunakan cerita April Fool versi Granada untuk menguatkan hujah bahawa Islam itu didukung oleh manusia yang paranoid (takut bayang-bayang sendiri) dan didirikan atas dasar kebencian dan permusuhan. Mujurlah laman web tersebut sudah dihapuskan.
Internet mempunyai kuasa yang sangat kuat. Jikalau digunakan dengan bijak, Internet boleh menolong menyebarkan keindahan Islam kepada manusia sejagat, tetapi jikalau digunakan untuk menyebarkan cerita separuh benar dan khabar angin, Internet boleh menjauhkan manusia daripada Islam.
Apabila kita berhadapan dengan cerita seperti asal-usul April Fool, periksalah dulu kesahihannya. Tanyalah mereka yang lebih mengetahui misalnya pakar sejarah dan ustaz supaya kita sendiri tidak terkena “fool” dek sejarah April Fool dan menjadi bahan ketawa masyarakat bukan Islam. Janganlah kita menjadi sumber penyebaran pembohongan dan fitnah.
Sama ada sejarah tersebut sahih atau tidak, perayaan April Fool tetap tidak boleh disambut oleh orang Islam kerana perayaan itu mempunyai unsur tipu helah, ketidakjujuran dan boleh merosakkan silaturahim.
Sumber: [1] http://www.solihinzubir.com/2011/03/sejarah-dan-asal-usul-april-fool-bukan.html [2] http://mindarakyat0.tripod.com/2001mac/i2001-0749.htm. Bahan di atas sudah disunting.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan