18 September 2009

Pengarang Novel Kukui Menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara

Pengarang novel Kukui, Azmah Nordin, terpilih sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Awards) yang ke-31. Menurut Bernama, termasuk Kukui, Azmah sudah menghasilkan 48 buah novel dan karyanya juga termuat dalam 22 antologi cerpen. Beliau juga sudah memenangi 22 hadiah dalam pelbagai peraduan.

Saya terlambat mengikuti perkembangan diri beliau. Dalam kesibukan sebagai penjawat awam, saya hanya sempat membaca satu tulisan beliau tentang proses kreatifnya. Apabila saya bersara, barulah saya berkesempatan membaca novelnya.

Walau bagaimanapun, setakat ini hanya novel Kukui yang sudah saya baca. Kini saya masih dalam proses mebaca novel Dukanya Abadi. Insya-Allah saya akan membaca tiga buah novelnya lagi yang sudah berada di rak buku saya. Ketiga-tiga buah novel itu saya beli minggu lalu.

Saya masih meneliti novel Kukui. Dua perkara yang menjadi tumpuan saya ialah pemerian adat resam kaum Murut dan aspek bahasa. Melalui Kukui, saya mendapati Azmah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang adat resam suku kaum Murut di Sabah.

Tahniah saya ucapkan kepada Azmah. Oleh sebab usia beliau masih muda, saya percaya beliau mampu menghasilkan karya lebih banyak dan tinggi mutunya.

Lampiran

Azmah Dipilih Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2009
Oleh Ramjit, BERNAMA, 18 September, 2009 15:18 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Azmah Nordin, 41, dipilih sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2009 bagi negara Malaysia, menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pencalonan anak kelahiran Kulim, Kedah untuk anugerah itu dicadangkan oleh DBP selaku Sekretariat Tetap anugerah, melalui Jawatankuasa Pemilihan SEA Write Awards, yang turut mendapat pengesahan daripada Sekretariat SEA Write Awards di Bangkok, Thailand pada 9 September lepas.

"Azmah merupakan penerima anugerah itu yang ke-31, sejak ia diwujudkan pada 1979. Dengan kemenangan itu beliau menerima wang tunai sebanyak Baht 70,000 (RM6,796.77) dan beberapa hadiah sampingan yang lain," menurut kenyataan itu.

Azmah akan menghadiri Minggu Anugerah Penulis Asia Tenggara 2009 yang akan berlangsung pada dari 4 hingga 10 Oktober ini di Hotel Oriental, Bangkok, Thailand *di mana anugerah akan disampaikan *di acara kemuncak iaitu Malam Gala dan Majlis Penganugerahan Anugerah pada 9 Oktober di tempat yang sama.

Anugerah akan disampaikan oleh Putera Mahkota Thailand Maha Vajiralongkron dan Puteri Srirasm.

Azmah yang dilahirkan pada 10 Jan 1958 dan kini menetap di Sabah sejak 1973, mula melibatkan diri dalam dunia penulisan dengan menghasilkan karya-karya dalam genre cerpen dan novel termasuk novel kanak-kanak sejak 1985.

Antara 48 novel hasil tulisan beliau ialah Noor Ainku Sayang, Pejuang Bawah Bayu, Biar Kasihmu Terukir, Awang Kirana Mudir Besar, Titian Gelora, Merentas Selat, Ribut di Gua Gomantong, Mega Nissa, Bantogen, Halusinasi, Dari Dalam Cermin, Menongkah Lumrah, Singgahmata dan Puteri Delima.

Beliau turut menghasilkan tiga kumpulan cerpen iaitu Singkowonton, Wizurai dan Kasih Seputih Kemboja, 22 antologi cerpen dan 27 cerpen yang diterbitkan dalam majalah.

Hasil dedikasi beliau dalam dunia penulisan, beliau memenangi 22 anugerah dalam pelbagai peraduan dan sayembara, antaranya Hadiah Khas Novel ESSO/GAPENA, Hadiah Sastera Sabah DBP 1998/1999 melalui novel Syumul, Hadiah Malayan Banking Berhad-DBP 1991, Hadiah Novel Remaja Berunsur Islam 1992, Hadiah Menulis Novel Kanak-kanak dan Hadiah Puisi dan Cerpen DBKL-DBP 1990.

Anugerah lain yang diterimanya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000/2001 melalui kumpulan cerpen Kasih Seputih Kemboja, Hadiah Sastera Kerajaan Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah pada tahun 2002/2003, Hadiah Karya Sulung sempena Perayaan 25 tahun DBP Cawangan Sabah dan Hadiah Sastera Sabah 2004/2005 melalui Rahsia.

Tiada ulasan: