29 Januari 2010

Bahasa Baku Perlu Diteruskan di Sekolah

Petikan Akhbar 13
Bahasa Baku Perlu Diteruskan di Sekolah
Utusan Online 29 Januari 2000, leh Noor Azmah Ibrahim

PENGGUNAAN bahasa baku di sekolah-sekolah perlu dikekalkan kerana ia sangat sesuai dilaksanakan di peringkat pendidikan bagi meluaskannya dalam percakapan seharian mahupun urusan rasmi.

Tanpa bahasa yang seragam, guru-guru serta para pelajar akan kehilangan satu garis panduan, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berpendapat, penggunaan bahasa baku di sekolah-sekolah tidak perlu dipertikaikan kerana ia merupakan sebutan dan pertuturan yang bertepatan dengan ejaan.

"Kementerian Pendidikan perlu benar-benar mempertimbangkan semula keputusan memansuhkan penggunaan bahasa baku di sekolah-sekolah kerana ia sangat sesuai di peringkat pendidikan.

''Jika ia tidak bermula dari sekolah, bagaimana kita mahu mewujudkan generasi yang bukan sahaja tahu bahawa bahasa Melayu mempunyai bahasa seragam tetapi juga dapat menggunakannya?'' ujarnya.

Kabinet kelmarin menangguhkan pemansuhan bahasa baku di sekolah sehingga Rabu depan sementara menunggu laporan menyeluruh daripada Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, kabinet telah bersetuju mengekalkan keputusan memansuhkan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu di semua stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta yang diperkenalkan pada 1988.

Mohd. Azmi menambah, di samping menunjukkan bahawa bahasa Melayu mempunyai satu sistem yang konsisten, penggunaan bahasa Melayu baku juga akan memudahkan bangsa-bangsa lain mempelajarinya.

''Penghapusan bahasa Melayu baku di peringkat pendidikan mahupun di bidang penyiaran akan menghalang pengembangan bahasa Melayu di kalangan kaum lain.

''Ini kerana kekeliruan akan timbul apabila tiada satu bahasa yang seragam selain daripada bahasa pertuturan harian mengikut loghat negeri dan daerah untuk dipelajari,'' katanya.

Di samping itu, beliau juga menegaskan bahawa penggunaan bahasa baku yang tidak meluas walaupun telah dilaksana selama 11 tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk memansuhkannya begitu sahaja.

''Penggunaan bahasa Melayu mengikut loghat yang digunakan secara meluas di kalangan orang Melayu bukan bererti kita tidak perlu mempunyai satu bahasa yang seragam.

''Pengiktirafan terhadap bahasa baku dibuat oleh pakar-pakar dari seluruh rantau Asia yang menggunakan bahasa Melayu, bukannya ia diambil daripada bahasa Indonesia,'' katanya lagi.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Asas Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Nordin berkata, pemansuhan bahasa baku di institusi pendidikan akan menghilangkan satu sistem berbahasa yang standard.

''Jika selama ini guru-guru dilatih menggunakan bahasa baku untuk pertuturan semasa menjalani latihan mahupun semasa mengajar, pemansuhannya akan menyebabkan mereka kehilangan garis panduan.



''Tidak mustahil, guru berasal dari Perak akan terikut-ikut dengan loghat Perak semasa mengajar, manakala guru dari negeri lain pula akan menggunakan loghat yang lain,'' katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Pengajian Jarak Jauh berpendapat, bahasa Melayu baku tidak perlu dimansuhkan kerana penggunaannya tidak menimbulkan sebarang masalah.

''Kita sudah lama menggunakan bahasa baku dalam kaedah mengajar serta di dalam kelas. Jadi kita tidak nampak kenapa ia perlu dimansuhkan secara tergesa-gesa seperti ini.

''Malah, alasan yang digunakan untuk memansuhkan bahasa baku juga tidak boleh diterima kerana tiada bukti jelas berdasarkan statistik atau sebagainya yang dikemukakan,'' ujarnya.

Di samping itu, Dr. Tajul menambah, kekeliruan juga timbul kerana keputusan memansuhkan penggunaan bahasa baku juga dibuat secara tergesa-gesa tanpa merujuk pakar-pakar bahasa.

''Sepatutnya, sebelum memansuhkan bahasa baku, kabinet perlu berunding dengan pakar-pakar bahasa terlebih dahulu kerana mereka lebih arif dalam bidang ini.

''Malangnya, semacam tiada komunikasi antara kerajaan dengan pakar-pakar serta badan yang bertanggungjawab di bidang bahasa kerana mereka sendiri tidak tahu-menahu tentang pemansuhan ini,'' ujarnya.


Tiada ulasan: