09 Januari 2013

Ejaan Nama Za‘ba

Sumber utama peraturan menggunakan tanda baca untuk bahasa Melayu ialah Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu. Peraturan yang terdapat dalam buku Gaya Dewan boleh dijadikan pegangan tambahan. Peraturan yang hampir sama terdapat juga dalam buku-buku untuk sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pendidikan guru (IPG). Kita juga boleh merujuk sumber lain seperti buku panduan penulisan tesis yang terdapat di pasaran. Walau bagaimanapun, untuk para pelajar dan guru pelatih IPG, peraturan yang terdapat dalam buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu sesuai dijadikan pegangan. Lazimnya, peraturan yang terdapat dalam buku-buku lain merujuki sumber ini.

Ada pengguna bahasa Melayu kurang atau tidak ambil berat tentang tanda baca. Sebagai contoh, mereka tidak membubuh noktah di akhir ayat penyata. Ada pula pengguna bahasa kita membubuh dua titik di akhir ayat penyata sedangkan mereka tahu bahawa lambang noktah hanyalah satu titik. Ada juga pengguna bahasa kita membubuh tiga, empat atau lebih titik di akhir ayat penyata. Ketaralah bahawa mereka tidak dapat membezakan noktah dengan elipsis (…), elipsis berserta noktah (….) dan ruangan yang dikosongkan dalam butiran ujian yang lazimnya lapan hingga 12 titik.

Ketidakprihatinan mereka terhadap tanda baca adakalanya mengundang padah. Hal itu berlaku apabila kesilapan penggunaan tanda baca itu terserlah di latar pentas. Sebagai contoh, dalam satu perbincangan tentang sumbangan Pendeta Za‘ba, antara perkara yang disentuh ialah ketelitian Za‘ba menggunakan tanda baca. Pada latar pentas dan buku atar cara ejaan Za‘ba yang digunakan ialah *Za’ba. Nyatalah bahawa penganjur kurang ambil berat tentang tanda (‘) yang dipadankan dengan huruf ain dalam huruf Jawi dan tanda (’) yang dipadankan dengan huruf hamzah. Mungkin mereka tidak menyedari bahawa Za‘ba ialah ringkasan nama Zainal ‘Abidin bin Ahmad menjadi Z.‘A.b.A. Ejaan ini mengalami beberapa kali perubahan dan kini ejaan Za‘ba sudah mantap.

Oleh hal yang demikian, pengguna bahasa Melayu, khususnya guru dan pelajar hendaklah mengambil berat aspek tanda baca. Manfaatkanlah bahan yang sudah dinyatakan.

Tiada ulasan: