Saya pernah meneliti buku Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas Masalah Penguasaan 3M terbitan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (1999). Kandungan buku itu menjadi bahan utama saya untuk apa-apa kursus yang berkaitan dengan pemulihan. Kebanyakan peserta kursus pula, khususnya kursus dalam perkhidmatan, memfotokopi keseluruhan buku yang tebal itu. Semasa menyelia praktikum atau memantau pelaksanaan kursus, saya dapati beberapa orang guru pemulihan khas (GPK) menggunakan bahan fotokopi itu di dalam bilik darjah. Oleh sebab bahan itu difotokopi, mereka menggunakan bahan itu tanpa sebarang penyesuaian.
Saya berpendapat, peserta kursus di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan GPK di sekolah memerlukan edisi digital buku itu. Edisi digital ringan, mudah diperbanyak dan dapat disebarluaskan tanpa kos nyata. Yang terpenting, guru dapat mengubah suai edisi digital itu bersesuaian dengan keperluan setempat dan semasa.
Pada tahun 2006, saya mengusahakan edisi digital bahagian utama buku itu, iaitu bab pertama, “Panduan Pengurusan Program Pemulihan Khas” dan bab kedua, “Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas Bahasa Melayu”. Bab pertama sudah saya digitalkan sepenuhnya. Pendigitalan bab kedua, iaitu bab teras buku ini, baru siap lebih kurang lapan puluh peratus. Bahagian yang belum didigitalkan ialah ujian diagnostik penulisan. Selain itu saya sempat mendigitalkan hampir keseluruhan bahagian lampiran.
Ketika melakukan usaha pendigitalan itu, saya memang tidak memasukan pendigitalan bab ketiga, “Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas Matematik” dan bab keempat, “Panduan Pengamatan”. Pada masa itu saya berfikir, usaha pendigitalan kedua-dua bab ini dapat dilaksanakan oleh mereka yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang yang berkenaan. Mereka dapat melaksanakan tugas itu apabila pihak saya menganjurkan sesuatu projek yang berkaitan.
Edisi digital yang saya usahakan ada keistimewaannya. Yang pertama, kesilapan bahasa dan kandungan yang terdapat dalam edisi cetak sudah saya betulkan. Yang kedua, saya melakukan penambahbaikan dari segi kandungan dan persembahan. Yang ketiga, oleh sebab saya menggunakan fail Microsoft Word, kandungannya mudah dimanipulasi. Tegasnya, edisi digital itu bukan hasil imbasan atau versi PDF edisi cetak.
Seperkara lagi, dan hal ini mungkin yang terpenting, rajah dan gambar saya gubah semula dengan menggunakan Power Point dan kemudian ditukar kepada format EMF. Saiz citra EMF dalam Word boleh diubah. Format EMF itu dapat ditukar menjadi JPEG. Fail Power Point itu disertakan dan boleh juga diubah suai untuk tujuan lain, khususnya sebagai bahan bantu belajar.
Pendigitalan bahagian utama buku yang berkenaan saya lakukan serentak dengan beberapa usaha yang lain. Keseluruhan usaha itu menyokong satu projek pembinaan bahan pengajaran dan pembelajaran pemulihan. Sesi pemanasan projek itu diadakan di sebuah hotel pada awal tahun 2008. Beberapa orang individu yang berkaitan dengan pemulihan khas di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah ikut serta dalam sesi pemanasan itu.
Hari ini, apabila berbincang-bincang dengan beberapa orang GPK di Facebook (FB), saya terkenang akan usaha saya itu. Saya teringat, beberapa orang rakan pernah menyalin bahan itu. Yang terakhir, seorang rakan dari sebuah kampus IPGM sudah menyatakan kesediaannya untuk menyalin bahan itu dan beberapa bahan yang lain. Kemudian, saya terfikir pula, baik juga jikalau rakan FB yang berkenaan memanfaatkan usaha lama saya yang kurang sempurna itu.
Namun saya teringat, dalam satu taklimat di Kota Kinabalu pada akhir tahun 2007 (atau awal 2008?), jikalau tidak silap ingatan saya, pentaklimat menyatakan pihak yang berkenaan sudah menerbitkan edisi baharu buku itu. Jikalau benar, edisi digital saya pasti sudah ketinggalan masa. Namun, lembaran dalam format Word dan bahan dalam format Power Point yang saya usahakan itu masih dapat dimanfaatkan.
Sambutan tentang catatan ini memang saya harapkan. Baik benar jikalau ada rakan yang sudi memberikan maklumat ringkas tentang kandungan dan keistimewaan edisi baharu buku itu. Saya juga kepingin tahu sama ada hasil sesi pemanasan di hotel itu sudah masak atau belum, atau sejuk begitu sahaja.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan