11 Januari 2009

Kemaskan Perkara 152

Ulasan Rencana
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Hari ini saya berkesempatan membaca rencana “Teliti Isu Bahasa Melayu Hingga ke Akar Umbi” dalam arkib Utusan Malaysia, 11 Disember 2008. Rencana itu ditulis oleh Dr. Sharifudin Lubis, Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Rencana itu berupa respons beliau tentang isu semasa penggunaan bahasa Melayu. Yang pertama ialah isu penggunaan bahasa Melayu di mahkamah, termasuk penguasaannya dalam kalangan para peguam. Yang kedua ialah penggunaan bahasa pada papan tanda.

Dr. Sharifudin berpendapat, punca masalah itu ialah ketidakmantapan peruntukan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara itu goyah. Peruntukan dalam Perkara itu menyebabkan bahasa Melayu mesti bersaing dengan bahasa-bahasa lain.

Beliau menegaskan, kedudukan bahasa Melayu goyah kerana akarnya, iaitu Perkara 152, tidak kemas. Menurut beliau, pelbagai pindaan dangkal, terutama beralaskan agenda politik, dilakukan. Hal itu menjadikan bahasa Melayu seperti “raja tanpa kuasa”.

Menurut beliau, implikasi pindaan itu, sekolah beraliran jenis kebangsaan ditubuhkan. Para pemimpin pula tidak wajib menggunakan bahasa Melayu dalam majlis rasmi. Dalam beberapa banyak majlis rasmi yang dihadiri oleh seorang dua orang asing, para pemimpin tertinggi negara tidak menggunakan bahasa Melayu.

Jadi, beliau mengesyorkan inti pati Perkara 152 diperkemas. Dengan perkataan lain, Parlimen perlu membuat pindaan terhadap Perkara itu. Setiap perkataan, ungkapan atau ayat yang boleh menggugat status bahasa Melayu hendaklah dipinda.

Tiada ulasan: