19 Januari 2009

Saya Tidak Pandai, Cikgu

Oleh Traccie Sahni

Wanis. Dialah murid yang saya bimbing secara individu semasa praktikum.

Apabila guru pembimbing mencadangkan agar saya membimbing murid tahun empat itu, saya tergamam. Dia tidak boleh membaca. Saya risau dan tertanya-tanya. Mampukah saya memulihkannya?

Saya pernah mengajar di Kuala Lumpur selama tiga tahun. Mengapakah rasa risau dan ragu masih ada untuk menghadapi cabaran ini? Mungkin kerana saya hanyalah guru pelatih. Namun, demi memperoleh pengalaman semasa latihan, cabaran itu saya terima.

Wanis ialah murid Tahun Empat Emas. Pembelajarannya tersekat kerana masalah ekonomi keluarga.

Dia menghidangkan saya tangisan pada kali pertama bertemu dengannya. Ketika itu saya mengajarkan Bahasa Melayu di kelasnya. Saya masih ingat, dia menangis terus-terusan semasa saya mengajar. Kemudian saya ketahui, rupa-rupanya dia takut akan saya. Dia memang tidak dapat menyiapkan tugasan yang saya berikan.

Selepas mengajar, saya memanggilnya. Dan mulai hari itu saya memahami masalahnya. Ayat pertama yang menyebabkan saya sebak dan simpati ialah apabila dia berkata, "Saya tidak pandai, Cikgu."

Patutlah dia berkata begitu. Dia memang tidak boleh membaca. Pada ketika itu jugalah saya mengetahui bahawa Wanislah murid yang dicadangkan oleh guru pembimbing saya untuk dipulihkan.

Keesokan harinya, saya memanggil Wanis ke bilik pemulihan. Saya mengenal pasti daerah kelemahannya. Saya mendapati dia tidak bermasalah mengenal dan membunyikan huruf besar dan huruf kecil. Cuma, dia gagal mengenal pasti huruf vokal.

Sebagai langkah pertama, saya mengajarnya mengenali huruf vokal. Saya melatih tubinya menyebut huruf berulang kali. Latih tubi itu berbantukan bahan binaan saya sendiri. Antaranya ialah kad huruf dan bahan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi.

Wanis akhirnya dapat menghafal kesemua huruf vokal. Dia dapat menyebut huruf vokal dengan lancar dan betul tanpa bimbingan.

Sebagai peneguhan, saya menyediakan buku latihan untuk Wanis dan memberikan "nota ringkas" kepadanya untuk ulang kaji di rumah.

Keesokan harinya, saya melatih tubi Wanis membunyikan suku kata KV seperti ba, be, bi, bo, bu. Seperti biasa, saya membimbingnya terlebih dahulu sehinggalah saya yakin dia boleh membunyikannya dan membaca suku kata tersebut. Penggunaan bahan bantu belajar seperti kad suku kata dan kad gambar serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sangat membantu Wanis menguasai kemahiran pada hari itu.

Sudah dua hari dia berada dalam bimbingan saya. Namun dia masih mempunyai sikap malu. Dia kurang bercakap. Untuk mewujudkan rasa selesa, saya mengajaknya berbual. Adakalanya saya bergurau dengannya supaya hubungan kami lebih akrab.

Saya dapat melihat perubahan sikap Wanis dari semasa ke semasa. Dia sudah mula berani memberikan senyuman dan menyapa saya apabila terserempak di mana-mana sahaja. Apabila melalui kelas pemulihan, dia juga berani melambai-lambaikan tangan kepada saya.

Saya mendapati Wanis sentiasa mengulang kaji suku kata yang sudah diajar. Jadi, dia dapat mengeja dan menyebut dengan baik setiap suku kata yang sudah diajarkan.

Adakalanya saya menguji Wanis menggunakan kemahiran yang susah sedikit. Saya gabungkan suku-suku kata seperti ba-ba, bi-bi, bo-bo dan bu-bu. Nyata penguasaannya lambat. Namun saya gembira kerana dia akhirnya dapat membaca suku kata yang telah digabungkan itu.

Apabila saya dapati Wanis sudah menguasai suku kata yang bermula dengan huruf b, saya beralih pula kepada suku kata yang bermula dengan huruf c seperti ca, ce, ci cu dan co.

Selepas sahaja Wanis menguasai bacaan suku kata itu, saya gabungkan dua suku kata bagi satu perkataan. Pada masa yang sama, saya menyelitkan juga suku kata yang bermula dengan huruf b yang sudah dipelajari seperti perkataan baca, cuba, caca, cici, cucu, cacu dan sebagainya.

Saya kerap membekalkan nota ringkas dan juga latihan sebagai aktiviti pengukuhan di rumah. Saya mendapat tahu Wanis mempunyai seorang kakak sepupu yang boleh membantunya di rumah. Dengan bantuan kakak sepupunya itu dan dengan semangat dan usaha Wanis sendiri, dia mula menguasai kemahiran mengeja dan membaca.

Masa berlalu dan akhirnya saya selesai mengajarnya kesemua suku kata KV.

Kemahiran demi kemahiran semakin dikuasainya. Tiada yang lebih menggembirakan apabila akhirnya saya mendapati dia menguasai kemahiran asas mengeja dan membaca.

Saya sangat berpuas hati dan gembira dengan perubahan Wanis. Daripada seorang yang langsung tidak tahu membaca, kini dia sudah dapat menguasai bacaan perkataan KV + KV dan perkataan KVK serta sudah mampu membaca petikan yang ringkas.

Saya sentiasa memberi semangat kepadanya supaya terus berusaha untuk menguasai ejaan dan bacaan. Saya juga sangat gembira kerana Wanis memberitahu saya bahawa ibu bapanya juga sentiasa mengikuti perkembangan pelajarannya.

Selain meminta Wanis membaca, saya juga melatihnya menulis perkataan. Saya menyebut nama benda atau beberapa perkataan dan memintanya mengeja dan menulis perkataan itu dalam buku.

Sesiapa sahaja tentu berasa gembira apabila berjaya membimbing murid melangkah ke satu tangga yang lebih baik berbanding sebelumnya. Wanis kini sudah mampu dan semakin lancar membaca petikan ringkas atau cerita yang ada perkataan KV + KV. Kini dia mula mampu membaca perkataan KV + KV + KV.

Kelmarin, Wanis terpaksa saya tinggalkan kerana sesi praktikum sudah pun selesai. Saat berpisah, dia mencium tangan saya dan memeluk saya. Saya menahan air mata.

Saya masih menghubungi mantan guru pembimbing dan bertanya perkembangan Wanis. Saya berharap ketiadaan saya, tidak menjejaskan pembelajaran Wanis. Pasti ada guru lain yang dapat meneruskan bimbingan yang saya terokai.

Saya yakin Wanis bukanlah murid yang lemah. Jikalau tiada masalah kewangan, dia mungkin mampu menjadi murid yang pintar. Sedekad dua akan datang dia mungkin akan membentangkan hasil kajiannya tentang masalah pembelajaran membaca di sekolah kurang murid di kawasan pedalaman seperti Terian, Abuan dan Pantai Boring.

Nota
Catatan ini ialah gubahan semula catatan pendek dalam jurnal praktikum. Catatan ini disunting oleh mentor guru pelatih. Diharap guru pelatih institut pendidikan guru dan peserta kursus pemulihan khas dapat memanfaatkan catatan ini.

Tiada ulasan: