24 Februari 2009

Ejaan: Pengebumian atau Pengkebumian?

Saya keliru tentang penggunaan perkataan dengan kata dasar kebumi. Saya cari ejaan yang betul apabila dibubuh imbuhan: pengkebumian atau pengebumian. Saya cari dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tetapi tidak ada.

Guru Pedalaman
Kinabatangan, Sabah

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4, 2005), perkataan pengebumian terletak di bawah masukan bumi. KD4 itu mencatatkan, pengebumian bermaksud perihal atau perbuatan mengebumikan atau penguburan.

Kata dasar pengebumian ialah ke bumi. Apabila dicantumkan dengan apitan meN- … -kan kata dasar itu menjadi mengebumikan dan menjadi pengebumian apabila dicantumkan pula dengan apitan peN- … -an. Tegasnya, fonem /k/ luluh atau dengan perkataan biasa, huruf k digugurkan.

“Ke bumi” terdiri daripada dua perkataan. Yang pertama ialah kata sendi ke yang menunjukkan arah atau tempat yang dituju. Yang kedua ialah bumi. Bumi dapat bermakna planet tempat kita tinggal (dunia) atau permukaan bumi (tanah). Kita dapat mengesan kedua-dua perkataan ini sebagai kata masukan dalam KD4. Tegasnya, tiada kata masukan kebumi (salah ejaannya) atau ke bumi.

Baik juga kita perhatikan dua ayat yang menggunakan perkataan “ke bumi”. Ayat yang pertama, “Setelah beberapa hari berada di angkasa lepas, angkasawan kita kembali ke bumi”. “Ke bumi” di sini bermakna berada di atas planet tempat kita tinggal – bukan di dalam bumi. Ayat yang kedua, “Darahnya tumpah ke bumi”. Ayat ini bermakna darahnya kena pada tanah.

“Ke bumi” dalam konteks “pengebumian” pula bermakna “masuk ke dalam bumi (tanah)”. Maksud “bumi” di sini ialah “lubang kubur”. Jadi “pengebumian” semaksud dengan “penguburan”.

Makna masuk ini pun secara kiasan sahaja kerana mayat tidak boleh masuk sendiri ke dalam lubang kubur. Mayat dimasukkan ke dalam lubang kubur oleh mereka yang masih hidup. Oleh sebab itu, orang yang masih hidup dan sengaja masuk ke dalam lubang dan ditimbus untuk menguji kehebatannya bukanlah dikebumikan. Jikalau ditakdirkan dia mati semasa berada di dalam lubang itu, pasti dia akan dikeluarkan semula untuk dikebumikan.

Tiada ulasan: