Berita Harian, 26 Februari 2009
Menurut Kamus Dewan, kokurikulum ialah “kurikulum yang merupakan sebahagian daripada kurikulum asas”. Ungkapan “kegiatan (aktiviti) kokurikulum” pula dijelaskan sebagai “kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah”.
Pada penghujung tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an, ungkapan baharu “gerak kerja kokurikulum” mula digunakan di maktab perguruan. Akronim ungkapan itu ialah “gerko”. Ada satu lagi akronim digunakan di maktab perguruan, iaitu “kokum”. Penggunaan akronim ini terbatas di beberapa buah maktab sahaja.
Sejak awal 1980-an, penggunaan perkataan gerko meluas. Perkataan itu tercatat dalam beberapa banyak dokumen bertulis di institut pendidikan guru (IPG). Misalnya, unit gerko, setiausaha gerko, sukatan pelajaran gerko, majlis gerko, pensyarah gerko, jurulatih gerko, buku gerko, tugasan gerko, ujian gerko, markah gerko, fail gerko dan anugerah gerko.
Carian dengan Google baru-baru ini menunjukkan semua ungkapan ini tersebar di Internet. Ungkapan “unit gerko” mencatat kekerapan tertinggi, iaitu terdapat dalam lebih 4,500 dokumen.
Dokumen terpenting yang menunjukkan luas dan mantapnya penggunaan perkataan gerko ialah sukatan pelajaran gerko. Dokumen kualiti “Pelaksanaan Gerko” dalam pengurusan sistem kualiti IPG pula mengukuhkan lagi penggunaan perkataan itu. Selain itu, perkataan gerko tersebar luas dalam kalangan masyarakat melalui bahan bercetak terbitan IPG dan penerbit buku.
Rumusannya, perkataan gerko sudah wujud dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya sejak 30 tahun yang lalu. Penyebaran perkataan itu luas dan kekerapan penggunaannya tinggi.
Perkataan yang sudah lama wujud, luas penyebarannya dan tinggi kekerapan penggunaannya dapatlah dikatakan sudah mantap. Perkataan yang sebegini sepatutnya dapat dikesan dalam Kamus Dewan edisi terkini.
Namun, perkataan ini tidak terdapat dalam masukan Kamus Dewan Edisi Keempat. Mengapakah perkara ini berlaku? Dewan Bahasa dan Pustaka mungkin ada jawapannya.
Mohd Isa bin Abd Razak
Negeri Sembilan
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan