15 Februari 2009

Pengajaran Kemahiran Mengeja: Konsep Mengeja

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Masukan terdahulu: Konsep Ejaan

Sesudah memahami konsep ejaan, kini marilah kita fahami konsep mengeja pula. Pemahaman yang baik terhadap kedua-dua konsep ini dapat membantu kita melaksanakan tugas mengajarkan bacaan asas sama ada sebagai ibu bapa atau guru prasekolah atau guru Bahasa Melayu, apalagi guru pemulihan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), mengeja ialah perbuatan “membunyikan (menulis) huruf-huruf secara berturut-turut dalam sesuatu perkataan”. Takrif ini menyarankan dua cara untuk mengeja. Yang pertama ialah menyebut nama huruf secara berturut-turut yang terdapat pada sesuatu suku kata/perkataan dan membunyikan suka kata/perkataan itu. Yang kedua ialah menulis huruf dengan mematuhi tiga syarat (seperti yang telah dibincangkan) untuk membentuk suku kata/perkataan.

Ada dua cara menyebut huruf untuk menjadi suku kata dan perkataan.

Yang pertama ialah menyebut huruf dalam perkataan itu satu demi satu tanpa hentian dan tanpa menyebut suku kata dalam perkataan itu. Misalnya, “bola” dieja b – o – l – a. Gambaran ringkasnya ialah huruf → perkataan.

Yang kedua ialah menyebut huruf, diikuti dengan penyebutan suku kata dan seterusnya penyebutan perkataan. Contohnya, “bola” dieja “b” “o”, diikuti penyebutan suku kata “bo”. Seterusnya disebut pula nama huruf “l” “a”, diikuti dengan penyebutan suku kata “la”. Akhirnya disebut perkataan “bola”. Gambaran ringkasnya ialah huruf → suku kata → perkataan.

Dengan berdasarkan kaedah abjad, pengeja menyebut nama huruf. Bagi mengeja dengan abjad Rumi, cara yang kedua kerap digunakan. Pengguna kaedah abjad menganggap cara yang pertama tidak lengkap. Bagaimanapun, pengguna kaedah abjad mungkin juga menggunakan cara yang pertama atas pertimbangan tertentu.

Ada satu istilah yang berkait dengan mengeja. Istilah itu ialah "membatang". Insya-Allah, perkara ini akan dibincangkan apabila ada kesempatan

Tiada ulasan: