22 Mac 2009

Persoalan tentang Tujuan Pelaksanaan PPSMI

Masukan blog yang istimewa kelmarin ialah tulisan Puan Marni yang bertajuk "Banyaknya Persoalan". Persoalan yang dimaksudkan ialah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagaimana yang tersurat dalam Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2002.

Puan Marni memetik tujuan pelaksanaan PPSMI. Kemudian beliau mengemukakan pemahamannya terhadap tujuan pelaksanaan. Seterusnya, beliau mengemukakan empat persoalan. Beliau menulis,

Persoalan yang berlegar di fikiran saya:

1. Maklumat yang banyak dalam bahasa Inggeris itu boleh dipindahkan kepada bahasa Melayu. Kita ada Institut Terjemahan Negara (ITNM). Kita ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Peruntukan berbilion ringgit untuk PPSMI boleh disalurkan ke tempat yang lebih layak. Pelajar tidak akan bermasalah, Perlembagaan negara juga tidak diperlekeh dan bahasa Melayu juga tidak tergugat. Bukankah cara ini lebih baik?

Baca persoalan kedua dan ketiga di sini.

Persoalan keempat yang beliau kemukakan adalah seperti yang berikut:

4. Belajar menguasai bahasa seharusnya dalam kelas bahasa, bukan kelas sains dan matematik. Perkasakan sahaja mata pelajaran bahasa Inggeris.

Saya berikan satu contoh soalan yang dikeluarkan dalam satu ujian bulanan pelajar tahap 1:

5 + 6 = ____

A. 11
B. 14
C. 12
D. 13

Jika pelajar menjawab soalan di atas dengan betul, apakah kita akan katakan bahawa pelajar ini telah menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Bagaimana kita boleh menentukan bahasa apa yang digunakan oleh pelajar ketika mereka menjawab soalan di atas? Hanya kerana soalan tersebut diletak di ruangan soalan berbahasa Inggeris maka kita katakan PPSMI berjaya dan pelajar sudah mampu menguasai bahasa Inggeris?

Memang menarik persoalan yang dikemukakannya. Hal ini perlu mendapat perhatian kita.

1 ulasan:

mohdariffn berkata...

Kalau murid sebut 5 + 6 = 11 (five plus six is equal eleven) itu benar. Tapi, 5 + 6 = 11 adalah nombor dan (five plus six is equal eleven) adalah bahasa. Jawapan murid bagi soalan itu adalah 11. maknanya murid kenal nombor (matematik) bukannya eleven (bahasa)