Kenyataan Akhbar
Oleh Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) pada 6 Mac 2009
Pada 5 Mac 2009 saya dan Dr. Shaharil Mohamad Zain, Timbalan Pengerusi GMP dan Sdr. Husni Abas, Setiausaha GMP, telah mengadakan perundingan dengan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan beberapa orang pegawai kanannya di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, meminta permit bagi mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2009.
Perhimpunan ini dibuat bagi menyokong rombongan GMP yang akan menghantarkan memorandum Bantah PPSMI kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara.
Setelah berunding panjang lebar, pihak Polis membenarkan perhimpunan itu berkumpul di Masjid Negara, tidak kira berapa ramai, dan tidak di tempat lain, iaitu di pusat membeli belah SOGO dan di Central Market seperti menurut rancangan asal GMP. Dari situ ahli jawatankuasa seramai 7 orang yang saya ketuai sebagai Pengerusi GMP akan bertolak dengan berkereta menuju ke Istana Negara.
Para penyokong yang berkumpul di Masjid Negara tidak dibenarkan oleh polis berarak berjalan kaki beramai-ramai menyertai atau menemani rombongan itu ke Istana. Mereka hendaklah tinggal di Masjid Negara atau bersurai. Rombongan ke Istana Negara itu, setelah menyampaikan memorandum itu bolehlah balik ke Masjid Negara bagi menyampaikan apa-apa maklumat kepada para penyokong GMP.
Itulah permit yang diberikan kepada GMP. Ini bererti bahawa perarakan tidak dibenarkan.
Alasan polis adalah bagi menjaga keselamatan, lebih-lebih lagi jikalau orang yang akan datang jumlahnya berpuluh ribu orang, mungkin mencecah 100,000 orang.
Kami memberitahu pihak polis dua hal: pertama, ini bukan tunjuk perasaan atau demonstrasi. Ini bukan gerakan menentang kerajaan atau mana-mana pihak, tetapi cuma gerakan bagi menyampaikan memorandum kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong yang disokong oleh sekian banyak rakyat di seluruh negara, dan yang akan hadir di Kuala Lumpur itu adalah kumpulan simbolik.
Kedua, sejak awal lagi kami dan GMP telah menjelaskan pendirian kami bahawa gerakan ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik, tidak akan membenarkan dirinya dieksploitasi oleh mana-mana pihak. Jika kelihatan banyak orang dan parti-parti politik tertentu menyertai atau menyokong gerakan ini, itu adalah hak mereka sebagai rakyat biasa Malaysia. Kami tidak dapat melarang mereka membantah PPSMI atau menyokong gerakan GMP.
Dua perkara ini juga telah kami sampaikan dalam pertemuan kami dengan pihak seperti yang tersebut di atas, dan mereka memahami pendirian kami ini.
Saya baru berhubung lagi dengan Pejabat Istana Negara pada pukul 2.45 petang tadi, dan disahkan lagi bahawa SPB Yang Di-Pertuan Agong telah dimaklumkan tentang hasrat kami ingin mengadap Baginda. Tetapi seperti yang telah diberitahukan kepada kami lebih awal, pada 7 Mac 2009 ini, SPB tiada di Kuala Lumpur kerana ada urusan di tempat lain.
Bagaimanpun, rombongan GMP akan disambut oleh pegawal Istana bagi pihak Tuanku pada 7 Mac ini. Penyerahan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong akan dilaksanakan oleh tujuh orang wakil iaitu
1. Dato’ Hassan Ahmad (Pengerusi),
2. Dr. Shaharir Mohamad Zain (Timbalan Pengerusi),
3. Prof. Emeritus Abdullah Hassan (Naib Pengerusi),
4. Sdr. Hasni Abas (Setiausaha),
5. Dato’ A. Samad Said (AJK),
6. Sdr. Suhaizan Kaiat (AJK) dan
7. Puan Ainon Mohd (AJK).
Yang benar,
Dato' Dr. Hassan Ahmad
Pengerusi GMP
6 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan