16 Mei 2009

Berguru pada Murid

Cikgu Abdul Salam pelupa dan adakalanya dia tersasul. Kelmarin seorang pelajar membetulkan kesilapannya.

“Terima kasih, Surya,” tuturnya. “Saya akui memang ada kesilapan dalam nota atau esei saya. Teguran kamu membantu saya membersihkan kesilapan itu. Terima kasih sekali lagi. Teruskan membantu saya dengan teguran yang membina.”

Di masjid, Cikgu Abdul Salam menjadi murid. Dia mendengar ajaran pelajarnya dengan teliti. Para pelajar itu ialah guru siswazah terlatih. Mereka mengikuti kursus dalam cuti. Dia adalah antara guru mereka di dalam bilik syarahan. Di masjid, mereka pula menjadi gurunya.

Pelajarnya membaca khutbah, dia mendengarnya dengan teliti. Pelajarnya membaca taalim, dia mendengarnya dengan takzim. Pelajar menyampaikan tazkirah, dia menghayatinya dengan hati pasrah. Pelajar menjadi imam, dia menjadi makmum. Dia juga selalu makan setalam dengan mereka.

Di bilik komputer, dia menjadi murid. Banyak lagi tempat dia jadi murid kepada pelajarnya.

“Ana gunakan gelaran cikgu bukan sebab ana hendak menunjuk-nunjuk. Sebab asalnya, ana tidak mahu orang panggil ana ustaz,” katanya kepadaku pada suatu hari.

Cikgu Abdul Salam mencitrakan dirinya cikgu kampung. Dia akan bersara tidak lama lagi, iaitu persaraan paksa pada usia 58.

Hari ini, dalam e-grupnya, Cikgu Abdul Salam menulis: “Aku akan menjadi murid kepada sesiapa sahaja yang berilmu. Oleh sebab ilmu manusia tidak sama, di e-grup ini pun aku menjadi murid. Aku berguru pada tukang ulas dan tukang komen. Aku menghormati guru-guruku dan menyayangi mereka. Insya-Allah, aku bersedia membaca pandangan guru-guruku yang disampaikan dengan baik. Insya-Allah, sebagai murid, aku juga akan berusaha memberitahu secara baik apa-apa kesilapan guru-guruku yang aku nampak.”

Selamat Hari Guru, Cikgu Abdul Salam bin Muhamad Firdaus.

5 ulasan:

aranam berkata...

Assalamualaikum, Cikgu.

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Guru buat Cikgu.

Terima kasih untuk ilmu yang Cikgu kongsikan. Semoga Cikgu sentiasa dilindungi Allah.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Aranam. Agaknya tanda @Cikgu Isa pada keterangan tajuk sulap ini mewajarkan saya menerima ucapan “Selamat Hari Guru” daripada tuan dan keluarga. Terima kasih wahai anak muda yang sebenarnya menjadi guruku juga dalam baki hidupku ini. Maksud hadis, kita pemimpin dan kita juga dipimpin. Kata rakan kita, kita berguru dan kita juga guru. Wallahuaklam. Wassalam.

Marniyati berkata...

Salam,

Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada tuan. Pesan seorang guru saya, "sekali seseorang itu bergelar guru kepada kita, maka selamanyalah dia adalah guru kita, Insya-Allah"

Terima kasih kerana sudi mengajarkan banyak ilmu bermanfaat kepada saya melalui blog ini.

Tanpa Nama berkata...

selamat hari guru kepada cikgu..terima kasih kerana pernah mengajar kami..jasamu sentiasa kami kenang..
semoga sentiasa dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki..
terima kasih cikgu..
terima kasih guru..
terima kasih..


daripada,
PISMP BM Semester 5
Institut Perguruan Keningau Sabah

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam. Terima kasih Puan Marniyati (pelajar ijazah kedoktoran, juga seorang guru) dan Tanpa Nama (pelajar ijazah sarjana muda, juga guru pelatih). Capailah cita-cita dan corakkan anak didik kita. Wassalam.