05 Oktober 2009

Cakap dan Buat

Majikan ana mahu anak buahnya mengamalkan prinsip “cakap dan buat”. Maksudnya, apa-apa yang sudah dirancang dan diwara-warakan, hendaklah dilaksanakan. Kata hendaklah dikotakan. Dirinya contoh terbaik. Dia cakap, anak buahnya buat. Yang penting cakap dan buat.

Majikan ana mengingatkan anak buahnya, “Jangan bercakap jikalau tidak buat.” Memang, tiada gunanya bercakap hendak melakukan sesuatu jikalau apa-apa yang dicakapkan itu akhirnya tidak dibuat. Jikalau tidak mampu melakukan apa-apa yang diberitahu, lebih baik jangan beritahu sesiapa.

Seorang anak buah majikan ana berkata, “Tuan, saya buat dahulu, kemudian cakap.”

Majikan ana tersentak dan terdiam. Oleh sebab anak buahnya itu lebih senior dan lebih berumur daripada dirinya, dia terus mendiamkan diri. Lagipun anak buahnya itu memang sudah banyak mencipta dan melaksanakan projek. Kalau mahu, dia boleh membalas sebab semua projek itu ada kertas kerjanya. Majikan ana tidak mahu buat kecoh. Dia terus diam.

Apabila majikan ana yang mempengerusikan mesyuarat terus diam, seorang pak lawak dalam mesyuarat itu berkata, “Cakap senanglah, tuan.”

Semua ahli mesyuarat diam. Oleh sebab diam mereka terlalu lama, majikan ana berkata, “Bukan senang hendak bercakap tuan-tuan dan puan-puan.”

Semua ahli mesyuarat mengangguk-angguk. Ana mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

“Kita rehat dahulu,” kata majikan ana.

Semua ahli mesyuarat kelihatan lega. Kini ruang legar hotel empat bintang itu riuh dengan suara ahli mesyuarat, termasuklah mereka yang membisu semasa mesyuarat tadi.

Tiada ulasan: