Suatu hari, pada tahun 1978, aku dan Awang Hambali solat Subuh di Masjid Negara. Seusai solat, kami segera keluar. Awang terus menyarung kasutnya. Aku tercari-cari kasutku. Kami menunggu sehingga semua jemaah meninggalkan masjid.
Sesudah agak lama menunggu, aku menyarung sepasang selipar buruk. Aku memilih selipar yang terburuk demi mengurangkan rasa bersalah.
Dari Masjid Negara kami berjalan kaki ke Pudu Raya. Memang terasa letih kerana semalaman kami digoncang kereta api dari Butterworth ke Kuala Lumpur. Oleh sebab pada pagi-pagi buta itu yang sudah dibuka hanyalah restoran dan kedai mamak surat khabar, tidaklah dapat aku membeli kasut baharu. Jadi, dengan selipar buruk di kakiku, aku dan Awang Hambali menaiki bas untuk meneruskan perjalanan ke Seremban.
Kasut yang hilang itu kubeli di Papar pada tahun 1975. Harganya lapan puluh ringgit. Lebih dua puluh tahun kemudian, aku pernah melihat kasut jenama yang sama dan yang seakan-akan kasutku yang hilang itu. Harganya lebih RM200.00. Kalau begitu, kasutku yang hilang itu merupakan kasut terbaik dan termahal pernah kupakai. Memang, sejak kehilangan kasut itu, aku berasa serik untuk membeli kasut berjenama dan mahal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan