11 Mei 2009

Oh, Anak Abah Sayang!

Oleh Isa Razak

DI DAPUR, Hasnah tentu tersenyum. Jupeen pula kedengaran ketawa halus. Azmah biasanya terus mengekeh. Pok Id rasa bahagianya memuncak.

Pok Id akan terus melambung dan menyambut anak montel itu sampai tangannya lenguh. Perutnya dirapatkan ke kekisi beranda. Sesekali gulungan kain pelekat di dadanya tertampan kaki Azmah. Gukungan kain itu meluncur ke pusat. Pok Id tidak khuatir kerana kekisi itu akan menahan kainnya daripada terburai.

Pok Id akan lebih galak melambung dan menyambut Azmah apabila mat-mat dan pokpak-pokpak di beranda rumah Mat Tongkang memerhatikan telatahnya. Rumahnya bersetentangan dengan rumah Mat Tongkang. Jauhnya tidak sampai dua rantai.

Waktu petang, mat-mat dan pokpak-pokpak Sekolah Menengah Kerajaan Baharu itu suka bertenggek di atas kekisi beranda rumah Mat Tongkang. Apabila Pok Id melambung Azmah di berandanya, mat-mat dan pokpak-pokpak itu selalu mentertawakannya. Pok Id rasa kebahagiaannya semakin bermakna.

“Oh, anak abah, sayang. Oh, anak emak, sayang. Oh, anak abah sayang abah. Oh, anak abah sayang emak. Oh anak, abah sayang emak. Ops …! Abah sayang emak.”

Dia akan terus melambung dan menyambut Azmah sampai tangannya lenguh atau Azmah tidak mahu mengekeh lagi. Atau sampai Hasnah berleter, “Sudahlah itu, bang!” Atau sampai Jupeen keluar dan mengejutkannya, “Cikgu, kakak panggil makan.”

Tangan kiri Pok Id lenguh. Bakul itu berat juga. Beban itu diambil alih oleh tangan kanannya. Dia terus melangkah di bawah redup pokok-pokok getah di kiri dan kanan jalan itu.

Mungkin empat atau lima bulan lagi Azmah akan mendapat adik. Pok Id hendak menimang adik Azmah pula. Dia akan menamakannya Asmah. Sejak minggu lalu dia kerap berdoa semoga Allah menjadikan anak dalam kandungan Hasnah itu seorang perempuan. Dia kerap pula berharap semoga doanya lebih diutamakan daripada doa Hasnah.

Hasnah mahu anak lelaki. Pok Id juga begitu. Tetapi kali ini biarlah perempuan dahulu. Ada masa lagi untuk dapat anak lelaki. Memang dia tidak mahu berhenti setakat itu sahaja. Kerana dirinya tunggal, dia mahu anaknya sedozen atau lebih. Sekurang-kurangnya enam orang lelaki dan enam orang perempuan seperti adik-beradik Hasnah.

Apabila Pok Id mengulangi hal anak sedozen itu, Hasnah selalu memuncungkan mulutnya. Teruk, katanya. Kemudian mukanya memerah. Dia senyum atau terus ketawa kecil. Apabila hal itu terjadi, pada pandangan Pok Id kecantikan Hasnah bertambah sepuluh kali ganda.

Sekarang Pok Id yakin pada dirinya. Keyakinan pertama tiba apabila Hasnah melahirkan Azmah. Keyakinan itu bertambah teguh kini. Tidak lama lagi Azmah mungkin akan dapat adik. Biarlah perempuan juga. Itu harapannya.

Sebelum Azmah lahir, Pok Id rasa hidupnya kosong. Dia tidak dapat membanggakan kecantikan Hasnah begitu sahaja. Baginya, perkahwinan tidak bermakna jika tidak mendapat anak. Pernah terlintas di hatinya untuk menceraikan Hasnah atau memadukannya. Mujurlah hal itu tidak terjadi.

Dia senyum sendiri. Dia bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Pok Leh serta bomoh Untung. Pertolongan bomoh Untung, nasihat Pok Leh dan yang terpenting dengan izin Allah, Azmah lahir dan sekarang bertambah montel. Sebelum itu, kedua-dua saudara Azmah gugur sebelum tiba masanya.

“Buat apa rancang-rancang. Bini hang tak kerja. Hang pun gagah. Bancuh betul-betul, Id!” Ingat kata-kata Pok Leh itu, Pok Id senyum.

Kontrak lima tahun Pok Leh dan Pok Id habis hujung tahun lalu. Pok Leh sudah pulang ke Gurun tetapi Pok Id menyambung kontraknya. Pok Leh dan Pok Id memang tidak pernah pulang ke kampung sejak mereka keluar dari Kolej Bukit Punai.

Pok Leh merajuk kerana ibunya tidak suka dia berkahwin dengan Evelin, gadis Kadazan itu. Pok Leh pernah memberitahu Pok Id bahawa, seperti Pok Id juga, dia hendak menetap di kampung isterinya jika ibunya masih tidak suka akan Evelin. Tetapi Pok Leh pulang juga.

Manalah tidak, kata hatinya. Evelin mengajar. Pendapatan mereka berganda. Dengan empat orang cucu dan jaminan hidup yang agak mewah, tentulah ibu Pok Leh senyum sahaja menyambut Evelin.

Apabila mengenangkan hal itu, hati Pok Id tiba-tiba menjadi hiba. Dia hendak menetap di daerah ini. Tidak ada apa-apa di kampung kelahirannya itu. Ayahnya meninggal ketika dia masih kecil. Ibunya pergi betul-betul sebulan sebelum dia mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan.

Pulang akan hanya menyeksa hati sedangkan dia kini berasa sangat bahagia bersama-sama Hasnah, Azmah, mat-mat, pokpak-pokpak dan masyarakat daerah ini. Tetapi, sejak Azmah pandai merangkak, Hasnah selalu mengajaknya pulang. Hasnah terlalu ingin melihat kampung suaminya.

“Sama sahaja macam kampung Has. Ada sawah padi, ada rumah petani.” Hujah yang itu juga diberikan oleh Pok Id sambil ketawa menyorokkan gelisah hatinya.

“Sudah lebih empat tahun kita berkahwin. Has belum lagi kenal saudara-mara abang.” Alasan Hasnah itu menyebabkan Pok Id rasa serba tidak kena.

Sudah lama dia hendak menerangkan masalahnya kepada Hasnah. Sampai hari ini dia belum lagi sanggup menyatakannya. Kekusutan itu dibiarkan berkecamuk di dalam dadanya. Dia senyum juga, selalu senyum. Sebagai guru, dia memang selalu senyum. Pandai dia menyimpan resah di dalam dadanya yang leper itu.

“Kalau kali ini lelaki, kita pulang!” Pok Id terlalu gembira. Kata-kata yang berupa janji itu terhambur daripada mulutnya minggu lalu apabila Hasnah memberitahunya bahawa Azmah akan mendapat adik.

Oleh sebab terlalu gembira, dia tidak sempat berfikir. Dia lupa bahawa pulang bermakna menyeksa hati. Dia datang ke sini dahulu bukan macam mat-mat dan pokpak-pokpak. Mat-mat dan pokpak-pokpak itu datang ke sini kerana semangat merantau atau kerana terlalu susah mendapat kerja. Kerja yang ada tidak sesuai dengan kelayakan mereka.

Mat Tongkang dan Mat Setinggan datang ke sini kerana bosan melakukan kerja-kerja kampung. Mula-mula mereka menjadi guru sementara. Setelah dua atau tiga tahun mengajar, mereka diterima berkursus di Kolej Bukit Punai. Mat Debu suka mengembara. Dia datang ikut kapal barang. Setelah melepak di sana sini di Kiki, dia menjadi guru sementara dan kemudian masuk ke kolej. Lebih kurang begitu juga Mat Tukik dan Mat Minyak.

Pok Mid dan Pok Cin juga lebih kurang. Bezanya, mereka terpaksa menjual tulang empat kerat sebelum merasa senang. Demikian pula Pak Abu, Pak Nor dan Pak Wan. Itu yang Pok Id tahu. Mereka bukan memohon ke Kolej Bukit Punai dari kampung kelahiran mereka tetapi dari negeri Hasnah dan Evelin ini.

Pok Id lain. Dia datang terus dari kampungnya. Itu Hasnah sudah tahu. Ada sebab lain yang belum diberitahukannya. Suatu hari, kalau dia terus memendamnya, mungkin Hasnah akan tahu juga.

Kalau anak itu lelaki, dia mesti pulang. Pulang?

Kakinya terus melangkah membawa tubuh tonjengnya. Matanya sibuk membilang tompokan tahi kerbau kering di atas jalan. Hasnah dan Jupeen tentu sedang sibuk di dapur. Azmah mungkin sedang belajar berjalan di tengah rumah. Langkahnya dipercepat.

Semoga Allah memberkati kenduriku malam ini, dia berharap dalam hati. Patutkah Ustaz Hasbi diberitahu tujuannya yang sebenar? Ustaz Hasbi akan membacakan doa malam ini. Seperti yang dimintanya, doa itu ialah doa kesyukuran kerana Hasnah mengandung lagi dan permohonan agar bakal adik Azmah itu selamat dilahirkan.

Kalau hanya doa, hanya permohonan, Ustaz Hasbi memang boleh membacakannya. “Ustaz jangan lupa sebut saya hendak anak perempuan,” dia hendak menyatakan tujuan utamanya itu kelmarin tetapi tidak keluar daripada mulutnya.

Biarlah. Hatinya mengalah. Pulang? Bukankah kau tidak mahu pulang?

“Pulang, cikgu?”

Pok Id terkejut. Seorang tua sedang mengayuh basikal buruk di kanannya. Orang tua itu menyengih. Pok Id senyum.

“Pulang,” balas Pok Id lembut dan perlahan. Orang tua itu mungkin tidak dapat mendengar suaranya.

Kakinya terus melangkah. Matanya terus membilang tompokan tahi kerbau kering di atas jalan. Apabila sampai di kawasan sekolah, dia membelok ke kanan, ke jalan tanah merah menuju ke rumahnya dan rumah Mat Tongkang.

Musim panas ini jalan itu berdebu. Debu merah itu berkuak apabila dihenyak oleh tapak kasutnya tetapi tidak terbang jauh kerana angin petang belum bertiup lagi. Debu yang lebih ringan dan halus berjaya hinggap di kaki seluarnya.

Jalan ini ditambak lebih tinggi daripada tapak rumahnya. Namun, apabila banjir atau apabila air sungai di belakang rumahnya itu melimpah, jalan ini tenggelam juga. Rumahnya dan rumah Mat Tongkang tidak pernah tenggelam. Tiang rumah mereka cukup tinggi. Waktu banjir besar tahun lalu, hanya lima daripada sepuluh anak tangga rumah mereka ditenggelami air keruh.

Walau bagaimanapun, banjir Disember dahulu tidak dapat Pok Id lupakan. Air naik tengah malam ketika dia sedang nyenyak tidur. Skuter buruknya di bawah rumah tenggelam. Kini skuter itu selalu sahaja meragam. Tadi pun dia terpaksa membetis sebatu setengah kerana enjin skuter buruk itu tidak mahu hidup.

Melihat skuter di bawah rumah itu, lenguh kakinya bertambah sekali ganda. Urat-urat tangannya pun terasa tegang. Dia naik. Azmah sedang bersimpuh berhampiran dengan sebuah kerusi. Hasnah dan Jupeen sedang sibuk di dapur.

“Baru mandi! U … wangi anak abah.” Dia melutut dan membongkok mencium pipi anaknya.

Azmah bangun, cuba mengejar ayahnya yang sedang menghala ke pintu dapur. Setelah tiga langkah, Azmah terduduk. Pok Id berpaling. “Nanti, abah mandi dulu, ya!”

“Abang sudah beritahu ustazah dan Cikgu Agnes?”

“Sudah. Sekejap lagi datanglah mereka itu.”

Pok Id berasa tubuhnya lekit. Dia ke bilik tidur dan kemudian keluar semula dengan tuala mandi.

“Abah mandi dahulu,” katanya kepada Azmah.

Air anak sungai itu jernih dan sejuk. Petang-petang begini memang seronok mandi di situ. Zabidah memang selalu berkemban di tebing anak sungai itu. Kalau tiada hal pun, Said ada-adakan juga asalkan dapat melalui titi batang kelapa itu.

“Ke mana?”

“Ke rumah Yusuf.”

Dia memang tidak berani merenung gadis yang berkemban itu.

“Mandi?”

“Ya.”

“Berbincang di balai raya malam ini?”

“Ya.”

“Sama, ya!”

Dialog itu kemudian lebih mesra dan berani. Ah!

Dia menyabun tubuhnya.

Walaupun waktu peperiksaan itu muka ibunya masih terbayang-bayang, dia lulus juga tetapi kelulusan itu tidak melayakkannya melanjutkan pelajaran. Zabidah tidak lulus kerana mungkin dia calon persendirian dan tidak pernah belajar di tingkatan enam atau boleh jadi dia lebih banyak menganalisis diri Said daripada mengutip butir-butir perbincangan di balai raya itu.

Aduh! Pok Id cepat-cepat mencedok air daripada kolah dan menyiram kepalanya yang berlumuran dengan sabun. Kini matanya tidak pedih lagi.

Zabidah tidak sedih walaupun gagal. Bukan kerana sudah ada kerja tetapi kerana lamaran kawan sepejabatnya diterima oleh ibu bapanya seminggu kemudian.

“Dia sudah dapat anak. Mereka masih tinggal di kampung ini,” tulis Yusuf dalam sepucuk surat kepadanya ketika dia dalam tahun akhir di Kolej Bukit Punai. Kini Pok Id tidak dapat mendengar kisahnya lagi.

Pok Id mengelap tubuhnya.

Pulang? Pok Id tidak berupaya berfikir lagi.

Selepas sembahyang, Pok Id membawa Azmah ke beranda. Hasnah dan Jupeen masih sibuk di dapur. Jupeen rajin membuat kerja. Tidak sia-sia dia menjadikan muridnya itu sebagai anak angkat. Ustazah Rokiah dan Cikgu Agnes belum datang. Tidak seorangpun mat-mat dan pokpak-pokpak berada di beranda rumah Mat Tongkang.

Oh, hari Sabtu. Mereka mungkin masih lagi bermain badminton di dewan sekolah.

“Oh, anak abah, sayang. Oh, anak emak, sayang. Oh, anak abah sayang abah. Oh, anak abah sayang emak. Oh anak, abah sayang emak. Ops …! Abah sayang emak.”

Azmah mengekeh. Pok Id nampak Mat Tongkang menghala pulang. Di dapur, Hasnah dan Jupeen tentu tersenyum. Tetapi Pok Id tidak terdengar mereka ketawa. Mereka mungkin mendengar lagu timangannya. Mereka mungkin terlalu sibuk.

Lelaki. Pulang. Pulang?

“Oh, anak abah, sayang. Oh, anak emak, sayang. Oh, anak abah sayang abah. Oh, anak abah sayang emak. Oh anak, abah sayang emak. Ops …! Abah sayang emak.”

Gulungan kain pelekat Pok Id masih di dadanya yang leper. Ustazah Rokiah dan Cikgu Agnes muncul dari belakang bangunan sekolah. Mereka menuju ke jalan tanah merah.

Perempuan. Bagus. Lelaki. Lagi bagus. Mesti pulang. Pulang?

“Oh, anak abah, sayang. Oh, anak emak, sayang. Oh, anak abah sayang abah. Oh, anak abah sayang emak. Oh anak, abah sayang emak. Ops …! Abah sayang emak.”

Azmah terus mengekeh. Tangan Pok Id belum lenguh. Azmah belum letih. Pok Id merapatkan perutnya ke kekisi tetapi tidak rapat benar – ada basi juga. Tangannya yang panjang dipanjangkan lagi ke hadapan. Mat-mat dan pokpak-pokpak sudah mula sibuk di beranda Mat Tongkang. Ustazah Rokiah dan Cikgu Agnes sudah berada di halaman rumahnya.

Lelaki, pulang! Pulang?

Azmah menendang-nendang kekisi – minta ditimang lagi.

Pok Id memanjangkan lagi tangannya. Dia melambung Azmah. Tinggi. Azmah suka dan mengekeh. Gulungan kain pelekat Pok Id terburai. Ustazah Rokiah dan Cikgu Agnes di hadapannya. Mat-mat dan pokpak-pokpak sedang memerhatikannya.

Tangan kirinya cuba memegang gulungan kain pelekat yang beransur melintasi pusat. Tangan kirinya itu berjaya memegang gulungan kain pelekat tetapi tangan kanannya tidak berupaya menyambut Azmah yang montel. Kaki anaknya itu terhentak di atas kekisi dan tubuhnya yang montok itu terjunam ke tanah.

Ustazah Rokiah dan Cikgu Agnes menjerit. Pok Id melompati kekisi itu dan terjun. Kakinya menghenyak pasu bunga. Pasu bunga itu pecah. Pasu bunga ros di sebelah pasu bunga yang pecah itu tidak pecah tetapi berlumuran dengan darah kepala Azmah. Pohon ros itu patah-patah. Bunganya yang merah bertambah merah dengan tompok-tompok darah.

Hasnah dan Jupeen bergegas ke beranda. Mereka menjerit. Hasnah meluru ke tangga. Di anak tangga terakhir, kakinya terpelecok. Kain batiknya menyerap darah.

Kenduri Pok Id malam itu diteruskan dengan amat sederhana. Bentuknya tidak seperti yang dirancang. Tajuk doa Ustaz Hasbi berubah. Doanya diaminkan oleh mat-mat, pokpak-pokpak, beberapa orang masyarakat Sekolah Menengah Kerajaan Kampung Baharu dan masyarakat daerah itu. Ustazah Rokiah dan Jupeen tidak dapat mendengar doa itu. Mereka masih menemani Hasnah di hospital.

Berita Minggu, 29 Ogos 1976. Musim Penyesuaian, DBP, 1979.

Tiada ulasan: