29 Julai 2009

Pak Cik, Bukan Pakcik

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), kata pak ialah singkatan bagi bapak, iaitu bahasa percakapan bagi bapa. Kata cik pula ialah singkatan bagi kecik, iaitu bahasa percakapan bagi kecil. Jadi, pak cik ialah singkatan bapa kecil (bahasa baku) atau bapak kecik (bahasa percakapan).

KDEK mencatatkan dua makna pak cik. Yang pertama, pak cik ialah bapa saudara yang muda sekali. Yang kedua, pak cik ialah panggilan yang biasanya digunakan oleh kanak-kanak kepada bapa kawannya atau orang yang sebaya dengan bapanya.

Dalam KDEK, semua kata pak cik dieja terpisah. Kita dapat mengesan ejaan kata ini di bawah kata masukan cik I, cu, emang, engku, mamang IV, pak, paman, dan ya. Selain itu, KDEK menggunakan ejaan pak cik dalam ayat contoh di bawah kata masukan isih, jenguk, kasih II dan oleh. Ayat-ayat contoh itu adalah seperti yang di bawah.

1. Pak Cik pun mulalah mengisih orang-orang yang duduk tidak teratur itu.
2. Kalau ada masa lapang datanglah menjenguk-jenguk pak cik di kampung ini.
3. Tolonglah pak cik, kasihanlah!
4. Ia anak yang satu-satunya oleh pak cik saya.

Dalam Kamus Pelajar pula, ejaan ini terdapat dalam ayat contoh bagi masukan gaduh seperti yang bawah.

5. Pak cik jangan gaduh, anak pak cik ini akan segera sembuh.

Kata masukan *pakcik tidak terdapat dalam KDEK dan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi. Hal ini menunjukkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak menerima ejaan *pakcik, walaupun hanya sebagai variasi ejaan. Tegasnya, ejaan yang betul ialah pak cik. Penegasan ini sesuai dengan jawapan pihak Khidmat Nasihat Bahasa (KNB) pada 16 Oktober 2003 dan 23 Julai 2008. KNB menyatakan ejaan yang betul (tepat) ialah pak cik dan mak cik.

Walau bagaimanapun, hasil carian di laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) pada hari ini (29 Julai 2009) menunjukkan DBP menggunakan ejaan *pakcik untuk memerikan bahasa sukuan. DBP juga menggunakan ejaan *pakcik dalam pantun yang di bawah.

Buah macang serangkul lebat,
*Pakcik Saleh berniaga kain;
Tiga dipancang dua tak lekat,
Baik saya beralih lain.


Dapatan carian ini menunjukkan DBP ada melakukan kesilapan ejaan pak cik. Jikalau hal ini dipandang ringan, ada kemungkinan mana-mana pihak di DBP terus melakukan kesilapan ejaan seperti ini. Malah, kita khuatir ada pula guru Bahasa Melayu atau editor melakukan hiperkoreksi. Contohnya, ejaan pak cik mungkin ditukar menjadi *pakcik.

Tiada ulasan: