13 Ogos 2009

Genosid Bahasa Masih Mengintai

Banyak makalah bermutu dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Ogos 2009. Tiga makalah pilihan saya ialah “Genosid Bahasa” oleh Ismail Salleh, “ITNM Bertanggungjawab untuk Memandaikan Bangsa” oleh Ritah Yahaya dan Nurhamizah Haji Hashim, dan “Bahasa dalam Kad Undangan Perkahwinan” oleh Anis Shahirah Abdul Sukur. Coretan ini mengandung sari makalah “Genosid Bahasa” dan ulasan ringkas saya terhadap sebahagian daripada kandungannya.

Ismail Salleh, pensyarah Bahasa Melayu di Prince of Songkla University, memaparkan beberapa contoh kepupusan bahasa ibunda. Antara contohnya termasuklah penggantian bahasa peribumi di Amerika Selatan dengan bahasa Sepanyol. Beliau menggunakan istilah genosid bahasa bagi penggantian (pembunuhan) bahasa peribumi itu.

Makna asal genosid (genocide) ialah pembasmian kaum. Genosid bahasa ialah tindakan terancang bagi melenyapkan sesuatu bahasa. Dalam bahasa Inggeris, genosid bahasa ialah linguicide, tetapi istilah yang lebih menggambarkan maksudnya ialah language death.

Pihak yang melakukan genosid bahasa ialah penjajah atau kerajaan sesebuah negara. Yang menjadi mangsa ialah bahasa etnik minoriti. Penjajah utama yang memangsakan bahasa etnik minoriti ialah Inggeris, Sepanyol dan Portugis. Kerajaan Thai pula dilihat sebagai sedang memangsakan bahasa Melayu di selatan Thai.

Di negara kita, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula pada tahun 2003 itu sudah menghampiri genosid bahasa. Mujurlah kerajaan berjanji akan menghapuskan dasar itu secara berperingkat mulai tahun 2012.

Pemansuhan dasar ini belum menjamin genosid bahasa terhapus sepenuhnya. Hal ini dikatakan demikian kerana pemansuhan itu terhad hingga tingkatan lima. Ringkasnya, api masih ada dalam sekam. Mustahil peludah bahasa akan menggunakan ludah mereka untuk memadamkan api dalam sekam itu.

6 ulasan:

Kumpulan Prihatin berkata...

Assalammualaikum dan salam perkenalan.

Mendoakan agar Tuan dalam keadaan sihat sejahtera hendakNYA.

Pihak kami ingin menyiarkan artikel Tuan yang bertajuk "Genosid Bahasa Masih Mengintai" ke dalam laman sesawang kami. Harap Tuan dapat memberi kebenaran untuk disiarkan.

Sedikit info mengenai kami:-

KUMPULAN PRIHATIN terdiri daripada sekumpulan tokoh-tokoh bahasa, ilmuan, ahli akademik, tokoh agama, budayawan dan sasterawan dan beberapa NGO yang prihatin terhadap isu-isu berhubung dengan masa depan bangsa, agama dan negara khususnya dalam isu-isu bahasa, budaya dan pendidikan bangsa Melayu. Antara program besar yang pernah dijalankan ialah Persidangan Agenda Melayu & Perpaduan Kebangsaan 2001, Perhimpunan Agenda Melayu 2004 yang membawa kepada pengwujudan slogan "Berpakatlah" antara Parti-parti Melayu dan Islam ketika itu bagi melahirkan masyarakat yang harmoni. Kumpulan ini juga turut memperjuangkan isu bahasa, pendidikan dan sosial orang Melayu dan Islam.

www.prihatin.net

Boleh dihubungi melalui kumpulan_prihatin@yahoo.com

Sekian. Terima kasih.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih saya ucapkan atas respons tuan. Saya juga mendoakan agar tuan dan ahli Kumpulan PRIHATIN sihat sejahtera.

Saya membenarkan pihak tuan menyiarkan artikel itu. Pada masa akan datang, jikalau ada artikel yang sesuai disiarkan kembali di laman tuan, saya memberikan kebenaran untuk pihak tuan menyiarkannya. Tegasnya, pihak tuan tidak perlu lagi memohon kebenaran daripada saya.

Wassalam.

mohd ariffin berkata...

Salam. Izinkan saya menyiarkan artikel cikgu dalam sabahdaily.com.

mendewa berkata...

Amat malang apabila bahasa Melayu menjadi mangsa kepupusan.

Kepupusan yang diteroka oleh penuturnya sendiri atas nama mahukan kemajuan, mahu setanding dengan negara maju, mahu memberikan daya saing kepada rakyat satu Malaysia ini.

Hakikatnya, negara-negara maju seperti Jepun dan Korea maju dalam acuan bahasa ibunda mereka. Begitu juga dengan Barat, mereka membawa ilmu-ilmu dari ketamadunan Arab lalu disebarluaskan dalam bahasa ibunda mereka.

Namun, kita bertindak lebih maju apabila mengalihkan ilmu sains, teknologi dan matematik daripada bahasa ibunda yang difahami kepada bahasa Inggeris.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Cik Mohd Ariffin, memang sentiasa diizinkan. Penyebarluasan dengan ulang siar memang digalakkan.

Cikgu Mendewa, terima kasih atas respons.

Wassalam

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Maaf Cikgu Mohd Ariffin. Mata ini sudah kabur. Terguna kata "cik" pula!