Diceritakan semula oleh Mohd Isa Abd Razak
Mus'ab ialah anak hartawan Quraisy. Hidupnya mewah. Dia ialah anak manja ibunya. Dia memeluk Islam di rumah Arqam di Bukit Safa.
Ibunya bernama Khunas dan disegani oleh masyarakat. Ibunya juga garang. Apabila Mus’ab memeluk Islam, dia khuatir ibunya akan berang. Jadi, dia menyembunyikan keislamannya. Dalam pada itu, dia terus berulang-alik ke rumah Arqam untuk menghadiri majlis Rasulullah SAW.
Pada suatu hari Usman ternampak Mus'ab memasuki rumah Arqam. Pada hari yang lain, Usman ternampak Mus'ab bersolat. Usman segera mengadukan hal itu kepada Khunas.
Pada suatu hari, Khunas mengadakan majlis bersemuka. Mus'ab berdiri di hadapan ibunya, keluarganya serta para pembesar Makkah. Mus'ab mengambil kesempatan untuk membacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka.
Tindakan Mus'ab itu menyebabkan Khunas menghayunkan tangannya. Dia hendak menampar anak manja yang sudah bertukar menjadi berani itu. "Anak tidak berguna!" dia meledakkan amarah hatinya.
Mus'ab bersedia menerima habuannya. Dia berserah kepada Allah. Cahaya iman memancar di mukanya. Hal ini menyebabkan tangan ibunya terkulai. Keibuannya menjelma. Mus'ab anak tunggalnya. Mus'ablah jantung hatinya.
Kaum keluarga dan para pembesar Quraisy menuntut agar Mus'ab dihukum. Jadi, Mus'ab tetapi menerima hukuman. Khunas mengurung anaknya itu dalam satu ruang yang sempit dalam rumahnya.
Tidak lama kemudian Mus'ab mendapat berita bahawa beberapa orang Islam di Makkah bercadang berhijrah ke Habsyah. Dia mencari helah. Akhirnya dia dapat melepaskan diri. Dia pun mengikut rakan-rakan seimannya itu berhijrah ke Habsyah.
Tidak lama di Habsyah, mereka kembali ke Makkah. Khunas cuba mengurung Mus'ab semula. Mus'ab bersumpah akan membunuh sesiapa yang melaksanakan perintah ibunya. Akhirnya Khunas membebaskan Mus'ab. Mulai hari itu anak dan ibu berpatah arang, berkerat rotan.
Khunas berkata, "Pergilah ke mana-mana ikut suka hatimu! Aku bukan ibumu lagi!"
Mus'ab merayu agar ibunya beriman. Katanya, “Wahai ibu, saya kasihan akan ibu. Oleh itu mengakulah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya." Si ibu tetap mempertahankan kekafirannya.
Atas perintah Rasulullah SAW Mus'ab dan sahabat-sahabatnya berhijrah ke Habsyah sekali lagi.
Kemudian Rasulullah SAW memilih Mus’ab sebagai utusan ke Madinah. Dia ditugaskan mengajar dua belas orang golongan Ansar. Mereka sudah beriman dan bai'ah dengan Rasulullah SAW di Bukit Aqabah. Selain itu, Mus’ab juga ditugaskan mengajak orang lain memeluk Islam. Markas beliau ialah rumah.
Antara cara Mus'ab berdakwah ialah mengunjungi kabilah, rumah dan pertemuan. Di situ beliau menyampaikan kalimah Allah "bahawa Allah Tuhan Maha Esa". Dakwah Mus'ab berkesan. Banyak penduduk Madinah memeluk Islam.
Semasa berdakwah, Mus'ab menghadapi pelbagai dugaan. Pada suatu hari, Usaid datang ke rumahnya. Usaid ialah ketua satu kabilah. Pada masa itu Mus’ab sedang mengajar. Usaid berang apabila melihat Mus'ab mendakwah anak-anak buahnya. Usaid mengacukan lembingnya kepada Mus'ab. Pelajar-pelajar Mus’ab ketakutan tetapi dia tetap tenang.
Dengan suara yang lembut, Mus'ab mempersilakan Usaid mendengar penerangannya. Setelah mendengar penerangan itu, jika Usaid suka, dia boleh menerimanya. Sebaliknya, jika Usaid masih tetap membencinya, Mus'ab berjanji akan meninggalkan tempat itu. Usaid menyimpan lembingnya dan mendengar penerangan Mus'ab. Setelah Mus’ab selesai memberikan penerangan, Usaid memeluk Islam. Dua orang sahabat Usaid mengikut jejak langkahnya.
Pada suatu hari ketika beberapa orang sahabat duduk mengelilingi Rasulullah SAW, tiba-tiba Mus'ab muncul. Pakaiannya usang dan bertampal-tampal. Para sahabat segera menundukkan kepada dan memejamkan mata. Pada suatu masa dahulu, Mus'ab tubuh Mus’ab berbalut pakaian mewah dan sering bertukar ganti. Apabila terkenang akan hal itu, beberapa orang para sahabat itu melindungi muka mereka kerana sudah basah dengan air mata.
Dalam peperangan Uhud, ketika Hamzah syahid ditombak dari belakang oleh Wahsyi. Bendera yang pegang oleh Hamzah jatuh. Mus'ab segera mengambil bendera itu.
Tentera Islam kucar-kacir. Pada masa inilah Mus'ab memainkan peranannya. Beliau menarik perhatian musuh dengan mengacungkan bendera dengan tangan kanannya. Tangan kirinya menghunus pedang. Mulutnya melaungkan takbir. Dia memancing musuh agar mengejarnya. Musuh mesti melupakan Rasulullah SAW yang hampir tersepit. Taktiknya berjaya. Musuh menyerbunya.
Seorang musuh berkuda berjaya memenggal tangan kanannya. Darah merah memercik. Bendera hampir terjatuh. Segera dijangkaunya bendera itu dengan tangan kirinya. Mulutnya mengucapkan kalimah "Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul, yang sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rasul" dengan fasih.
Musuh berkuda itu berjaya mencantas tangan kirinya pula. Bendera jatuh. Mus'ab membongkok. Dia berusaha meraih bendera itu dengan kedua-dua pangkal lengannya yang berlumuran darah. Dia berusaha meraih bendera itu ke dadanya. Mulutnya terus mengucapkan kalimah "Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul yang sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rasul."
Musuh berkuda itu menyerang kali ketiga dan berjaya menusukkan tombaknya ke tubuh Mus'ab. Mus'ab gugur menyembah bumi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan