Tuk Mamat menyekolahkan cucunya di sekolah saya. Nama cucunya itu ialah Lajis. Lajis tidak berpeluang mengikuti kelas prasekolah. Dengan perkataan lain, ketika memasuki tahun satu, dia belum celik huruf . Dia gagal dalam ujian pelepasan. Oleh itu dia mengikuti kelas intervensi membaca dan menulis di bawah bimbingan saya.
Lajis jarang datang ke sekolah. Pada suatu masa, dia tidak datang ke sekolah secara berterusan selama dua minggu. Pada minggu yang berikutnya, saya pergi menemui Tuk Mamat. Rupa-rupanya Lajis tinggal di rumah datuknya sebulan lebih sahaja. Selepas itu, bapanya membawanya pulang. Rumah mereka memang jauh dari sekolah saya. Jadi Lajis menghadapi kesukaran untuk datang ke sekolah.
Menurut Tuk Mamat, Lajis ialah anak ketiga. Dia mempunyai empat orang adik yang masih kecil. Ibu bapanya keluar bekerja setiap hari. Kakak sulungnya tidak bersekolah. Kak longnya mengurus rumah dan mengasuh adik-adiknya setiap hari. Kakak ngahnya pula bersekolah setakat darjah satu. Kini kak ngahnya membantu ibu mereka bekerja di ladang.
Ayah Lajis ialah menantu Tuk Mamat. Namanya Deraman. Orang kampung memanggilnya Pak Deraman. Menurut Tuk Mamat, Pak Deraman memang tidak bercadang untuk menyekolahkan Lajis. Pak Deraman memerlukan tenaga Lajis untuk menghidupkan perniagaan mereka.
Lajis menjadi orang kanan Pak Deraman untuk mencari sayur-sayuran hutan seperti pucuk paku, pegaga dan rebung. Mereka juga membeli pisang kapas muda, nangka muda dan sayur-sayuran daripada orang kampung. Selain itu, Lajis juga membantu ayahnya mencari ikan. Mereka memasang lukah dan menjala di sungai. Sungai itu terletak di dalam hutan di hulu kampung mereka.
Adakalanya Lajis mengikut ayahnya mendekut burung ruak-ruak dan punai tanah. Sayuran-sayuran, ikan dan burung itu menjadi dagangan mereka. Mereka memperdagangkan barang-barang itu di sebuah gerai. Gerai itu terletak di tepi jalan utama dua buah bandar, kira-kira lima lapan kilometer dari rumah mereka.
“Sekolah kampung kita ini jauh dari kampung Lajis,” kata saya kepada Tuk Mamat.
Tuk Mamat mengangguk. Saya terus menambah kata, “Sebaik-baiknya Lajis bersekolah di sekolah yang berhampiran dengan kampungnya.”
Tuk Mamat merenung wajah saya. Dahinya berkerut. Saya lihat rasa hairan bergantungan pada wajahnya. Saya menyesal. Sebelum dia sempat bersuara, saya berkata, “Maafkan saya, tuk. Memang Pak Deraman tidak bercadang untuk menyekolahkan Lajis.”
Pertemuan saya dengan Tuk Mamat membuahkan persetujuan. Kami bersetuju bahawa Lajis mesti terus bersekolah. Sebagai anak lelaki yang tua, Lajis perlu membawa perubahan dalam keluarganya. Tuk Mamat memang bersedia menerima cucunya itu tinggal bersama-sama dengannya. Saya berjanji akan mengajak guru besar bertemu dengan ibu bapa Lajis.
Tubuh badan Lajis tegap. Pergerakannya cergas. Mindanya cerdas. Dia rajin. Saya berasa dia amat menghormati saya. Sudah pasti saya menyayanginya. Dalam ujian pelepasan yang lalu, dia memperoleh markah yang tinggi. Kini dia sudah mampu membaca dan menulis. Atas bimbingan Tuk Mamat, dia juga dapat membaca surah pendek dalam juz Amma dengan baik.
Nota
Coretan ini adalah sebahagian daripada kisah yang saya dengar semasa dua orang guru berkunjung ke rumah saya kelmarin.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan