Satu cara untuk menunjukkan rasa megah terhadap bahasa ialah menggunakan bahasa yang baku dan sopan. Kita boleh melakukan hal ini apabila kita mempunyai maklumat yang mencukupi tentang sistem linguistik bahasa itu. Antara sistem linguistik yang perlu kita kuasai ialah tatabahasanya.
Di bawah ini saya paparkan tujuh soal jawab tentang tatabahasa bahasa kebangsaan kita. Pedoman ini saya petik daripada risalah Pedoman Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Insya-Allah, pedoman seperti ini dapat membantu kita untuk menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
1. Penggunaan Huruf
Soalan
Adakah panggilan dalam teks ucapan ditulis dengan huruf besar? Contohnya: Tuan pengerusi majlis, yang berusaha guru besar, guru- guru dan rakan-rakan sekalian.
Jawapan
Menurut peraturannya, kata nama am tidak dieja dengan huruf besar (huruf pertamanya). Jadi, “Tuan pengerusi majlis, yang berusaha guru besar, guru-guru dan rakan-rakan” sepatutnya ditulis dengan huruf kecil. Walau bagaimanapun, dalam teks ucapan, tuan pengerusi majlis dan yang berusaha guru besar boleh ditulis dengan huruf besar (pada pangkalnya sahaja) kerana kata tersebut dijadikan panggilan khas untuk merujuk orang tertentu yang berada dalam sesuatu majlis. Maka, huruf besar boleh digunakan seperti dalam nama khas untuk kata Tuan Pengerusi Majlis dan Yang Berusaha Guru Besar, kecuali untuk kata guru-guru dan rakan-rakan kerana kata tersebut ditujukan secara umum kepada yang hadir dalam majlis tersebut.
2. Penggunaan Tanda Koma
Soalan
Adakah tanda koma perlu wujud di hadapan perkataan dan bagi menjelaskan perkara yang lebih daripada dua? Contohnya: Ali membeli sebuah buku, sebatang pembaris, dan segulung kad manila.
Jawapan
Untuk ayat di atas, tanda koma tidak diperlukan sebelum kata dan kerana ayat tersebut merupakan ayat majmuk biasa (setara). Walau bagaimanapun, tidak salah sekiranya tanda koma digunakan kerana tidak menimbulkan perubahan dari segi maknanya dan ini hanyalah melibatkan gaya penulisan.
Sekiranya ayat majmuk ini terdiri daripada dua ayat inti setara, tanda koma sebelum dan tidak diperlukan sama sekali. Contohnya:
(a) Dia membeli buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Pelajar.
(b) Dia suka makan buah rambutan dan langsat.
Walau bagaimanapun, tanda koma boleh diletakkan sebelum dan jika pemisah bahagian ayat itu perlu dibuat untuk mengelakkan kekeliruan makna. Contohnya:
(c) Setakat ini, kita sudah membina beberapa prosedur dan tatacara untuk melaksanakan projek tersebut, dan prosedur yang kita gunakan ini sudah diterima pakai oleh beberapa buah institusi negara ini.
(d) Antara buku yang laris jualannya termasuklah Kamus Dewan, Kamus Pelajar, Pedoman Ejaan dan Sebutan Baku, dan Tatabahasa Dewan.
3. Perkataan Dijatuhkan dan Dijatuhi
Soalan
Pesalah itu *dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah.
Mengapakah ayat tersebut salah? Apakah penjelasannya?
Jawapan
Kesalahan ayat tersebut adalah pada kata dijatuhkan. Ayat tersebut sekiranya diaktifkan akan menjadi: Hakim menjatuhkan pesalah itu hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah. Ayat ini bermakna bahawa yang jatuh ialah pesalah bukannya hukuman gantung sampai mati. Sepatutnya, yang jatuh ialah hukuman dan pesalah yang menerimanya. Ayat tersebut sepatutnya:
(a) Pesalah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah.
(b) Hukuman gantung sampai mati dijatuhkan oleh hakim kepada pesalah itu kerana mengedar dadah.
4. Perkataan Mengajarkan dan Mengajar
Soalan
(a) Cikgu Marhan mengajarkan Sejarah di Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman.
(b) Cikgu Marhan *mengajar Sejarah di Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman.
Antara ayat (a) dengan ayat (b), yang manakah yang betul? Sila berikan penjelasan:
Jawapan
Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM (2002: 7), kata mengajarkan bermakna memberikan sesuatu sebagai pelajaran kepada seseorang. Kata mengajar pula (Kamus Dewan, 1994 : 16) bermakna
1. menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dsb.) kepada orang lain, mendidik, melatih, memberikan petunjuk-petunjuk kepada; 2. membaiki kelakuan dengan memberi nasihat dsb., mendidik; 3. membuat seseorang melakukan sesuatu berdasarkan pengalaman dsb. yang telah diperolehnya; 4. memarahi (memukul seseorang) supaya jera (tidak melakukan sesuatu).
Jadi, jika dilihat pada makna, ayat (a) adalah paling tepat kerana kata mengajar seharusnya diikuti objek hidup (manusia). Jadi, ayat (b) mengikut makna 1. dan 2. akan memberikan makna Cikgu Marhan mendidik atau melatih Sejarah, sedangkan Sejarah bukannya manusia (yang boleh dididik).
5. Perkataan Menghidangkan dan Menghidangi
Soalan
(a) Ibu *menghidangkan rakan-rakan saya pelbagai masakan yang lazat.
(b) Ibu menghidangi rakan-rakan saya pelbagai masakan yang lazat.
Antara ayat (a) dan (b), ayat manakah yang betul?
Jawapan
Kata menghidangkan menurut Kamus Dewan (1994: 453) bermakna menyajikan atau menyediakan makanan (minuman dll.). Hal ini bermakna yang dihidangkan ialah makanan.
Jadi, ayat “Ibu menghidangkan rakan-rakan saya pelbagai masakan yang lazat” adalah salah dari segi maknanya kerana yang dihidangkan ialah pelbagai masakan bukannya rakan-rakan (rakan-rakan menerima hidangan bukannya sebagai hidangan). Ayat yang tepat ialah “Ibu menghidangi rakan-rakan saya pelbagai masakan yang lazat.”
6. Perkataan Berpindah-randah
Soalan
“Orang Penan di pedalaman Sarawak suka *berpindah-randah dari suatu tempat ke suatu tempat.”
Bolehkah dijelaskan apakah kesalahan ayat ini?
Jawapan
Kesalahan ayat di atas terletak pada kata berpindah-randah kerana kata berpindah-randah sudah pun mengandungi makna dari suatu tempat ke suatu tempat (berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat). Jadi, ayat di atas sepatutnya: Orang Penan di pedalaman Sarawak suka berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat atau Orang Penan di pedalaman Sarawak suka berpindah-randah.
7. Ayat Majmuk Gabungan
Soalan
Rumah di lereng bukit itu amat cantik dan amat mahal.
Adakah betul jika ayat di atas ditulis “Rumah di lereng bukit itu amat cantik dan mahal”? Jika salah, apakah alasannya?
Jawapan
Kedua-dua ayat tersebut betul tetapi maknanya berbeza. “Rumah di lereng bukit itu amat cantik dan amat mahal” bermakna:
(a) Rumah di lereng bukit itu amat cantik.
(b) Rumah di lereng bukit itu amat mahal.
Sedangkan ayat “Rumah di lereng bukit itu amat cantik dan mahal” bermakna:
(c) Rumah di lereng bukit itu amat cantik.
(d) Rumah di lereng bukit itu mahal.
Hal ini bermakna rumah tersebut hanya mahal, tidak amat mahal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan