09 November 2009

Kesilapan Bahasa dalam Satu Program Televisyen

Lampiran 1 mengandungi 19 kesilapan bahasa serta pembetulannya. Kesilapan ini saya kutip daripada satu program televisyen pada malam 8 November 2009. Kesilapan ini terkandung dalam teks (lirik) yang dipaparkan di bahagian bawah skrin televisyen.

Kesilapan yang terbanyak ialah kesilapan ejaan dan penggunaan kata ganti nama singkat ku. Kata ganti nama singkat ku perlu dieja serangkai dengan kata sebelum atau selepasnya. Misalnya, “*ku biarkan" sepatutnya dieja “kubiarkan” dan “*intan ku” sepatutnya dieja “intanku”.

Pada posisi awal, kata ganti nama singkat ku dan kau boleh berada di hadapan (dirangkaikan dengan) kata kerja pasif sahaja. Jadi, ungkapan “*ku menunggu”, “*ku berlari” dan “*ku tak berdaya” tidak gramatis kerana kata kerja yang berkenaan bukan kata kerja pasif. Ungkapan yang gramatis ialah “aku menunggu”, “aku berlari” dan “aku tak (tidak) berdaya”.

Selain kesilapan ejaan kata ganti nama singkat ku, terdapat lapan kesilapan ejaan lagi, termasuk kesilapan penggunaan huruf. Dua kesilapan lain ialah kesilapan penggunaan kata.

Ada kemungkinan kesilapan ejaan terdapat dalam lirik asal dan pihak televisyen menyiarkan ejaan yang silap itu. Ada juga kemungkinan ejaan dalam lirik asal betul tetapi pihak televisyen pula menggunakan ejaan yang silap. Apa-apa pun, kesilapan ejaan sudah berlaku dan penonton sudah menyaksikan kesilapan itu.

Saya menjangka kesilapan penggunaan kata ganti singkat dan penggunaan kata terdapat dalam lirik. Pihak televisyen hanya menyiarkan ungkapan yang silap itu. Sekali lagi, apa-apa pun kesilapan sudah berlaku dan penonton sudah menyaksikan kesilapan itu.

Lampiran 1
Kesilapan Bahasa dalam Satu Program Televisyen
(8 November 2009)

Kesilapan Ejaan dan Penggunaan Kata Ganti Nama Singkat Ku
1. *ku biarkan → kubiarkan
2. *ku pandang → kupandang
3. *ku tanam → kutanam
4. *ku terima → kuterima
5. *ku tunggu → kutunggu
6. *intan ku → intanku
7. *ku menunggu → aku menunggu
8. *ku berlari → aku berlari
9. *ku tak berdaya → aku tak (tidak) berdaya

Kesilapan Ejaan
10. *ditamannya → di tamannya
11. *di nanti → dinanti
12. *zaman berzaman → zaman-berzaman
13. *berbatas batas → berbatas-batas
14. *berlari lari → berlari-lari
15. *sri jugra → Sri Jugra
16. *airmata → air mata
17. *di tangan lah → di tanganlah

Kesilapan Penggunaan Kata
18. *mengapa suratan → mengapakah suratan
19. *di malam → pada malam

Tiada ulasan: