Pada 5 Ogos 1957, sembilan orang raja Melayu menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sekali gus “memahat” tujuh wasiat raja Melayu seperti yang berikut:
1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-raja Melayu memerintah negara ini.
5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Wasiat ini disampaikan kepada rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-raja Melayu. Wasiat ini mempunyai locus standi dan tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1). Perkara-perkara ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.
Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menitahkan wasiat ini semula di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 Ogos 2009. Teks penuh titah baginda disiarkan oleh majalah Dewan Masyarakat keluaran September 2009.
Penitahan wasiat ini semula mendapat perhatian berbagai-bagai pihak. Umumnya orang Melayu menganggap penitahan wasiat ini setelah 52 tahun merdeka adalah wajar. Hal ini dikatakan demikian kerana pada masa ini orang Melayu semakin lupa akan akar diri mereka. Antara contohnya, mereka hampir-hampir membunuh bahasa Melayu apabila melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Contoh lain, mereka menukar nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia. Pelaksanaan PPSMI dan penggunaan nama bahasa Malaysia dapatlah dianggap sebagai memperlekeh wasiat keenam yang mempunyai locus standi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa orang Melayu mudah lupa. Penitahan wasiat ini semula berupa peringatan kepada mereka yang pelupa itu. Penitahan wasiat ini semula juga dapat menyedarkan generasi muda tentang sejarah negara kita. Titah ini dapat pula menjadi renungan rakyat bukan Melayu kerana wasiat ini merupakan sebahagian daripada kontrak sosial apabila mereka menikmati status warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Walau bagaimanapun, ada juga pihak yang menganggap penitahan wasiat ini semula sebagai bahan gelak ketawa. Ada pula individu yang menamakan wasiat ini sebagai wasiat Raja Gopal. Apa-apa pun, penitahan semula wasiat ini sudah merangsang orang Melayu merenung keberkesanan kandungan wasiat itu. Hal ini memungkinkan pelbagai pihak, khususnya pihak berwajib, melakukan tindakan pembetulan dan penambahbaikan.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan