21 Mac 2010

“Hal Ini Dikatakan Demikian” Gramatis

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB), majalah Pelita Bahasa, Mac 2010.

1. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga mengkategorikan perkataan demikian sebagai adverba. Adverba tidak boleh menjadi inti kepada frasa. Jadi, ayat yang di bawah ini tidak gramatis:
*Hal ini demikian kerana kes itu masih belum dibicarakan.

2. Ayat ini ialah ayat majmuk pancangan keterangan. Klausa utamanya ialah *hal ini demikian.

3. Dalam bahasa Melayu, ada empat pola ayat inti. Pola itu ialah FN + FN, FN + FK, FN + FAdj dan FN + FS. Tiada pola ayat inti FN + *FAdv.

4. Klausa utama ayat ini berpola *frasa nama + adverba (*hal ini + demikian). Pola ini tidak wujud dalam ayat inti bahasa Melayu. Jadi, klausa utama dalam ayat ini tidak gramatis.

5. Ayat ini gramatis apabila satu perkataan kata kerja mendahului perkataan demikian. Perkataan itu ialah dikatakan, terjadi, berlaku dan sebagainya. Maka terbitlah ayat seperti yang di bawah.
Hal ini dikatakan demikian.
Hal ini terjadi demikian.
Hal ini berlaku demikian.

Hal ini ialah FN. Dikatakan demikian, terjadi demikian dan berlaku demikian ialah FK. Pola ayat-ayat ini ialah FN + FK. Nyatalah bahawa ayat-ayat ini gramatis.

FN = Frasa Nama
FK = Frasa Kerja
FAdj = Frasa Adjektif
FS = Frasa Sendi

6. Perkataan mengenal bermaksud “mengetahui atau mengecam sesuatu dengan berdasarkan sifat atau bentuk luaran. Ayat contoh: Saya tidak dapat mengenal wajah beliau kerana keadaan pada malam itu sangat gelap.

7. Perkataan mengenali bermaksud “kenal akan”. Ayat contoh: Setelah mengenali wanita itu, saya mula jatuh hati terhadapnya. Perkataan mengenali juga bermaksud “mengetahui rupa, sifat atau tanda sesuatu”. Ayat contoh: Kami memilih sistem yang digunakan di negara itu setelah kami mengenali cara pengoperasiannya.

Tiada ulasan: