10 Mac 2011

Mengajar + Penerima, Mengajarkan + Perkara

Perkataan apakah yang tinggi kekerapan penggunaannya? Jawabannya pasti berbagai-bagai. Ahli tatabahasa mungkin berpendapat kata ganti nama seperti saya tinggi kekerapan penggunaannya. Pelajar akan memilih perkataan belajar. Guru pula pasti mengetengahkan perkataan mengajar.

Perkataan mengajar adalah antara perkataan yang tinggi kekerapan penggunaannya dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Antara ayat yang biasa kita dengar termasuklah ayat 1, 2 dan 3. Golongan yang paling kerap menuturkan ayat seperti ini ialah pelajar.

1. Cikgu Fuad *mengajar bahasa Melayu.
2. Ustaz Muaz *mengajar bahasa Arab.
3. Cikgu Ghazali akan *mengajar karangan esok.

Hanya segelintir pelajar menyedari bahawa binaan frasa *mengajar bahasa Melayu, *mengajar bahasa Arab dan *mengajar karangan dalam ayat-ayat ini tidak gramatis. Binaan yang gramatis ialah mengajarkan Bahasa Melayu, mengajarkan Bahasa Arab dan mengajarkan karangan.

Kita dapat mengesan sebaran frasa yang silap itu di Internet. Sebagai contoh, hasil carian dengan Google menunjukkan terdapat 136,000 frasa *mengajar bahasa Melayu dan hanya 41,000 frasa mengajarkan bahasa Melayu. Jumlah frasa *mengajar mata pelajaran pula ialah 216,000 berbanding dengan mengajarkan mata pelajaran sebanyak 3,000 sahaja. Kadar kesilapan gabungan kedua-kedua frasa ini ialah 89 peratus. Kadar kesilapan ini sangat tinggi. Oleh hal demikian, perkara ini perlu mendapat perhatian pengguna bahasa Melayu, khususnya pelajar, agar kesilapan seperti ini dapat dibendung.

Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK) memberikan empat makna perkataan mengajar. Makna mengajar yang pertama ialah menyampaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sebagainya kepada orang lain. Perkataan lain ialah mendidik, melatih atau memberikan petunjuk kepada seseorang. Frasa contohnya ialah mengajar orang menggunakan senjata.

Makna mengajar yang kedua ialah membaiki kelakuan orang dengan memberi nasihat dan sebagainya. Perkataan lain bagi maksud ini ialah mendidik. Ayat contohnya ialah Ia mengajar anaknya supaya jangan nakal.

Makna mengajar yang ketiga ialah membuat seseorang melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan pengalaman dan sebagainya yang telah diperolehnya. Ayat contoh yang pertama ialah Musim kemarau ini akan mengajar kita supaya tidak menggunakan air dengan membazir. Ayat contoh yang kedua ialah Kesulitan hidup mengajar orang lebih berusaha.

Makna mengajar yang keempat ialah memarahi atau memukul seseorang supaya jera, iaitu tidak melakukan lagi sesuatu perbuatan. Frasa contohnya ialah peribahasa itik diajar berenang. Peribahasa ini sama maknanya dengan peribahasa tak usahlah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai. Bentuk aktif peribahasa ini ialah mengajar itik berenang dan tak usahlah mengajar anak buaya berenang.

Dalam frasa atau ayat contoh di atas, orang, anaknya dan kita ialah manusia. Itik dan anak buaya pula ialah haiwan. Manusia atau haiwan ini berfungsi sebagai objek bagi kata kerja transitif mengajar. Kesimpulannya objek atau penyambut kata kerja transitif mengajar ialah manusia atau haiwan.

Apabila kita teliti huraian yang di atas, kita mendapati manusia atau haiwan itu ialah penerima perbuatan mengajar. Oleh itu kita dapat membuat kesimpulan bahawa mengajar diikuti oleh penerima atau, ringkasnya, mengajar + penerima. Ayat-ayat contoh adalah seperti yang di bawah.

4. Cikgu Fuad mengajar kami Bahasa Melayu.
5. Ustaz Muaz mengajar mereka Bahasa Arab.
6. Cikgu Abdullah mengajar murid-muridnya teknik bercerita.
7. Usahlah mengajar orang tua makan pisang.
8. Nampaknya dia cuba mengajar itik berenang.
9. Perbuatannya itu ibarat mengajar limau berduri.

Perkataan mengajarkan pula bermakna memberi sesuatu pelajaran (ilmu, kemahiran) kepada seseorang. Perhatikan ayat-ayat contoh yang di bawah.

10. Cikgu Fuad mengajarkan Bahasa Melayu kepada kami.
11. Ustaz Muaz mengajarkan Bahasa Arab kepada mereka.
12. Cikgu Abdullah mengajarkan teknik bercerita kepada murid-muridnya.
13. Ahli linguistik ialah orang yang mengkaji atau mengajarkan ilmu bahasa.
14. Dr. Muhammad Amin memang bersedia untuk mengajarkan tatabahasa bahasa Melayu.
15. George Kinajil mencari guru yang dapat mengajarkan permainan tradisional Melayu kepadanya.

Objek kata kerja transitif mengajarkan dalam ayat contoh ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Arab, teknik bercerita, ilmu bahasa, tatabahasa dan permainan tradisional Melayu. Objek ini bukan manusia atau haiwan. Sebaliknya, objek ini ialah perkara yang diajarkan. Oleh itu kita dapat membuat kesimpulan bahawa mengajarkan diikuti oleh perkara atau, ringkasnya, mengajarkan + perkara.

Berdasarkan pemerhatian, pelajar kerap melakukan kesilapan bentuk mengajar + penerima. Mereka sering meletakkan perkara pada tempat penerima. Antara kesilapan contoh dan pembetulannya adalah seperti yang di bawah.

1. *mengajar puisi → mengajarkan puisi
2. *mengajar karangan → mengajarkan karangan
3. *mengajar tatabahasa → mengajarkan tatabahasa
4. *mengajar nilai murni → mengajarkan nilai murni
5. *mengajar Bahasa Arab → mengajarkan Bahasa Arab
6. *mengajar kesusasteraan → mengajarkan kesusasteraan
7. *mengajar Bahasa Melayu → mengajarkan Bahasa Melayu
8. *mengajar mata pelajaran → mengajarkan mata pelajaran
9. *mengajar teknik bercerita → mengajarkan teknik bercerita
10. *mengajar Sains dan Matematik → mengajarkan Sains dan Matematik

Apabila pelajar khususnya dan pengguna bahasa Melayu umumnya mengingat rumus mengajar + penerima dan mengajarkan + perkara, insya-Allah, kesilapan dapat dielakkan.

Pelita Bahasa, Jun 2010

Tiada ulasan: