01 Mac 2011

Rumah Limas, Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri


Judul: Memoir Karyawan Tamu DBP Cawangan Sabah, Harun Haji Salleh, Rumah Limas Rumah Pusaka
Pengarang: Harun Haji Salleh
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas: Mohd Isa bin Abd Razak
Harga: RM38.00

Harun Haji Salleh menamakan rumah warisan itu Rumah Limas, Rumah Pusaka. Di dalam rumah warisan yang sudah tua itulah dia menyimpan catatan peribadinya. Antaranya termasuklah pemerian pemandangan indah kampung tradisional Melayu pada tahun 1930-an, gambaran kekejaman Jepun pada awal tahun 1940-an dan gambaran kota Kuala Lumpur pada akhir tahun 1940-an.

Rumah warisan yang sudah uzur itu terletak di Kampung Bukit Tempurung, tidak jauh dari Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. Di rumah itulah Harun lahir dan membesar. Di dalam rumah warisan yang sudah tua itulah dia menyimpan catatan peribadinya. Selain pemerian pemandangan kampung, gambaran kekejaman Jepun dan gambaran kota Kuala Lumpur, di dalam rumah itu juga tersimpan catatan pergaulannya dengan anak raja. Semua bahan itu tersusun rapi di anjung dan serambi rumah limas itu.

Apabila kita melangkah masuk ke ruang tengah rumah itu, terdapat beberapa banyak lembar. Apabila kita menjengah ke dalam bilik-biliknya pula, mata kita tersua dengan beberapa banyak peta dan catatan pengembaraan. Rupa-rupanya gambaran dan catatan yang berlatarbelakangkan Negeri Sembilan dan Selangor pada 1930-an dan 1940-an dalam rumah tua itu bagaikan arkib sebuah negeri yang jauh dari Negeri Sembilan dan Selangor.

Apa-apa sahaja yang kita temukan di dalam rumah itu istimewa sifatnya. Apabila seseorang mula melihat, membelek, merenung atau membacanya, pasti dia tidak akan meninggalkan rumah itu sehingga semua bahan itu selesai dibaca. Hal ini menggambarkan keistimewaan susunan, paparan dan penceritaan Harun.

Membaca kisah Harun bagaikan menonton filem cereka terbaik. Gambaran dan penceritaannya berurutan, penuh debar dan mengasyikkan. Keindahan kampung tradisional Melayu, kenakalan budak kampung, kebaikan anak raja, kegarangan bapa, sejuknya air mata ibu dan kekejaman Jepun bagaikan benar-benar wujud di hadapan mata. Pergerakannya di Kuala Lumpur, suka duka di Tanjung Karang dan banyak lagi peristiwa yang berlatarbelakangkan Negeri Sembilan dan Selangor diceritakan dengan bahasa yang indah dan lincah.

Pada awal tahun 1950, rasanya kita bagaikan bersama-sama dengannya menaiki kereta api dari Seremban ke Singapura. Kemudian kita bersama-sama pula menaiki kapal S.S. Darvel – kita singgah di Labuan sebelum mendarat di Jesselton pada 27 April 1950. Seterusnya, dengan asyik, kita mengikuti dia mengembara ke Kota Belud. Dari Kota Belud kita bersama-sama menghadapi kesukaran berjalan kaki ke Ranau selama empat hari tiga malam melalui denai di celah-celah bukit bukau dan Gunung Kinabalu.

Di Ranau pada awal tahun 1950-an kita menyaksikan kejerihan Sungai Liwagu dan kebaikan hati Cikgu Bagong. Kita dibiasakan dengan ketenangan Pejabat Daerah Ranau yang berdinding kajang dan tiada mesin taip itu. Di luar, kita melihat ada orang Dusun yang bercawat menggalas gong di belakangnya. Ranau pada masa itu ialah “tempat jin membuang anak”, tiada jalan raya, tiada kereta dan murid sekolah rendah besar-besar macam pelajar tingkatan lima sekarang. Di sini kita bertemu dengan Orang Kaya-Kaya (OKK) Akoi yang tidak lut oleh peluru.

Kemudian kita bersama-sama dengan Harun berjalan kaki lagi dari Ranau ke Tuaran. Sebelum sampai ke Tuaran kita bermalam dua malam di perjalanan. Dalam perjalanan itu sesekali kita bertembung dengan orang-orang kampung lelaki dan perempuan yang hendak turun ke Tamparuli untuk membeli garam, ikan kering, dan barang-barang keperluan yang lain. Mereka berjalan berpasukan sambil menggalas sikut atau bongon yang berisi tembakau untuk dijual kepada tauke Cina di Tamparuli atau di Jesselton.

Kisah dalam rumah limas itu masih panjang. Sebahagian besar kisahnya berlatarbelakangkan Negeri Sabah sebelum dan selepas merdeka melalui Malaysia. Semua kisah itu tersusun berurutan, jelas dan mengasyikkan untuk kita ikuti hingga akhir.

Rumah Limas, Rumah Pusaka bukan memoir biasa. Rumah ini ditukangi oleh karyawan yang sarat dengan pengalaman pahit dan sedikit manis. Rumah ini dibina dengan sepenuh hati. Tidak sia-sia sesiapa yang melawat ke rumah ini.

Rumah Limas, Rumah Pusaka berfungsi sebagai arkib yang menyimpan khazanah sejarah Negeri Sembilan, Selangor dan lebih-lebih lagi Sabah. Arkib ini perlu dilawati oleh semua pencinta sejarah, pencinta bahasa dan penulis tanah air. Mereka yang berumur 50 tahun ke atas mungkin bertemu dengan diri sendiri dan sahabat handai dalam arkib ini.

Tiada ulasan: