16 April 2011

Surat Terbuka Dr. Rajiee Hadi kepada Perdana Menteri

Sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2680:surat-terbuka-kepada-pm&catid=94:surat-pembaca&Itemid=63

YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Dr. Rajiee Hadi
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada bila-bila masa akan YAB Datuk Seri umumkan. Dan terkini, kempen pilihan raya DUN Sarawak sedang berlangsung dan hangat bermula.

Namun apa jua maksud tersurat dan tersirat, saya bagi pihak orang-orang Melayu, bangsa peribumi, umat Islam, golongan pendidik, ibu bapa, penulis, sasterawan, budayawan, aktivis masyarakat, para pejuang dan pencinta bahasa dan orang awam yang telah bersama-sama menzahirkan sukma rasa lahir dan jiwa sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada pemansuhan muktamad isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah diputuskan oleh kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri menerusi pengumuman yang dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Sedarilah bahawa keputusan ini telah disambut dengan penuh gembira, titisan air mata kesyukuran dan penghormatan terhadap kerajaan BN pimpinan YAB Datuk Seri dahulu. Lantaran itu usahlah dipersia-siakan perjuangan murni ini.

Namun, seperti mana yang dilaporkan di akhbar-akhbar hari ini bahawa YAB Datuk Seri akan menimbangkan semula pelaksanaan PPSMI dalam dua opsyen adalah sesuatu berita yang amat memeranjatkan, menyedihkan dan tragis. Saya bagi pihak rakyat terbanyak mengingatkan agar YAB Datuk Seri jangan sengaja “memainkan perasaan orang Melayu” demi menjaga “sentimen orang lain yang berkepentingan”.

Rakyat terbanyak akan bertambah keliru dan prasangka kerana YAB Tan Sri Muhyiddin pernah mengumumkan bahawa PPSMI adalah suatu keputusan muktamad apabila pemansuhannya diumumkan dahulu. Dan ini kelihatan nampak jelas adanya percanggahan dalam kepemimpinan YAB Datuk Seri. Apatah lagi apa yang dikatakan oleh YAB Datuk Seri bercanggah dengan aspirasi dan perjuangan rakyat terbanyak khususnya Melayu-Bumiputera yang menjadi tonggak utama jatuh bangunnya.

Umno parti dukungan YAB Datuk Seri.

Justeru, saya bagi pihak umat Melayu-Islam-Bumiputera sekali lagi menyatakan berterus terang dan menyedari bahawa orang-orang Melayu kini mula mual jelak dan marah terhadap mana-mana pemimpin yang tidak bertegas, kelihatan bercanggah dan boleh dianggap ada pergeseran antara dua pemimpin tertinggi.

Dan apa yang lebih penting rakyat tetap menentang habis-habisan mana-mana pemimpin yang lebih mementingkan “periuk nasi” daripada kepentingan perjuangan bangsa, agama dan negara. Harapan kami, agar PRU 2008 lalu tidak umpama, 'nasi sudah menjadi bubur'. Salam.

Dr. Rajiee Hadi
Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.

Tiada ulasan: