07 Julai 2011

Tidur di Atas Kubur 2

Prakata "Tidur di Atas Kubur"
Tidur di Atas Kubur 1

Saya pernah menemukan kubur lama di ladang getah tua, di kebun buah-buahan dan di dalam kawasan rumah terpencil. Kebanyakan nisannya ialah batu granit kelabu yang sudah kehitam-hitaman dan berlumut. Nisan batu itu kebanyakannya berbucu lurus. Ada juga nisan daripada teras kayu kapur, merbau atau cengal. Oleh sebab luluh hawa, nisan kayu itu retak, berlubang atau beralur-alur halus secara menegak.

Kubur di ladang dan kebun dilitupi daun dan ranting. Terdapat juga setompok dua rumput dan sebatang dua anak kayu. Rumput dan anak kayu itu kelihatan hidup segan mati tak mahu. Kubur dalam kawasan rumah terpencil pula ada yang terpelihara tetapi kebanyakannya terbiar. Di atas kubur itu dan di sekelilingnya, rumput dan pohon kecil hidup subur, meliar.

Pada suatu malam yang masih muda, saya dan dua orang rakan berehat di luar pagar sebidang kebun terbiar di kaki bukit di Meninipir, Ranau. Tempat kami berehat itu kira-kira tiga meter dari tebing sungai. Kami menunaikan solat isyak sebelum meneruskan usaha memburu pelian, sapong atau apa-apa jenis ikan lain.

Seusai solat, seorang rakan menyuluh-nyuluh kawasan semak di dalam pagar. Dia mengajak saya dan rakan yang seorang lagi menyaksikan objek suluhannya. Kami melihat dua buah batu nisan besar dan condong. Saya segera mengajak mereka berkemas dan meneruskan kegiatan di sungai.

Ketika saya bertugas di Keningau, pada suatu hari, ayah seorang rakan saya meninggal. Saya pergi ke rumahnya di Kampung Baginda. Rumah itu di tapak yang lebih tinggi, di tengah lautan sawah. Ketika saya tiba, penziarah belum banyak. Mereka berbual-bual di hadapan rumah itu.

Zuhur masih jauh. Pada fikiran saya, lebih banyak penziarah akan tiba menjelang zuhur kerana lazimnya jenazah yang sudah disempurnakan akan disembahyangi di masjid selepas solat zuhur. Jenazah itu kemudian dikebumikan di tanah perkuburan yang lazimnya bersebelahan atau tidak jauh dari masjid.

Setelah memberi salam dan bersalam-salaman, termasuk dengan rakan yang kematian ayahnya itu, saya bertanya, “Jenazah sudah sempurnakah?”

Kawan saya menjawab, “Sudah. Sudah dikebumikan.”

Saya berasa hairan dan bertanya, “Bila? Di mana?”

Dia menjawab sambil menghalakan ibu jari tangan kanannya ke satu sudut di hadapan kawasan rumah itu, “Baru sebentar. Di sana, di sebelah pusara ibu saya.”

Ketika saya bertugas di Keningau juga, saya menemukan beberapa tanah perkuburan di tanah terbiar. Jumlah kuburnya tidak banyak. Kubur lama yang tidak banyak itu terbiar juga. Mungkin tanah perkuburan itu ditinggalkan apabila ada tanah perkuburan baharu yang lebih luas.

Semasa saya bertugas di Keningau jugalah saya mendengar kisah sekumpulan guru pelatih tidur di atas kubur. Peristiwa itu berlaku pada awal tahun sembilan puluhan. Pada masa itu Maktab Perguruan Keningau menjadi pusat Kursus Latihan Membina Semangat (KLMS) Zon Sabah. Saya ialah jurulatih dan ketua zon bagi komponen aktiviti simulasi kelompok (ASK).

Sebagai Ketua Jurulatih ASK, saya bekerjasama rapat dengan Ketua Jurulatih Zon, Tuan Abdul Rashid dan semua jurulatih. Saya mendengar kisah yang berbagai-bagai tentang KLMS. Antaranya termasuklah kisah sekumpulan peserta tidur di atas kubur.

KLMS ialah latihan ala tentera. Latihan itu berlangsung selama sembilan hari dan lapan malam. Semua jurulatihnya pensyarah maktab. Mereka mendapat latihan khusus. Mereka mempunyai tauliah yang disebut lesen. Lesen itu digantung pada sebelah kanan jaket khas atau dipakai seperti kalung.

Beberapa orang pensyarah yang menjadi jurulatih itu ialah pegawai Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) yang berpangkat leftenan muda, leftenan atau kapten. Ada antara mereka kemudiannya mendapat pangkat major. Ada juga jurulatih yang sudah mendapat latihan lasak peringkat tinggi atau latihan khusus bagi sesuatu aktiviti. Dengan perkataan lain, mereka mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

Kumpulan jurulatih yang berpangkat dalam PSTD dan jurulatih pakar itu semuanya tegas dan kerap bertindak keras. Kalangan jurulatih ASK di bawah naungan saya ada yang menganggap mereka sebagai kasar atau berlebih-lebihan. Mereka yang belum mengetahui situasi sebenar sekumpulan peserta tidur di atas kubur itu mungkin beranggapan bahawa hal itu sejenis denda, iaitu sama seperti denda berendam dalam kolam atau sungai pada pukul tiga pagi.

Saya tidak berpeluang untuk mendengar kisah tidur di atas kubur itu daripada para peserta sendiri. Saya hanya mendengar penerangan oleh jurulatih yang menjadi pembimbing kumpulan itu. Menurutnya peristiwa itu memang benar-benar berlaku dalam aktiviti merentas hutan dengan menggunakan kompas.

Kumpulan itu sesat. Mereka terputus hubungan dengan pembimbing. Malam hitam pekat. Angin bertiup kencang. Deru angin berbaur dengan bunyi geseran buluh, derak-derik dahan kayu dan bunyi-bunyian aneh penghuni hutan. Mereka tersentak apabila sebatang punggur tumbang, menimpa pokok-pokok kecil dan kemudian menyembah bumi. Seorang peserta wanita terjerit. Dengan pantas dia menekupkan telapak tangan kanannya ke mulutnya sendiri.

Sesekali kilat memancar serentak dengan dentuman guruh, berulang, memanjang, menjauh dan menghilang. Titik-titik hujan yang melepasi rimbunan pohon jatuh bersama-sama dengan dedaun dan reranting.

Tanpa sinaran kilat, gelap malam hitam likat. Sinar lampu suluh hanya satu harapan. Mereka terus berpegangan, berheretan dan akhirnya berada di bawah sebatang pokok. Mereka menyedari pokok itu terlalu besar dan berbanir. Beberapa titik air berjaya juga menembusi rimbunan daun pokok itu. Mereka mula berasa aman.

Mereka duduk berhimpitan di celah banir. Pada masa itu jantina bukan persoalan. Bau hamis badan tidak dihiraukan demi setia kawan dan kejeleketan kumpulan. Di bawah rimbunan pohon dan selubung ponco, kesejukan kurang terasa. Mereka berasa semakin aman.

Mereka menanti sesuatu yang tidak pasti. Ada suara sesalan seorang peserta wanita. Suara sesalan itu ditangkis oleh suara motivasi seorang peserta lelaki. Jadi, tidak banyak suara kecuali bisik-bisik yang bunyinya antara kedengaran dengan tidak. Memang saat itu bukan masa untuk berbicara. Duduk diam dan terus menanti lebih bererti.

Kilat sudah berhenti memanah syaitan. Guruh sudah selesai melaksanakan tugas menggegar angkasa. Beberapa lama kemudian angin pula berlalu. Hujan reda tetapi masih belum berhenti.

Seorang lelaki berani yang mendapat giliran sebagai ketua bergerak ke suatu arah. Pergerakannya tidak jauh. Sebentar kemudian dia kembali menjangkau banir. Kemudian dia bergerak ke bahagian belakang pokok sambil memegang beberapa banir yang lebih tinggi daripada dirinya. Pemberani itu bergerak beberapa langkah dari banir.

“Kawan-kawan! Mari ke sini! Ada sulap!”

***
Kini mereka sudah berada di bawah naungan sebuah sulap pisang sesikat bertiang kayu bulat dan beratap daun. Daun itu mungkin daun bertam, rumbia atau palas. Dedaun dan reranting tidak menembusi atap itu.

Mereka berasa lega apabila berada di bawah sulap tanpa dinding dan berlantaikan tanah. Lantai tanah itu kering kerana tinggi sedikit daripada tanah di sekelilingnya. Tiada rumput. Yang ada hanya beberapa helai daun kering.

Ponco dihamparkan. Pemberani mengeluarkan dua tiga batang anak mancis daripada beg plastik kecil. Kepala mancis lembap. Robekan kertas penggoresnya pula lusuh dan lembap juga. Usahanya untuk menyalakan sebatang lilin gagal.

Mereka berkongsi meneguk baki air. Tiada apa-apa untuk dikunyah. Mereka melakukan refleksi dan menggubah kata-kata motivasi. Pemberani sudah memberikan amaran, keluhan dan kritikan tentang program termasuk dalam pantang larang.

Malam terus menghitam. Air hujan yang menembusi pohon beringin besar berbanir-banir terus menjentik atap sulap. Mereka melakukan renungan kendiri, berkata-kata dalam hati.

Pemberani bersandar pada papan tebal selebar lebih kurang enam kaki persegi yang tertanam kejap di bawah sulap itu. Di hadapannya empat orang peserta lelaki berdua-dua belakang-membelakangi, bersandar pada belakang sesama sendiri. Hanya seinci dua jaraknya dari mereka, empat orang peserta wanita membentuk format yang sama.

Kumpulan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Cuma si pemberani yang pernah masuk hutan beberapa kali. Lapan orang rakannya itu orang bandar yang hanya biasa dengan hutan lipur berbayar.

Hujan berhenti. Fajar menyingsing. Pekat malam semakin mencair. Subuh beransur pergi. Si pemberani terjaga. Semua rakan lelaki berkerekot. Rakan-rakan wanita pula mengiring dan bagai melekat sesama sendiri. Si pemberani bergerak ke dalam semak untuk membuang air kecil.

Hitam yang mencair sudah menjadi samar. Si pemberani kembali ke sulap. Bentuk sulap jelas kelihatan. Sekeping papan bercat merah terpaku secara melintang pada bahagian hadapan sulap. Sepasang tanduk kerbau yang bertengkorak putih kekelabuan terikat dengan dawai kasar pada bahagian tengah papan itu.

Dengan langkah yang lambat, bersama-sama debar di dada dan sedikit gigil kaki, si pemberani menghampiri papan tempat dia bersandar dan kemudian terlena. Nyata ada tarikh dan nama orang tertulis pada papan itu. Nama itu biasanya milik suku kaum Murut.

Tamat.

Nota Hujung

Pada tahun 1994 KLMS diberhentikan. Pemberhentian itu berlaku tidak lama selepas mayat dua orang jurulatih dijumpai pada hari yang sama. Pada masa itu sesi latihan masih berjalan.

Sebelum itu sudah kedengaran satu dua peristiwa yang mengakibatkan kecederaan. Ada beberapa banyak peristiwa lain mencalarkan iman. Selain itu, terlalu banyak peristiwa yang memeningkan pihak pengurusan.

Beberapa siri kursus sebelum pemberhentian itu, saya sudah meletakkan jawatan selaku Ketua Jurulatih ASK Zon Sabah. Saya tidak meletakkan jawatan sebagai jurulatih biasa. Harapan saya, ada pihak memujuk saya. Harapan itu ada kerana saya melihat air mata ketua saya mengalir ketika saya berbincang dengannya.

Rupa-rupanya harapan itu meleset. Rakan baik yang dijangkakan sependirian dengan saya menerima tawaran untuk menggantikan tempat saya. Itulah kali kedua saya meletakkan jawatan sepanjang perkhidmatan saya. Sebelumnya saya meletakkan jawatan sebagai setiausaha satu jawatankuasa demi mempertahankan pendirian. Kedua-duanya berlaku di Keningau.

Pada tahun 1995, Kursus Pendidikan Luar (PL) pula dilaksanakan. Kursus itu dikendalikan oleh maktab masing-masing. Saya terlibat dalam pengesanan dan pemilihan tempat aktiviti. Saya sama-sama mengendalikan kursus pertama dan beberapa kursus seterusnya.

Mulai tahun 2001, program Bina Insan Guru (BIG) pula diperkenalkan. Ada sekali dua sahaja saya diundang untuk mengendalikan aktiviti tertentu, tetapi bukan aktiviti fizikal. Selainnya, saya diamanahkan memantau beberapa kursus.

Kem KLMS Keningau khabarnya kini menjadi Pusat Latihan Kokurikulum (Pulako). Dengan berdasarkan gambar yang saya peroleh di laman IPG Keningau beberapa hari yang lalu, saya dapati ada kemudahan baharu di kem itu dan kemudahan lama dibaik pulih.

Sebenarnya, pada tahun 1996 kem itu sudah menjadi belukar. Jalan masuk ke kem itu diliputi semak samun. Bangunan utama dan kemudahan tambahan seperti dapur dan tandas mulai rosak. Anak pokok mulai membesar. Lapangan tempat kawad kaki dan perhimpunan pula terhakis dan berlubang-lubang.

Saya mengetuai satu jawatankuasa untuk memulihkan kem itu dan menambah kemudahan baharu. Di situ saya menghitamkan kulit dan kerap memerah tuala kecil setelah saya mengelap muka, tengkuk dan tangan. Sesudah jalan ke kem dibaiki, beberapa orang anak saya menjenguk saya di kem itu. Seorang anak saya patah sebelah tangannya apabila terjatuh bersama-sama basikalnya di jalan ke kem itu. Si Boy pula mempelajari beberapa perkara, termasuk berkhemah di situ.

Pada tahun itu juga saya mula mengendalikan aktiviti di kem itu. Aktiviti utama ialah latihan bina insan untuk pelajar sekolah dan guru pelatih. Aktiviti yang saya anggap istimewa ialah Kursus Membina Insan Rabbani untuk murid sekolah rendah pada 22 – 25 November 1997. Aktiviti yang paling mencabar dan kejap dalam ingatan saya pula ialah latihan bina semangat untuk juvana Daerah Keningau pada 9 – 12 April 1998.

Antara KLMS dengan PL serta BIG, KLMS terlalu istimewa dan cukup mencabar. Dari segi kerumitan dan tekanan yang saya hadapi sebagai jurulatih atau pengurus, kursus latihan bina semangat untuk juvana 1998 tiada tandingan.

Antara kesemua aktiviti itu, hal yang masih berlegar dalam fikiran saya pada masa ini tetap juga kisah tidur di atas kubur. Dengan berasaskan tapak untuk berkhemah pada waktu malam secara bersendirian yang lebih dikenali dengan solo camping, ada kemungkinan seseorang tidur di atas kubur lama, termasuk kubur tentera Jepun.

Perkara ini mungkin menjadi nukilan saya pada suatu masa nanti. Mudah-mudahan keinginan untuk menukilkan kisah itu muncul sebelum saya bergelar arwah. Sekadar sentuhan permulaan, kisah itu mungkin realiti, mungkin fantasi dan mungkin juga realiti yang berbaur dengan fantasi.

Wallahuaklam. Wassalam.

2 ulasan:

etuza berkata...

Asalam...saya membaca dengan penuh perhatian, ngeri dan amat bersyukur membaca peristiwa ini, pastinya kem Bina Insan itu pernah saya bersama kawan2 laluinya..Namun kembali sebak bila tuan haji mengakhiri dgn kata2 terakhir..Ya Allah berilah kesihatan kepada bekas guru kami tuan haji Mohd Isa razak..amin.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Alhamdulillah. Terima kasih, cikgu. Saya doakan cikgu dan keluarga sihat sejahtera juga.

Wassalam.